Salah faham terhadap agama Islam bukan satu perkara yang baharu. Ia berlaku dari masa ke semasa sama ada di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Dengan itu akan kedengaran suara-suara sumbang yang membuat tohmahan ke atas agama Islam. Antaranya ialah tohmahan yang menyatakan Islam agama keganasan yang bererti tidak membawa keamanan.
Ini merupakan satu cabaran kepada umat Islam untuk membela dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang Islam. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang akan menyambut ulang tahun penubuhnnya yang ke-25 pada 18 Februari 2017 bersamaan 21 Jamadilawal 1438H sentiasa berusaha memberi kefahaman Islam dari pelbagai sudut ilmu untuk orang Islam dan bukan Islam.
Salah faham terhadap Islam timbul apabila masyarakat tidak faham asas dan dasar agama Islam. Mereka menghukum agama Islam melalui tindak-tanduk penganutnya dan salah faham yang dicetuskan oleh musuh agama Islam sendiri yang sengaja menabur pelbagai fitnah untuk kepentingan mereka.
Agama Islam merupakan agama yang didasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah nabi Muhammad SAW. Perkataan Islam sendiri membawa maksud aman dan sejahtera selain merujuk kepada penyerahan diri manusia kepada kehendak dan larangan Allah SWT.
Kerangka asas agama Islam secara lebih lanjut berpaksikan kepada rukun Islam iaitu perakuan dua kalimah shahadah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji bagi yang mampu, dan rukun iman iaitu beriman kepada Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, RasulNya, hari akhirat, qadha dan qadar.
Kerangka ini membawa manusia kepada memperolehi kebajikan dan menghindari keburukan daripada menimpa mereka. Dalam erti kata lain melalui kerangka ini manusia akan mencapai matlamat agama Islam dalam aspek pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda.
Jika dilihat kepada maqasid perundangan Islam yang turut menggariskan pemeliharan jiwa maka tohmahan yang menyatakan Islam sebagai agama keganasan sehingga dianggap penyebab kematian manusia adalah meleset daripada kerangka Islam itu sendiri.
Pengkritik akan mendakwa bahawa dalam sejarah Islam sendiri berlaku keganasan peperangan sehingga mengakibatkan kematian.
Islam sebagai agama keamanan tidak menganjurkan peperangan atau jihad perang tanpa sebab. Selagi ada cara untuk mengelakkan sebarang pertumpahan darah, maka jalan keamanan perlu diambil. Ini terbukti dengan perjanjian damai Hudaibiyyah di antara Rasulullah SAW dengan kaum Musyrikin Mekah pada tahun keenam Hijrah sekitar 628 M. Perjanjian ini dapat mengelakkan pertumpahan darah di antara orang Islam Madinah dengan kaum Musyrikin Quraish.
Peperangan yang berlaku dalam sejarah Islam adalah bersebab dan bukan berlaku di atas dasar ada kekuatan dan mengikut hawa nafsu semata-mata. Sebagai contoh Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah adalah disebabkan untuk mempertahankan diri daripada kaum Quraish Mekah yang berdendam dan cuba membunuh nabi Muhamad SAW serta mengancam kaum Muslimin di Madinah.
Maksud firman Allah SWT dalam hal keizinan berperang :
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (Al-Hajj 30- 40).
Islam membenarkan jihad perang kepada umat Islam apabila mereka berdepan dengan musuh yang terang-terangan ingin menghancurkan umat Islam dan menganggu pegangan akidah mereka. Ini termasuk dalam mempertahankan diri apatah lagi ketika diserang dengan keganasan oleh pihak musuh. Berperang merupakan pilihan terakhir kerana Islam mengutamakan aspek aman dan bertolak ansur. Rasulullah SAW sendiri bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang dibawa melalui tempat baginda SAW.
Jadi peperangan yang berlaku dalam sejarah Islam tidak boleh dijadikan alasan membuat tohmahan bahawa Islam menganjurkan keganasan.