Meluaskan Spektrum Pembangunan Syariah di Malaysia
Perkembangan mutakhir berkaitan perkembangan syariah di negara ini menjadi pembuka mata kepada masyarakat Islam khususnya dalam kalangan ilmuwan dan pihak pelaksana sistem perundangan syariah Islam di negara ini mengenai hala tuju perancangan penambahbaikan dan pemerkasaan undang-undang syariah di negara ini.
Keputusan pada 9hb. Februari 2024 berkaitan keabsahan beberapa peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Negeri Kelantan menerusi kes di Mahkamah Persekutuan (Nik Elin Zurina lwn. Kerajaan Negeri Kelantan) merupakan salah satu isu penting yang mencetuskan pelbagai reaksi.
Namun, cara isu itu didebatkan menggambarkan paling kurang dua perkara; pertama terdapat kepelbagaian sudut pandang berbeza yang harus diambil kira dalam melihat isu tersebut. Kedua, penekanan secara berlebihan satu aspek berbanding aspek yang lain, bakal membawa kepada polemik yang merugikan.
Misalnya, dalam membaca keputusan kes tersebut sebahagian menganggap bahawa ia telah merendahkan kedudukan mahkamah Syariah, memperkecilkan undang-undang Islam dan mengetepikan peranan Raja-Raja Melayu.
Ia juga dilihat sebagai usaha untuk menormalisasikan undang-undang ta’zir dalam syariah Islam dengan menyamakannya dengan undang-undang sivil sedangkan kedua-duanya mempunyai semangat yang berbeza. Keputusan ini disimpulkan sebagai tragedi “Black Friday” bagi Perundangan Syariah di Malaysia.
Namun sekiranya dilihat dari sisi positif, kes ini sebenarnya dapat membuka pintu kepada usaha yang lebih bersungguh-sungguh dan menyeluruh untuk melihat kerharmonian undang-undang berlaku di Malaysia serta tiada konflik, pertindihan dan cabar-mencabar antara kedua-dua bidang undang-undang.
Ia juga memberi ruang untuk kehakiman Syariah dibangunkan secara holistik. Penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh YABhg Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara, dilihat dapat memberi ruang untk menyusun pelan tindakan bagi melihat secara menyeluruh kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.
Malah jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, kemajuan Syariah di Malaysia juga tidak harus dibataskan hanya dari sudut undang-undang dan kehakiman. Semangat Syariah sendiri harus dilihat dari sudut kandungan Islam secara keseluruhan. Syariah sendiri bermaksud jalan yang memandu atau mata air yang menjadi sumber kehidupan manusia.
Sebahagian ulama Islam mentakrifkan syariah sebagai agama Islam secara keseluruhan (al-din) termasuk perkara yang melibatkan akidah dan amalan. Sementara itu istilah syariah yang disebut sebanyak empat kali dalam al-Qur’an juga membawa makna agama yang menyeluruh.
Malah dalam ayat 13, Surah al-Syura disebut bahawa ” Dia (Allah) yang telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama, apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.”
Dalam mentafsirkan ayat ini, Dr. Yusuf al-Qardhawi mengatakan maksud ”apa yang disyariatkan” dalam ayat ini adalah apa yang ditentukan oleh Allah melibatkan perkara-perkara usul akidah, sama seperti yang telah disyariatkan kepada Nabi-nabi terdahulu. Ini jelas menggambarkan bahawa makna Syariah amat luas meliputi keseluruhan agama Islam.
Kesejagatan Syariah Islam juga dapat dilihat melalui perbahasan Maqasid Syariah yang berasaskan kemaslahatan hamba secara menyeluruh termasuk pemeliharan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Apabila Syariah disempitkan hanya kepada makna undang-undang, ia membawa kepada implikasi pemikiran bahawa sekiranya undang-undang Islam tercabar, maka keseluruhan agama Islam akan terhakis. Sedangkan komponen-komponen lain dalam agama seperti amalan, akhlak dan keruhanian harus dilihat sebagai faktor yang juga penting dalam menentukan kekuatan atau kemunduran syariah dalam sesebuah masyarakat.
Undang-undang, walaupun penting, adalah batasan akhir dalam agama Islam yang bakal menghalang tindakan-tindakan yang bertentangan dengan semangat Syariah seperti yang ditentukan oleh al-Qur’an dan Sunnah. Ia umpama pagar bagi sebuah rumah bagi mengelakkan anak-anak kecil dari keluar dari rumah dan juga menghalang orang luar yang jahat untuk masuk ke dalam rumah untuk melakukan kerosakan. Namun selain pagar yang ada, banyak lagi elemen lain yang dapat membantu mendidik anak-anak untuk tidak melampaui batas yang ditentukan dan menghalang orang dari melakukan kerosakan.
Disinilah letaknya kepentingan aspek akidah dan akhlak sebagai teras utama yang mendokong keunggulan Syariah Islam selain dari aspek undang-undang. Malah, kemantapan kefahaman seorang Muslim terhadap aspek akidah dan aspek akhlak dalam agama bakal memudahkan lagi penerimaan mereka terhadap undang-undang Syariah yang dikuatkuasakan.
Ini jelas apabila sebahagian kecil masyarakat amat fobia dengan undang-undang Syariah hanya kerana kefahaman mereka yang sempit tentang pandangan alam Islam yang luas dan merangkum.
Sehubungan dengan itu, peranan pendidikan semestinya penting dalam meramukan dengan baik kepentingan ketiga-tiga elemen Syariah Islam iaitu undang-undang, akidah dan akhlak.
Kesimpulannya, keputusan mahkamah pada 19hb Feb 2024 yang lalu tidak seharusnya menjadi bahan untuk sesetengah pihak mengaut keuntungan politik atau mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan. Sebaliknya ia harus menjadi asas untuk bermuhasabah dan merencana pemantapan Syariah yang lebih baik di masa hadapan. Perencanaan juga harus mengambil kira dinamika semangat Syariah yang luas dan peranan pendidikan yang lebih berkesan dalam menerapkan kefahaman agama Islam yang menyeluruh.