Sejarawan dunia dan ulama tafsir, Imam al-Tabari (m. 923 Masihi) yang memerihalkan peristiwa penuh bersejarah turunnya Nabi Adam a.s. dari syurga di bahagian awal karya berbanyak jilid beliau Ta’rikh al-Rusul wa-‘l-Muluk (Sejarah Rasul-rasul dan Raja-raja), meriwayatkan bahawa “andas, penyepit, batu asah, dan tukul diturunkan bersama-sama Adam.”
Apakah manusia berevolusi untuk menggunakan teknologi atau teknologi dievolusikan untuk kegunaan oleh manusia? Peristiwa yang dibabadkan oleh Imam al-Tabari menimbulkan keasalan teknologi; sebagaimana manusia datang dari Tuhan, begitu juga teknologi yang sentiasa menemani manusia sepanjang sejarahnya. Terutama lagi, ia menekankan peranan Nabi Adam a.s. sebagai bukan hanya sekadar leluhur seluruh umat manusia bahkan juga pembina tamadun yang pertama.
‘Teknologi’ berasal dari perkataan Yunani tekhnologia. Menurut kamus Greek-English Lexicon (1819 dan 1901), ia adalah kajian (logia) berkenaan tekhne, suatu istilah yang merujuk pada kerja tangan manusia yang dikenali sebagai seni, kemahiran, atau ketukangan.
Hakikat tekhne dibahaskan secara meluas dalam tradisi falsafah Yunani. Ahli-ahli falsafah Yunani mencirikan tekhne sebagai api ketuhanan seperti tukang yang bertindak sebagai suatu prinsip yang menguasai, serentak giat dan berdaya cipta. Zeno (490–430 sebelum Masihi) mengutarakan idea tekhne sebagai suatu sistem pemahaman.
Socrates membahagikan tekhne kepada dua jenis: pertama yang mengguna pakai hanya sebahagian kecil kuasa berfikir namun menumpukan terutamanya kepada kerja berat dan kedua yang mengguna pakai lebih banyak akal fikiran dalam helah bagi menyelesaikan masalah, misalnya dalam ilmu matematik seperti kira-kira, logistik, dan astronomi atau ilmu kaji bintang.
Aristotle menyebutkan di dalam karyanya Nichomachean Ethics bahawa selain bertafakkur dan berfikir dengan mendalam, iaitu jalan paling tinggi dan mulia bagi mencapai kebahagiaan, seseorang itu juga dapat memperolehi kebahagiaan dengan melalui kehidupan yang menekuni penat lelah kehidupan bertukang.
Konsep yang dapat dibandingkan dengan ‘membuat benda’ dan ‘kemahiran industri’ yang terkait dalam tradisi keilmuan Islam ialah sina‘ah, sebagaimana yang dapat dirujuk dalam kamus Arab seperti Mufradat fi Gharib al-Qur’an oleh al-Raghib al-Isfahani dan Lisan al-‘Arab oleh Ibn Manzur.
Ibn Khaldun, sejarawan dan ahli falsafah Islam abad ke-15 yang mengkaji jatuh bangun peradaban-peradaban Afrika Utara dan Andalusia, menyimpulkan di dalam adikaryanya Muqaddimah bahawa sina‘ah sebagai seni pembuatan atau dikenali sebagai industri adalah hasil dari kebolehan ‘aqliyah manusia untuk memahami, menyusun, dan menguasai pelbagai cabang ilmu dan sains.
Seperti mana sebahagian besar ahli-ahli metafizik Islam, Ibn Khaldun melihat alam tabi‘i sebagai Ciptaan (kawn) oleh Tuhan yang dijadikan sebagai sumber bekalan untuk Manusia, yang juga merupakan sebahagian darinya, untuk ia menjalani tempoh masa kehidupan yang ditentukan baginya di dunia ini.
Agar manusia dapat menyempurnakan tugasnya sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan mengurus dan mentadbir bumi, Allah ‘azza wa jalla menjadikan dalam diri manusia beberapa kekuatan (quwwat) yakni alat-alat pertamanya dalam mendepani dunia luar yang dengannya ia dapat memastikan kelangsungan dan kemandirian hidup.
Kerangka tasawwur Ibn Khaldun meletakkan sina‘ah atau teknologi sebagai wajah penting peradaban. Oleh kerana itu, kehilangannya mengisyaratkan tanda-tanda kejatuhan sesuatu tamadun. Kemajuan teknologi ialah kemajuan perbandaran, justeru suatu penanda aras yang boleh dipercayai dalam mengukur ‘kesihatan’ sesuatu peradaban.
Oleh kerana itu, sina‘ah dalam erti kata epistemologi ialah pengamalan kefahaman manusia dalam perlakuan mentadbir alam bersama-sama dengan kesedaran bahawa amal manusia itu sendiri adalah sebahagian dari terzahirnya perlakuan berdaya cipta Tuhan yang berfirman di dalam al-Qur’an, “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! (wa-’Llahu khalaqakum wa ma ta‘malun)” (Surah al-Saffat, 37:96).
Suatu tinjauan lebih dekat terhadap risalah-risalah alat-alat gerak helah yang ditulis oleh para jurutera Muslim seperti Banu Musa (abad ke-9) dan al-Jazari (abad ke-13) mendedahkan penggunaan meluas pernyataan in sha’ Allah (dengan izin Allah).
Pernyataan sedemikian adalah pengiktirafan bahawa sejauh mana andaian dalam pembuktian sains dan matematik, keajaiban dan perkara tidak terjangka tetap berlaku di luar kawalan manusia justeru kekal menakjubkan dan mempesonakan ia; setiap benda atau peristiwa berlaku menurut tabiat yang ditetapkan oleh Sang Khaliq yang Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak.
Oleh kerana itu, usaha para pemikir dan jurutera Islam di masa lalu memberikan gambaran yang bukan hanya suatu ideal namun juga hakikat sejarah di mana kegunaan amali kejuruteraan dan estetika wujud dalam kesatuan yang bersepadu.
Berdasarkan unsur-unsur kesenian yang dijumpai dalam artifak dan lakaran-lakaran manuskrip, reka cipta mekanikal dan pernyataan estetika adalah wajah-wajah tidak terpisah dalam sina‘ah – seni kemahiran adalah hasil budaya yang meraikan kerja dan pekerjaan.
Hakikat sejarah Islam memberi maklum bahawa, selain menggesa kepada berbuat amal dan memuliakan kerja sebagai budi yang diganjarkan dengan pahala kebaikan, teknologi bukanlah suatu bentuk eskapisme atau jalan yang menganjurkan kemalasan.
Sebaliknya, ia adalah jalan bagi manusia memperbaiki diri melalui penciptaan kemahiran dan dengan itu manusia memperolehi tujuan dan makna dalam kehidupan. Justeru, teknologi ialah pernyataan dan sewajarnya kekal sebagai keraian berdaya cipta kehidupan yang penuh bermakna.