Berita kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia secara tragis akibat didera menjadi salah satu kisah menyayat hati sebagai penutup tabir 2022. Kanak-kanak malang berkenaan dilaporkan dijaga oleh kakaknya selepas ibu bapa mereka dipenjarakan akibat kesalahan dadah. Tragedi yang berlaku begitu menyedihkan kerana telah banyak usaha dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran perihal kepentingan kanak-kanak misalnya sebagai aset berharga negara, sebagaimana ditekankan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara 2009 dan komponen terpenting sesebuah masyarakat, sebagaimana ditegaskan dalam mukadimah Akta Kanak-kanak 2001. Ia juga menimbulkan dukacita yang mendalam kerana banyak peringatan diberikan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak sebagai anggota masyarakat yang lemah atau rentan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi mesti diberikan keutamaan.
Perkara ini juga dinyatakan dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak 1989 selain matlamat khusus dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030, iaitu SDG 16.2 bagi menghapuskan semua bentuk keganasan terhadap kanak-kanak dan sekali gus membolehkan mereka hidup tanpa ketakutan, pengabaian, penderaan dan eksploitasi. Namun demikian, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu bilion orang kanak-kanak terdedah pada keganasan dari sudut emosi, fizikal mahupun juga seksual dan setiap lima minit, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat keganasan. Keganasan terhadap kanak-kanak berlaku di mana-mana sahaja sama ada institusi penjagaan, sekolah mahupun juga rumah, iaitu tempat mereka seharusnya mendapat perlindungan sepenuhnya. Dalam kes kanak-kanak empat tahun yang menjadi mangsa penderaan itu, situasinya lebih menyedihkan disebabkan terpisah dengan ibu bapa yang dipenjarakan. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kehilangan yang dilalui akibat pemenjaraan ibu bapa boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi keliru dan memberikan kesan buruk pada sosialisasi, kesihatan mental serta personaliti.
Kajian lain yang dijalankan Jane A. Siegel terhadap kanak-kanak yang ibu mereka dipenjarakan disebabkan kesalahan dadah mendapati bahawa mereka terdedah pada hubungan yang kerap kali tergugat dengan ibu. Hal ini disebabkan pengambilan dadah menyebabkan ibu tidak berada di rumah untuk tempoh yang panjang. Dalam hubungan ini, sebelum ibu dipenjarakan lagi, kanak-kanak terbabit mungkin terpaksa tinggal dengan saudara-mara yang lain kerana tidak dapat dijaga oleh ibu. Kanak-kanak sering kali membina ikatan dengan penjaga mereka dan kepulangan ibu hanya sekali-sekala boleh mengganggu hubungan dengan anaknya. Oleh yang demikian, pemisahan antara ibu dengan anak mempunyai kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak.
Sehubungan dengan hal itu, pelbagai usaha diambil bagi memelihara hubungan antara ibu yang dipenjarakan dengan anak mereka. Hal ini meliputi peruntukan undang-undang yang membenarkan kanak-kanak berada di sisi ibu mereka dalam tahanan. Had umur dan tempoh berada di penjara juga berbeza antara sebuah negara dengan yang lain. Dalam hubungan ini, perbezaan dari aspek tradisi serta norma penjara, nilai keibuan, kehidupan berkeluarga dan pemeliharaan anak perlu diambil kira. Kepelbagaian ini terzahir dalam susunan dan peruntukan undang-undang yang berbeza-beza. Sebagai contoh di Malaysia, kanak-kanak di bawah usia tiga tahun boleh diterima masuk bersama-sama dengan ibunya ke penjara dan boleh berada di penjara selepas mencapai usia empat tahun hanya dengan kebenaran khas Ketua Pengarah Penjara. Di Sweden, bayi jarang-jarang diterima masuk tetapi mereka boleh dibenarkan berada di penjara sehingga setahun dan anggaran tempohnya ialah tiga bulan. Sementara itu di Iceland, hanya bayi yang masih disusui ibu atau yang memiliki keperluan khas yang dibenarkan berada di dalam penjara.
Di Jerman, terdapat enam buah penjara tertutup yang menerima masuk kanak-kanak sehingga berusia tiga tahun dan dua buah penjara terbuka yang menerima kanak-kanak sehingga usia enam tahun untuk berada bersama-sama dengan ibu mereka. Unit terbuka di Frankfurt-Preungesheim berada di luar tembok penjara. Hal ini menggambarkan polisi untuk memisahkan unit ibu dan anak dengan bahagian penjara yang lain. Selain itu, setiap ibu memiliki unit kediaman sendiri yang terdiri dari bilik tidur atau ruang tamu, dapur dan bilik air. Selanjutnya di Belanda, iaitu di penjara separa terbuka TerPeel, kanak-kanak boleh berada di situ sehingga usia empat tahun. Unit ibu dan anak berada dalam blok yang berbeza namun masih dalam kawasan penjara, iaitu untuk empat orang ibu dan empat orang anak. Di lima buah penjara tertutup pula, kanak-kanak boleh tinggal sehingga sembilan bulan. Negara lain seperti Portugal dan Switzerland membenarkan kanak-kanak berada di penjara sehingga tiga tahun dan di Finland, sehingga dua tahun. Denmark pula membenarkan anak-anak pesalah lelaki dan wanita untuk berada bersama-sama dengan mereka sekiranya mereka akan dibebaskan sebelum kanak-kanak berkenaan mencapai usia tiga tahun. Namun menurut amalannya, sebilangan kecil sahaja kanak-kanak yang dibenarkan berada di dalam penjara.
Di samping itu, terdapat usaha lain yang digerakkan oleh pelbagai organisasi pada peringkat antarabangsa untuk mengekalkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa yang dipenjarakan. Salah satunya ialah Storybook Project yang dijalankan di 14 buah penjara di seluruh Amerika Syarikat. Program ini memberikan peluang kepada ibu bapa untuk memilih buku yang bersesuaian dengan tahap bacaan anak mereka dengan bantuan sukarelawan yang berdedikasi dan terlatih. Sukarelawan terbabit kemudiannya membuat rakaman dengan ibu bapa yang membaca buku cerita hasil derma orang ramai. Rakaman berkenaan berserta buku seterusnya dihantar kepada kanak-kanak secara percuma. Projek ini bukan saja menggembirakan kanak-kanak yang terlibat tetapi juga membantu proses pemulihan ibu bapa yang sedang menjalani hukuman. Hakikatnya, urusan mengendalikan kanak-kanak yang terpisah dengan ibu bapa yang menjalani hukuman di penjara adalah rumit. Walau bagaimanapun, usaha mesti dilaksanakan bagi memelihara kepentingan terbaik kanak-kanak. Selain itu, keluarga yang memerlukan perlindungan mesti diberikan sokongan sepenuhnya, khususnya oleh kerajaan. Dalam hubungan ini, keutamaan kepada keadilan restoratif adalah penting, iaitu untuk membaiki kemudaratan yang ditimbulkan pesalah dan mengakui bahawa pengekalan hubungan positif dengan orang lain, khususnya keluarga merupakan keperluan asas manusia. Dengan cara ini, pesalah akan dapat dipulihkan untuk menjauhkan diri daripada lingkaran ganas jenayah. Hal ini bertepatan dengan prinsip Islam yang mengutamakan kasih sayang serta rahmat kepada seluruh manusia dan merupakan misi utama pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagaimana dinyatakan dalam ayat 107, Surah al-Anbiya’.