Kempen Hari Tanpa Plastik ini adalah satu usaha yang sangat murni ke arah penjagaan alam sekitar dan seterusnya menghijaukan bumi. Kini, apabila kita pergi ke pasar raya di sesetengah negeri kita akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen sekiranya kita ingin menggunakan beg plastik. Kempen ini walaupun masih baru di Selangor misalnya, tetapi kempen seperti ini telah pun dimulakan di Melaka sejak tahun 2016 lagi dan begitu juga di negeri-negeri yang lain seperti Pulau Pinang yang telah pun bermula sejak 6 Julai 2009 lagi.
Merenung dan memikirkan mengenai kempen ini, timbul persoalan di benak fikiran saya. Persoalan ini timbul mungkin kerana pengalaman saya yang pernah berkhidmat sebagai ahli kimia di dalam dan juga di luar negara terutama dalam menghasilkan formulasi-formulasi kimia untuk industri plastik ini.
Persoalannya ialah apakah kempen tanpa beg plastik ini kerana ianya beg atau adakah kerana ianya plastik. Kalau kerana ianya plastik kempen seperti ini juga seharusnya dikembangkan kepada produk-produk plastik yang lain seperti botol-botol plastik, plastik pembungkus, poli stirena atau di sebut sebagai ‘polisterin’ dan lain-lain medium plastik tetapi mengapa kempen seperti ini hanya difokuskan kepada beg plastik sahaja?
Realitinya, apabila kita bercakap mengenai plastik kita tidak dapat menafikan fakta bahawa plastik kini menjadi penting dalam kehidupan kita yang mana tanpa kita sedari kehidupan kita sebenarnya di keliling oleh plastik. Sejak tahun 1950-an lagi plastik sudah menjadi elemen yang penting dalam hidup kita. Kepentingan ini kerana plastik telah berjaya menawarkan beberapa ciri-ciri yang istimewa seperti harga yang murah, lutsinar, tahan api, tahan asid, tahan tekanan dan lain-lain.
Cuba kita lihat di sekeliling kita kesemuanya adalah plastik. Gajet-gajet yang kita beli seperti telefon bimbit, komputer, perkakasan di dapur, di pejabat, di dalam kereta atau motosikal hampir kesemuanya diperbuat daripada plastik. Dalam bidang perubatan misalnya, banyak alatan yang diperbuat daripada plastik termasuk tabung uji plastik, jarum yang kini diperbuat daripada plastik serta banyak lagi jika kita senarai satu persatu dan termasuk bidang-bdang lain seperti pertanian, pertahanan, alam sekitar dan lain-lain.
Sedikit tentang maklumat teknologi plastik ini, secara amnya, plastik ini dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan utama iaitu themoplastik dan thermoset. Termoplastik adalah plastik yang boleh guna semula seperti PVC yang digunakan untuk membuat paip, polietilena (PE) yang digunakan untuk membuat beg plastik, polistirena (PS) untuk membuat makanan sejuk serta lain-lain lagi. Termoset pula ialah plastik yang tidak boleh dikitar semula. Contoh adalah seperti bakelit iaitu plastik yang digunakan untuk membuat soket elektrik dan melamine yang digunakan untuk membuat pinggan mangkuk.
Lahirnya pemenang-pemenang anugerah Nobel adalah kerana mereka ini berfikiran di luar kotak dan berjaya mencari inovasi baru bagi menjawab persoalan kepada isu atau masaalah yang timbul di ketika itu.
Sebagai contoh Alfred Nobel telah berjaya mencipta bahan letupan nitrogliserin yang dikenali sebagai dinamit kerana isu di ketika ialah masaalah pembinaan rangkainan landasan keretapi di Eropah yang merentasi gunung-ganang yang terdiri daripada batu-batuan. Jadi, bahan dinamit ini digunakan untuk diletupakan bagi membina terowong merentasi gunung ganang tersebut.
Begitu juga Amartya Sen dan Emma Rothschild pemenang bersama Anugerah Nobel tahun 1998. Isu yang timbul ketika itu ialah kemiskinan. Keinginan Amartya Sen untuk memperbaiki keadaan hidup golongan termiskin menjadi penyuluh hidupnya dan menyebabkan beliau melihat permasaalahan kemiskinan dengan cara baru atau cara inovasi.
Persoalan ini mendorong beliau untuk mengkaji sebab-sebab kemiskinan dan bagaimana sumber masyarakat diagihkan, bagaimana demokrasi berfungsi serta banyak lagi.
Begitu juga dengan Marie Curie, Pemenang Hadiah Nobel Kimia tahun 1911. Marie Curie merupakan insan istimewa kerana keupayaannya memecah tradisi dan menongkah arus, bukan sahaja sebagai ahli sains yang inovatif tetapi juga sebagai seorang wanita pertama dalam bidang yang dikuasai oleh lelaki. Marie Curie mempunyai kelebihan sebagai insan yang kreatif berkeupayaan melakukan sesuatu dengan caranya yang tersendiri. Hasil inovatif Marie Curie telah membuahkan ilmu yang boleh digunakan untuk kebaikan dan kejahatan, merangkumi pelbagai aplikasi daripada rawatan kanser kepada pembuatan bom yang amat ditakuti bagi mana-mana negara sekiranya memiliki kemampuan meledakkan bom nuklear ini. Marie Curie telah mengkaji sinaran radioaktif daripada uranium. Beliau telah membuat satu kesimpulan besar yang menyumbang kepada dunia khususnya dalam bidang kimia iaitu atom boleh dibahagikan yang mana bertentangan dengan teori sebelum ini mengatakan bahawa atom adalah zarah yang paling kecil dan paling asas serta tidak boleh dibahagikan lagi. Malah perkataan “atom” itu sendiri bermakna tidak boleh dibahagikan.
Contoh-contoh yang diberikan di atas ini adalah beberapa bentuk pemikiran aras tinggi atau pemikiran luar kotak. Satu lagi contoh yang ingin saya ketengahkan di sini ialah mengenai sampah-sarap. Satu ketika sampah sarap ini menjadi isu negara tetapi melalui inovasi dari sampah sarap tersebut dapat menghasilkan gas metana (CH4) hasil daripada tindakbalas sisa organik dan natural microb. Gas ini dapat mengerakkan gas enjin dan seterusnya menjanakan tenaga elektrik sebanyak. Projek seperti ini telah pun dijalankan di Bukit Tagar.
Jadi, dalam persiapan menuju 30 tahun akan datang, kehidupan kita ini bakal diterajui oleh kemajuan sains dan teknologi dan generasi akan datang seharusnya dapat berfikir di luar kotak, berfikiran secara inovasi.
Apa yang kita fikir mustahil pada masa kini mungkin tidak mustahil lagi pada 30 tahun akan datang. Sebagai contoh, kini agak mustahil untuk kita melihat kereta terbang tetapi di Pameran Motor Antarabangsa Geneva ke-87 baru-baru ini Airbus telah memperkenalkan prototaip kereta terbangnya yang dikenali sebagai Pop-up. Airbus dalam satu kenyataannya menerusi laman webnya menyifatkan Pop-up bergerak dalam dua keadaan yang berbeza untuk mengurangkan kesesakan jalanraya. Konsep pemanduan yang berdasarkan sistem kepintaran buatan (AI) yang akan menentukan sendiri perjalanan terbaik samada melalui darat atau udara.
Pada 30 tahun akan datang juga kita akan berdepan dengan berbagai-bagai krisis yang dapat kita ramalkan seperti krisis kekurangan air, krisis kekurangan bahan makanan, krisis kebanjiran pendatang asing, krisis pendidikan dan lain-lain lagi.
Sebagai kesimpulannya, kemajuan sains dan teknologi pada hari ini bermula dari konsep modeniti. Apabila konsep modeniti ini telah berjaya di Barat konsepnya ini seterusnya telah berjaya mempengaruhi negara-negara membangun termasuk negara yang majoritinya umat Islam untuk berusaha dan mengejar menjadi negara maju yang merupakan kebangkitan kepada sains moden. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk mengejar mencapai taraf negara maju dalam 30 tahun akan datang.
Selain kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, modenisasi ini juga telah berjaya membawa perubahan besar kepada bidang-bidang yang lain seperti bidang politik, ekonomi dan pemikiran yang mempengaruhi sistem dan struktur sosial yang akhirnya membawa perubahan kepada kefahaman masyarakat moden. Dalam masayarakat Barat misalnya, ia membawa kepada fahaman sekularisasi. Oleh itu apa yang terpenting dalam agenda TN50 ialah di dalam usaha mencapai taraf negara maju melalui usaha modenisasi terdapat cabaran yang besar yang akan timbul bagi masyarakat Islam antaranya ialah dari segi epistemologi.