Islam amat menitikberatkan jaminan sekuriti makanan untuk semua umat manusia terutamanya bagi golongan yang memerlukan dan miskin. Ini kerana memiliki makanan yang cukup untuk kelangsungan kehidupan merupakan hak asasi bagi setiap manusia dan perkara ini juga dirakam dalam al-Quran; “Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.” [Surah Fussilat, 41:10].
Pandemik COVID-19 yang menghantui kehidupan manusia sejagat, telah mengubah komposisi kehidupan kelompok M40 sebanyak 20% yang tergelincir ke kategori B40. Keadaan ini melibatkan isu peningkatan kos sara hidup yang memberi dampak kepada ketidakcukupan bekalan makanan seterusnya ancaman masalah nutrisi. Krisis bekalan makanan negara yang berpunca daripada pengeluaran dan bekalan makanan terhad serta kesan bencana alam seharusnya menjadi satu pengajaran kepada semua tentang kepentingan menjaga kedaulatan makanan negara dan sekuriti bekalan makanan.
Kenaikan harga makanan dilihat merupakan simptom krisis makanan yang diramalkan berlaku secara global disebabkan perubahan iklim. Ini kerana akibat gangguan cuaca yang ekstrem, petani tidak mampu meramalkan kemarau atau hujan yang boleh mendedahkan tanaman berisiko musnah atau berpenyakit. Justeru, memperbaiki sistem makanan hari ini harus dijadikan tumpuan utama untuk kelangsungan hidup negara dengan membina sumber bekalan makanan berdaya tahan. Untuk itu, rantaian bekalan makanan negara memerlukan pendekatan baharu berstrategik dan realistik dengan membangunkan amalan pertanian yang berdaya tahan dengan kerencaman iklim.
Pasca pilihan raya, manifesto parti seharusnya dijadikan sandaran bagi kerajaan yang ditubuhkan untuk melaksanakan usaha dan janji dalam memperbaiki kehidupan rakyat. Jika ditinjau dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, isu sekuriti makanan menjadi antara fokus untuk digembleng strategi dalam menyelesaikan masalah ketidakcukupan makanan, sistem produk makanan yang tidak cekap serta kebergantungan kepada import yang terlalu besar.
Risiko gangguan krisis iklim di negara dilihat memerlukan kepada pelbagai langkah penyesuaian dan strategi kalis terhadap perubahan yang tidak boleh dielakkan bagi mengurangkan kesan buruk. Amalan dan strategi pertanian berdaya tahan kepada ketidaktentuan cuaca termasuklah memberi penekanan terhadap penggunaan tanah untuk mempelbagaikan jenis pengeluaran dan menilai kualiti kesihatan tanah. Merujuk kepada manifesto kedua-dua parti terbesar yang telah menubuhkan kerajaan baharu, bagi tujuan pertanian dan penternakan dicadangkan agar reformasi tanah pertanian melalui kerjasama kerajaan negeri diwartakan secara kekal kawasan pertanian seperti jelapang padi dan padang ragut bagi memudahkan petani dan penternak memohon atau memajak tanah. Usaha ini wajar dilaksanakan dan digembleng untuk menjamin kepelbagaian sumber makanan dan memperbaiki sistem makanan yang terjejas.
Langkah untuk melebarkan penggunaan teknologi moden dan pintar dalam skala yang besar dengan penggunaan IoT dalam bidang agromakanan harus disambut baik oleh masyarakat namun memerlukan usaha berstrategik daripada pihak kerajaan untuk membantu kelompangan dalam pelaksanaannya. Perubahan sistem makanan daripada pertanian konvensional kepada sistem agro berteknologi tinggi yang menggalakkan pertanian mampan dapat menangani masalah kekurangan pengeluaran dan kemerosotan kualiti tanah dan tanaman. Ladang pertanian yang mesra alam sekitar akan memberikan penyesuaian kepada cuaca dalam negara serta dapat memelihara hasil tanaman terjejas akibat iklim tidak menentu. Justeru, tenaga muda perlu digalakkan dan dilatih dalam program agromakanan dengan pembiayaan latihan kemahiran berterusan bagi melahirkan agropreneur muda yang berkecimpung dalam sektor pertanian moden. Usaha ini amat perlu diberi perhatian oleh kerajaan baharu dalam memperbaiki tahap sara diri masyarakat dan menangani isu keterjaminan bekalan makanan dalam negara.
Pihak kerajaan harus mempertimbangkan untuk melaksanakan kemudahan skim perlindungan pertanian atau insurans tanaman bagi melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan yang berlaku kepada tanaman negara seperti cuaca tidak menentu dan penyakit. Produk kewangan seperti insurans dan takaful tersebut boleh dijadikan sebagai suatu mekanisme untuk menstabilkan pendapatan petani dan melindungi risiko kemerosotan tanaman dan kenaikan harga.
Di samping itu, bagi menggalakkan persaingan sihat, kerajaan harus melaksanakan inisiatif menghapuskan kartel dalam sektor agromakanan dan keperluan asas. Usaha ini akan mewujudkan peluang usahawan baharu untuk menceburkan diri dalam membantu jaminan bekalan makanan dan kedaulatan makanan negara. Agensi kerajaan juga harus berperanan sebagai badan penampan dalam perbekalan dan permintaan serta kawalan harga bahan asas makanan bagi mengelakkan monopoli pihak tertentu dalam sistem rantaian makanan. Di samping membina modal sosial dalam bidang pertanian, langkah ini penting untuk menghapuskan orang tengah dalam rantai makanan dengan memendekkan rantai bekalan makanan kepada pengguna sekali gus mengurangkan harga makanan. Secara ringkasnya, perubahan dalam sistem makanan ini juga amat memerlukan pembangunan budaya pertanian dalam komuniti di samping galakan berterusan daripada pihak kerajaan.
Langkah dan usaha ini amat perlu diberi perhatian dan dirintis bagi membuat persiapan padu dalam menghadapi krisis kemerosotan bekalan makanan dan juga krisis ekonomi dunia seperti yang diramalkan. Sektor pertanian bukan sekadar untuk menjamin sumber bekalan makanan yang berterusan malah menyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia di samping sektor-sektor baharu yang lain. Kita harus mengambil contoh dari negara luar seperti Thailand yang telah melonjakkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama ekonomi negara. Inovasi pertanian yang canggih di Belanda juga telah memposisikan mereka sebagai pembekal teknologi dalam bidang pertanian dan penternakan ke seluruh dunia.
Sokongan padu daripada kerajaan dengan penggemblengan tenaga dalam kalangan masyarakat menentukan talian hayat dalam sekuriti makanan dan kedaulatan makanan negara. Risiko gangguan iklim akan terus mengancam sumber tanaman dan penternakan tempatan namun inisiatif peringkat dasar yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan dapat mengurangkan kemerosotan yang bakal berlaku bahkan membina sebuah sistem makanan yang berdaya tahan untuk populasi pada hari ini dan generasi yang akan datang.