Kesyumulan yang ada pada Islam sememangnya tiada keraguan lagi. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Atas sebab kesyumulan inilah maka Islam mampu untuk berdepan dan menyelesaikan sebarang masalah. Kemampuan Islam bukan terhenti setakat itu sahaja, tetapi mampu pula membawa taraf hidup manusia itu jauh lebih baik daripada apa yang dinikmatinya sekarang, asalkan dengan syarat kesyumulan itu dihayati. Sains dan teknologi yang dipelajari, digunakan dan dikuasai oleh manusia pada zaman serba canggih ini juga tidak terlepas daripada jangkauan kesyumulan yang dibawa oleh Islam itu.
Sayangnya, kemampuan yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk menguasai sains dan teknologi ini telah membuatkan manusia lupa daratan. Ada golongan manusia yang bertuhankan sains dengan mengenepikan langsung aspek agama. Tidak kurang pula yang mengambil Islam apabila dirasakan perlu kerana dapat menjaga kepentingan tertentu.
Ketidakseimbangan yang wujud hasil daripada pemikiran dan tangan manusia inilah yang menjadi faktor utama kacau-bilau yang ada di dunia sekarang ini. Kumpulan yang menguasai teknologi telah menjadikannya sebagai senjata untuk menindas kumpulan atau negara yang lemah. Sementara bagi mereka yang lemah pula tidak segan-silu untuk terus menadah tangan meminta bantuan, seolah-olah tanpa bantuan dari mereka yang berteknologi ini maka akan binasalah mereka.
Sesungguhnya ajaran Islam yang suci ini, sudah lama mengajak dan mengajar manusia untuk memerangi ketidakadilan seperti ini. Cuma yang malangnya, orang-orang Islam sekarang tidak mengindahkan seruan yang besar ini, sehinggakan sumber kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada hampir setiap negara orang-orang Islam tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Orang Islam bukannya tidak faham bahawa Islam itu mampu untuk memulihkan imej mereka di mata dunia dan mampu pula menjadikan mereka umat yang terbaik. Dengan segala kekayaan yang ada pada bumi Islam, orang Islam mampu untuk berusaha dan bekerjasama untuk menghasilkan teknologi yang diperlukan. Pun begitu ini semua didahulukan dengan syarat. Iaitu orang Islam perlu kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam yang murni tersebut.
Islam sangat menekankan supaya Kebesaran Allah itu dapat dihayati dengan memerhati dan mengkaji alam ini. Contohnya, dalam surah Al Fatihah yang dibacakan pada setiap kali sembahyang itu dimulakan dengan bacaan:
“SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SEKELIAN ALAM.”
Dalam ayat pertama surah yang penting ini, telah menarik perhatian orang Islam kepada Allah dan penciptaanNya. Sebagai orang Islam kita perlu melihat kepada ciptaan Allah yang dijadikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan seterusnya menerokai alam ini sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Rasa tanggungjawab itu hendaklah lahir dari kefahaman Islam yang jelas dan betul supaya penerokaan ilmu pengetahuan yang bakal dilakukan tidak terpesong daripada kehendak Islam yang sebenar. Kita bimbang sekiranya mereka yang terlibat dengan usaha penerokaan ini adalah terdiri daripada mereka yang jahil terhadap Keesaan Allah, maka lahirlah golongan-golongan yang menyembah ilmu semata-mata dengan tidak mengambil kira Zat yang mencipta ilmu tersebut.
Sekiranya ini berlaku, maka usaha untuk memperbaiki keadaan yang sudah sedia ada akan menjadi lebih buruk lagi. Maka sebab itulah para ilmuan dan cendikiawan Islam yang mempunyai kesedaran hendaklah melengkapi diri masing-masing dengan pengetahuan Islam yang secukupnya, agar ilmu yang akan disebarkan nanti adalah ilmu pengetahuan yang sudah dibentuk dengan acuan Islam.
Sejarah keagungan Islam yang gilang gemilang yang tercatit dalam banyak buku sejarah telah membuktikan Islam dan penganutnya mampu menjadi model yang terbaik. Pada waktu itu, orang-orang Islam bukan sahaja dianggap sebagai umat yang kuat berpegang pada agama tetapi juga yang membawa bersama mereka tamadun budaya yang tinggi seperti akhlak, pemerintahan, senibina, sastera, sains dan sebagainya. Bahkan kota-kota besar seperti Baghdad adalah dianggap sebagai kota ilmu oleh dunia pada waktu itu. Kemasyhuran umat Islam sebagai pelopor di bidang ilmu melangkaui batas sempadan sehingga para pelajar hampir dari seluruh dunia datang untuk mempelajari dan mengambil ilmu dari orang Islam.
Ilmu yang dimiliki oleh orang Islam pada waktu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Islam semata-mata tetapi juga kepada dunia. Sumbangan Islam kepada dunia ilmu adalah suatu yang amat besar nilainya. Di zaman keemasan Islam inilah lahirnya tokoh-tokoh besar seperti Al Biruni dan Al Kindi yang memberi sumbangan kepada ilmu fizik. Al Khawarizmi, Umar Khayyam, Al Battani dan Altusi di bidang ilmu matematik. Al Fazari dan Al Nayrizi memberi sumbangan di bidang astronomi. Ibnu Sina, Al Razi dan Al Zahrawi di bidang perubatan dan bermacam-macam lagi sumbangan yang telah diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam ini kepada dunia. Inilah istimewanya apabila ilmu pengetahuan itu berada di tangan orang Islam yang benar-benar beriman dan beramal dengan ilmunya, maka seluruh dunia akan mendapat manfaat darinya. Sebaliknya jika ilmu itu berada di tangan mereka yang tidak bertanggungjawab maka berlakulah apa yang dapat kita lihat pada hari ini, penindasan, penipuan, penyelewengan dan bermacam-macam kerosakan lagi yang semuanya menjuruskan masyarakat ke arah kemusnahan.
Oleh itu adalah satu yang amat malang bagi umat Islam sekarang yang tidak mahu mengambil contoh dan pengajaran daripada sejarah Islam untuk dijadikan modal penggerak umat yang layu dan kaku masakini. Umat Islam kini lebih mudah dijajah fikirannya, mudah ditipu dan terlalu lemah untuk bangun menyatakan haknya. Umat Islam kini diletakan di satu sudut dan dilihat sebagai umat yang mundur dari segenap segi dan perlu diberi bantuan setiap kali bila ingin melangkah untuk berdikari.
Kenapakah ini berlaku kepada umat yang telah dijanjikan kemuliaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Kenapakah imej umat Islam menjadi sebegini buruk? Jawapannya ialah umat Islam itu sendiri yang menjadikan dirinya sedemikian. Jangan semata-mata menyalahkan orang lain. Allah telah memberikan segala bentuk panduan di dalam kitab suci Al Quran untuk dilaksanakan dan telah menurunkan rasulNya sebagai petunjuk. Kedua-duanya menjadi dasar utama kepada umat Islam untuk dijadikan panduan hidup dan juga menjadi syarat utama untuk umat Islam kembali kepada kemuncak kegemilangannya.
Di samping itu, umat Islam haruslah melengkapkan diri dengan segala keperluan masakini supaya mampu berdikari dengan tidak mengharapkan atau bergantung kepada orang luar. Kepentingan ilmu sains dan teknologi adalah satu keperluan yang perlu diberi perhatian. Ini adalah kerana penguasaan umat Islam di bidang ini akan memudahkan lagi Islam maju ke hadapan dengan lebih berkesan dan mudah diterima masyarakat. Dari sinilah Islam dapat membina semula kekuatan dan kembali menguasai dunia sebagaimana yang telah pernah dibuktikan oleh sejarah. Barangkali inilah persoalan yang perlu difikirkan dan dijawab oleh setiap individu muslim.