Malaysia baru sahaja selesai berhadapan dengan pilihan raya umum yang ke-15. Proses pemilihan pucuk pemimpin negara bagi membentuk kerajaan yang telah diamalkan selama lebih 7 dekad membuktikan kesuburan amalan demokrasi di Malaysia. Pemimpin atau pun kelompok pemimpin seharusnya menyedari bahawa kuasa politik yang diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi tersebut haruslah digunakan untuk kebaikan serta kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan. Rakyat juga perlu tahu bahawa apabila sesuatu proses pilihan raya itu selesai dijalankan, sebarang keputusan yang terhasil daripada proses tersebut haruslah diterima dengan sebaik-baiknya.
Sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung dan juga ketika berkempen, kita dapat melihat perpecahan yang berlaku dalam kalangan rakyat disebabkan oleh politik kepartian. Bagi memancing undi dan mendapatkan sokongan rakyat kepada perjuangan parti, pemimpin-pemimpin parti politik dilihat menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah berkempen seperti ceramah mega dan jerayawara bertujuan untuk mendekati para pengundi. Namun, yang menjadi kerisauan adalah apabila tempoh berkempen telah digunakan untuk menyebarkan fitnah, menimbulkan kebencian, mengapikan perasaan taasub yang melampau sehingga membawa sentimen negatif yang mengakibatkan permusuhan serta berbaur perkauman. Dalam semangat berbicara dengan sorakan ratusan dan ribuan penyokong yang hadir, terdapat calon parti yang mengeluarkan kata-kata yang membawa ke arah kebencian dan permusuhan. Akhirnya, rakyat berpecah-belah akibat daripada tindakan seperti ini yang bertujuan untuk memburukkan pihak lawan sewaktu tempoh berkempen pada musim pilihan raya.
Pemimpin perlu sedar bahawa mereka merupakan panduan kepada tindakan yang akan diikuti oleh para penyokong mereka. Sebaiknya, apabila berkempen, yang seharusnya menjadi fokus utama bagi semua parti politik dan saf kepimpinannya adalah untuk menjelaskan tawaran mereka kepada rakyat melalui penghasilan manifesto, membentangkan hasil pencapaian dan keberkesanan kepimpinan masing-masing. Rakyat perlu dibekalkan dengan maklumat dan ilmu sebegini dalam mereka membuat pilihan dan bukannya keluar mengundi disebabkan perasaan kebencian dan permusuhan yang ditimbulkan oleh parti-parti yang bertanding.
Tempoh pasca pilihan raya merupakan waktu yang sangat kritikal terutamanya apabila sudah ada pihak yang kalah dan menang. Seharusnya pihak yang kalah, perlu berlapang dada dengan kekalahan, manakala pihak yang menang pula harus bersiap sedia untuk menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin. Kuasa yang diperoleh adalah untuk rakyat dan negara, bukannya bagi memenuhi sebarang kehendak atau keinginan peribadi. Namun, para pemimpin perlu sedar bahawa segala sentimen, semangat dan rasa yang telah dibangkitkan ketika tempoh berkempen perlu ditenangkan dan didamaikan. Rakyat yang berpecah belah disebabkan perbezaan ideologi antara parti politik terutamanya sepanjang musim pilihan raya yang lalu perlu disatukan. Para pemimpin sebenarnya perlu memahami bahawa mereka memainkan peranan utama dalam usaha menyatupadukan semula rakyat pelbagai bangsa, agama mahupun fahaman politik. Peranan ini sering dilupakan dan dipinggirkan oleh individu-individu yang menggunakan kuasa serta kedudukan yang ada pada mereka untuk tujuan peribadi semata-mata. Kuasa atau pangkat yang diperoleh hanya dijadikan batu loncatan untuk memperjuangkan agenda peribadi yang lebih besar tanpa menyedari bahawa sebagai pemimpin, amanah yang dipikul adalah amat berat.
Pemimpin bukan hanya sekadar individu yang berupaya untuk mempengaruhi orang lain, tetapi perlu juga mempunyai kejituan ilmu pengetahuan yang akan dapat membantu beliau untuk mengutarakan penyelesaian kepada masalah. Dari perspektif Islam, amanah kepimpinan ini haruslah bertunjangkan kepada kerangka tauhid iaitu keesaan kepada Allah SWT dan penyerahan kepada kekuasaan-Nya. Pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab akan menggunakan kuasa dan pangkat yang ada padanya untuk memperkukuhkan sahsiah, akhlak dan agamanya serta masyarakat di sekelilingnya. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan di kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami.” (Surah Al-Sajdah, Ayat 24).
Corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Madinah juga perlu diikuti dan dijadikan contoh yang terbaik bagi pemimpin hari ini. Kepimpinan Rasulullah SAW yang didasari dengan sifat hormat-menghormati dan kasih sayang menjadikan Baginda SAW dan agama Islam itu sendiri dipandang mulia di mata masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Madinah ketika itu.
Pemimpin harus sedar bahawa mereka telah diberi kepercayaan dan diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi untuk memacu negara ini ke arah kemajuan dan masa depan yang lebih baik. Peluang dan kepercayaan ini perlu disambut dengan semangat yang tinggi dan penuh integriti. Mereka perlu menyedari bahawa mereka telah diberi peluang dan kuasa untuk memangkinkan perubahan positif kepada negara dan harus menunjukkan daya kecekapan dan kebolehan dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
Melihat kepada cabaran global terhadap ekonomi dunia dan juga kesannya kepada negara, kita tidak boleh lagi dihambat oleh perpecahan dan permusuhan yang hanya akan membawa kepada ketidakstabilan bukan hanya ekonomi tetapi juga terhadap landskap politik dan sosial negara. Perpaduan dan kestabilan ialah prasyarat penting kepada kemakmuran negara. Selagi mana para pemimpin tidak jujur dan ikhlas dalam merealisasikan agenda penting ini, selama itu lah negara ini tidak akan dapat mengorak langkah berani ke arah pembaharuan bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran. Pemimpin yang sebenar akan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi sebarang rasa atau agenda peribadi. Pemimpin perlu sentiasa beringat bahawa rakyat yang meletakkan mereka di kedudukan kuasa, maka rakyat juga yang berupaya menidakkan peluang itu kepada mereka apabila tiba waktunya. Justeru, pasca pilihan raya ke -5 ini, pemimpin perlu bermuhasabah dan menyatukan semula rakyat demi memastikan agenda kemakmuran negara dapat diteruskan dengan segara.