Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) membuka jemputan kepada masyarakat Malaysia untuk turut serta dalam Seminar Kebangsaan “Pemerkasaan Televisyen dan Peralatan Komunikasi sebagai Saluran Berkesan dalam Mendidik Masyarakat.” Seminar ini dijadualkan berlangsung pada 20-21 Mac 2007, bertempat di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.
Masyarakat yang maju harus memiliki sifat kritis dalam memberi penilaian dan menghargai institusi-institusi sosialnya. Tambahan pula negara kita Malaysia telahpun merangka pembangunan modal insan, yang seharusnya seimbang dan serba merangkum dari jasmani dan pekerti membawa kepada kemajuan akal dan budi warganya.
Dalam masyarakat berteknologi moden, industri penyiaran umumnya dan media televisyen khususnya adalah antara institusi yang memainkan peranan penting yang amat mempengaruhi cara berfikir dan kehidupan berbudaya.
Hampir setiap anggota masyarakat kontemporari mengisi masa hariannya selama beberapa ketika dengan menonton televisyen. Bagi sebahagian daripada kita, menonton televisyen adalah satu cara mengisi masa rehat yang membebaskan kita dari kelelahan bekerja.
Malangnya, ada pula yang lama membuang masa di hadapan televisyen untuk lari dari masalah hidup mereka yang sebenar (escapism). Akhirnya, mereka ini menjadi ketagih terhadap budaya bermalas-malas yang sukar dicari penawarnya.
Ketagihan terhadap budaya bermalas-malas antara lain akan menyebabkan tumpulnya pemikiran kritis dan kreatif, dan sebaliknya memanjakan nafsu dengan keseronokan jasadiah atau keasyikan bermain-main semata-mata. Ia menyuburkan budaya hidup materialisme dan konsumerisme yang gemar membazir dan bermewah-mewah, serta jenuh memuja kuasa, kemasyhuran dan kekayaan selebriti.
Justeru peri pentingnya masyarakat kita dididik mengenai “kecelikan media”. Literasi media menuntut agar semua pihak yang berkenaan dengan industri penyiaran sedar, merenung, berfikir dan memiliki rasa tanggungjawab yang tulen.
Pertama-tamanya, golongan penonton merupakan kalangan paling penting untuk dididik supaya sentiasa sedar dan bijak dalam menilai apa yang mereka tonton.
Ibu-bapa pula perlu secara berhikmah mengawasi dan membimbing apa yang anak-anak mereka lihat. Mereka harus ingat betapa terkesannya kanak-kanak oleh pengaruh televisyen sehingga ia pernah digelar sebagai “the other parent” oleh seorang pengkaji, Jim Steyer.
Kedua, pihak kerajaan melalui agensi Lembaga Penapisan harus cukup berhemat menyaring sebarang rancangan yang asasnya bejat dan jelek. Iaitu, yang menggalakkan sifat cabul, carut, fitnah, menghasut, sesat, dan yang sengaja menyinggung kepercayaan atau amalan agama lain dengan niat untuk menyakitkan hati penganutnya.
Mudarat yang ingin kita elak adalah jangan sampai nantinya penonton dirangsang bahawa yang jahat dan buruk itu dijadikan elok dan menarik untuk diteladani.
Ketiga, kalangan pengusaha yang menghasil dan menyebarkan program televisyen amat perlu menyedari dan menginsafi “tanggungjawab sosial” mereka.
Dari satu segi, IKIM ingin menggalakkan kalangan rakyat yang prihatin agar memikirkan kaedah untuk mengawasi industri televisyen Malaysia. Sekiranya wajar, mungkin mekanisme seumpama Badan Rakyat boleh digerakkan untuk memberikan sumbangan penting dalam memantau kecemerlangan penyiaran di negara kita.
Dari satu segi yang lain pula, semua pihak harus memahami dan sepenuhnya bersimpati terhadap dilema perit yang dihadapi oleh para pengusaha industri televisyen. Walaupun semua jenis perniagaan mempunyai matlamat untuk memaksimakan keuntungan, mahu tidak mahu para pengusaha televisyen sebenarnya turut berada di saf hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab moral terhadap masyarakat.
Justeru, IKIM juga ingin menggalakkan agar kalangan pengusaha industri penyiaran kita memiliki satu tatacara adab yang diperakui oleh mereka sendiri (self-regulatory code) demi mengatur perlaksanaan ketertiban yang bermatlamatkan kemaslahatan penonton.
Cabaran para pengusaha industri media dan televisyen kita sebenarnya bukanlah sekadar bagaimana untuk bersaing meningkatkan kecekapan, daya-hasil, keuntungan dan pengaruh antara satu sama lain.
Akan tetapi, lebih daripada itu, cabaran terhebat adalah bagaimana untuk memperteguh rasa prihatin penonton terhadap golongan yang kurang bernasib baik, untuk mempertingkat kepekaan penonton terhadap kekeliruan moral dan pencemaran alam sekitar, untuk memperkukuh keupayaan bergaul dengan manusia lain dalam hubungan yang sihat, dan seterusnya untuk memahami Kehebatan yang terjelma melalui alam semesta dan serba-serbi keajaiban-Nya.
Dalam bidang-bidang tersebut yang sedemikian luasnya, tentulah tidak timbul isu kita ingin menyekat kebebasan daya-khayal para seniman dalam mengkaryakan imaginasi mereka (artistic freedom).
Walaupun serba-sedikit televisyen telahpun berjaya menjadi saluran maklumat, potensi besarnya untuk menyalurkan fikiran-fikiran yang bernas mengenai isu-isu penting demi kemaslahatan keluarga dan masyarakat kita masih lagi belum digiatkan pada tahap yang optimum.
Sebagai media yang berpengaruh, tentulah munasabah jika kita menuntut institusi televisyen untuk turut berperanan memperkukuh nilai kehidupan penontonnya. Soalnya, pernahkah mereka yang memegang amanah strategis ini memikirkan mengenai hala-tuju dan gerak-kerja rancangan televisyen ke arah mendidik masyarakat?
Apapun pilihan yang diputuskan oleh ketiga-tiga golongan di atas (penonton, kerajaan, pengusaha televisyen dan peralatan komunikasi) untuk dilaksanakan bakal mempunyai kesan dan pengaruh yang besar terhadap citarasa dan nilai hidup masyarakat kita.
Mereka yang berminat untuk turut menyertai “Seminar Pemerkasaan Televisyen dan Peralatan Komunikasi sebagai Saluran Berkesan dalam Mendidik Masyarakat” adalah dipersilakan untuk menghubungi sama ada Puan Sarina binti Othman (Pengurus Program IKIM) atau Encik Mohd Sholihin Mohamad (Penolong Pengurus Program) di 03-62046320/321/322/323 (telefon), [email protected] / [email protected](emel), atau 03-62046201/62014189 (faks).