Kita baru saja selesai menjalani proses pemilihan pemimpin melalui demokrasi pengundian Pilihan raya Umum ke-15 yang lalu. Perdana Menteri, Timbalan-timbalan Perdana Menteri, para menteri dan barisan kepimpinan yang lain sudah pun secara rasmi dilantik dan selesai juga mengangkat sumpah jawatan, sumpah setia, sumpah menyimpan rahsia dan pelbagai sumpah lain seperti kelaziman dalam mana-mana pelantikan pemimpin. Apa yang menarik untuk sama-sama melihat ialah sejauh manakah pemilihan yang kita buat dalam PRU lalu itu merupakan pilihan yang tepat iaitu memilih pemimpin yang benar-benar layak dan memiliki integriti tinggi untuk menjadi pemimpin, atau kita sebenarnya telah tersalah pilih. Sepanjang musim berkempen pelbagai janji kita dengar, pelbagai profil kecemerlangan calon diketengahkan dan ditularkan untuk meyakinkan para pemilih agar mengundi mereka. Nah! Sekaranglah masanya setelah mereka diberi sedikit kuasa untuk membuat keputusan bagi rakyat, adakah mereka ini akan mendahului kepentingan dan kemaslahatan rakyat berbanding dengan kepentingan peribadi mereka sendiri.
Pelbagai skandal korupsi dan rasuah berprofil tinggi melanda negara sehingga persepsi korupsi terhadap negara ini seperti mana yang direkodkan melalui Corruption Perceptions Index (CPI) menggambarkan seolah-olah negara ini saban tahun semakin korup daripada kedudukan 51(2019), 57(2020) dan 62 (2021). Walaupun CPI itu bukanlah indikator sebenar terhadap korupsi sesebuah negara kerana ia hanyalah sekadar “persepsi”, namun CPI itu jugalah satu-satunya indikator pada masa ini yang diterima pakai di seluruh dunia bagi menilai persepsi korupsi dan integriti.
Pada tahun 2021, Malaysia menduduki di tangga ke-62 daripada seluruh negara yang dinilai dengan beberapa buah negara di benua Afrika seperti Namibia (58), Rwanda(52) dan Botswana (45) menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik dari Malaysia. Manakala jiran kita pula seperti Singapura telah menunjukkan kecemerlangan dan integriti yang tinggi apabila menduduki tangga ke-4 sebagai negara paling kurang korupsi di dunia berdasarkan penilaian terhadap 180 buah negara.
Apakah yang dimaksudkan dengan integriti sebenarnya? Dari segi etimologi, perkataan “integriti atau dalam Bahasa Inggerisnya “integrity” ia berasal daripada kalimah Perancis Lama sekitar tahun 1400 lalu iaitu, integrité, yang mengambilnya daripada bahasa Latin integer dan kemudiannya integritatem (integritas). Ia membawa maksud “tidak bersalah, suci bersih, asli” dan juga “sempurna, bulat, lengkap”. Pada sekitar kurun ke-15 Masihi, ia mula menerima makna yang lebih meluas sehingga berkembang menjadi suatu konsep menggambarkan “prinsip moral dan peribadi luhur dan jujur yang melibatkan kebenaran dan keadilan dalam bermuamalat”. Kita juga akan temui perkataan “integer” dalam matematik yang dulunya diterjemahkan sebagai “nombor bulat” untuk membezakan dengan nombor-nombor yang bersifat pecahan. Justeru kalau ia ditujukan kepada manusia, ia juga sebenarnya menggambarkan “manusia yang bulat” dari segi prinsipnya yang memiliki peribadi yang utuh yang tidak boleh dipecahkan. Jelas sekali dalam tradisi masyarakat Barat, integriti merupakan sifat terpenting bahkan menduduki tangga atas sekali antara nilai-nilai dan sifat-sifat mulia yang dituntut terhadap seseorang individu untuk memilikinya.
Dalam tradisi Islam pula, darjat tertinggi yang boleh dimiliki oleh seorang insan selain daripada darjat kenabian dan kerasulan yang merupakan pilihan mutlak Allah SWT yang tidak boleh diminta, ialah darjat al-Siddiq. Inilah darjat dan kualiti insan bertakwa tertinggi yang mampu dicapai oleh seorang hamba Allah seperti mana gelaran yang pernah diberikan kepada Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq.
Dalam ayat al-Qur’an, Allah SWT menyebut:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). (An-Nisaa’:69)
Berdasarkan ayat ini, urutan kemuliaan manusia bertakwa itu bermula daripada para Nabi (dan Rasul), kemudian para Siddiq, para Syuhada’ dan para Solihin. Justeru seseorang yang berintegriti itu sebenarnya adalah seorang yang memiliki ciri-ciri orang yang al-Siddiq ini, iaitu ciri orang yang memiliki tahap ketakwaan yang tertinggi yang mampu dicapai.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w.1111) dalam karya agungnya Ihya Ulum al-Din dan begitu juga para ulama lain dalam kitab-kitab mereka menyebut beberapa aspek yang perlu ada bagi seseorang pemimpin itu untuk digelar sebagai insan yang al-Siddiq, iaitu:
- Bebas daripada korupsi. Jika yang dimaksudkan dengan korupsi itu menerima atau memberi rasuah, atau apa jua bentuk wang atau sumber pendapatan yang haram maka al-Siddiq ialah mereka yang bebas daripada semua itu sama ada ia suatu yang menyalahi undang-undang atau pun sekadar salah dari segi moral dan etika, bahkan tidak menerima hadiah yang terkait dengan kedudukan jawatannya atau pemberian yang mempunyai niat di sebaliknya.
- Tidak Menyalah guna Kuasa. Kuasa bagi pemimpin sering memukau dan menipu sehingga ada yang menggunakan kuasa yang diperoleh sementara itu untuk kepentingan diri dan meraih laba buat diri sendiri atau kaum kerabat dan kroni. Al-Siddiq ialah mereka yang menggunakan kuasa demi kemaslahatan dan manfaat negara.
- Menjauhi nepotisme dan kronisme. Pelantikan individu tertentu hendaklah berdasarkan kelayakan dan bukan keranaada hubungan kekeluargaan (nepotisme) atau persahabatan (kronisme) sehingga sanggup melantik walaupun daripada kalangan mereka yang tidak berkelayakan.
- Benar dalam Niat: Pemimpin yang al-Siddiq memiliki niat yang benar iaitu niatnya sepanjang masa mencari keredaan Allah SWT semata-mata melebihi daripada mencari keredaan manusia. Seandainya dalam usahanya mencari keredaan Allah SWT itu, ia tidak disukai oleh rakyatnya maka ia akan tetap teruskan dan begitulah sebaliknya apabila sesuatu yang diinginkan oleh rakyatnya menyalahi keredaan Allah SWT, maka ia pasti tidak akan membenarkannya.
- Benar dalam Percakapan. Apa jua yang pemimpin al-Siddiq ini janjikan pada masa lalu akan beliau tunaikan apabila berkemampuan dan diberi kekuasaan. Beliau hendaklah memastikan hanya bercakap dan berjanji sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya berjanji bulan dan bintang yang tidak mampu digapai. Orang yang mengkhianati janjinya itu akan digelar orang munafik, pembohong, penipu dan pengkhianat.
- Benar dalam Tindakan: Beliau mestilah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin tanpa mengira sama ada usahanya itu diperhatikan manusia atau tidak, dipuji atau dilupakan kerana apa yang dilakukan beliau hanyalah semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Walaupun tiada sesiapa yang memerhati usaha kerjanya, namun beliau tetap gigih bekerja demi kerana Allah dan bukannya untuk kandungan (content) bagi dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan untuk menunjukkan beliau seorang pemimpin yang gigih bekerja.
- Benar dalam Keazaman. Beliau memiliki sifat yang benar keazamannya bagi memastikan kebaikan, keadilan dapat ditegakkan dalam ruang lingkup kemampuan yang dimiliki walaupun sehingga terpaksa mengorbankan dirinya sendiri bagi memastikan keadilan itu terlaksana. Tiada kuasa yang mampu melemahkan keazamannya kerana keazamannya untuk mencapai keadilan dan kebaikan itu bertunjangkan kepada keimanannya yang kukuh terhadap Allah SWT dan mencari keredaan Nya semata.
Kesimpulannya, kita katakan “integiriti” dalam tradisi Barat itu menduduki darjat atas sekali dari segi nilai peribadi yang dituntut terhadap seseorang individu apatah lagi daripada seorang pemimpin. Dalam ajaran Islam pula, insan yang memiliki peribadi yang unggul sebegitu yang merangkumi aspek integriti itu selayaknya digelar sebagai insan yang al-Siddiq (benar) dalam serba serbi. Masyarakat umat Islam hari ini sesungguhnya mendambakan orang-orang mukmin yang berintegriti tinggi seperti Baginda SAW, Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dan lain-lain. Seperti mana masyarakat umumnya pula inginkan juga insan yang terkenal berintegriti dalam seperti Martin Lurther King, Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan lain-lain agar muncul kembali memimpin dunia ini.