Dalam artikel saya yang lalu, saya telah menyentuh tentang ironi antara ajaran Islam dan amalan penganutnya berkaitan kerja sukarela. Di satu pihak, Islam menggalakkan umatnya terlibat dalam aktiviti ini tetapi di pihak yang lain, tidak ramai orang Islam yang menyahut seruan tersebut. Apa yang lebih membimbangkan, penglibatan masyarakat Islam dalam aktiviti sukarela ini penting demi untuk agama, mahupun kebajikan masyarakat Islam yang kurang bernasib baik. Malah, jika kita pergi lebih jauh dari itu, aktiviti sukarela ini dapat mengisi masa kita dengan lebih baik, berbanding kegiatan lain yang kurang bermakna.
Sebagai pengkaji, saya cuba memahami mengapa timbulnya ironi ini. Apa yang terdaya saya fikirkan, ialah lima faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada keadaan ini. Faktor-faktor tersebut ialah:
a) Kefahaman terhadap ajaran Islam
b) Komitmen terhadap ajaran Islam
c) Keadaan dan mentaliti orang Melayu (Islam)
d) Faktor-faktor peribadi
e) Faktor-faktor luaran
Dari segi kefahaman tentang ajaran Islam, beberapa penjelasan yang mungkin adalah seperti berikut:
a) Di tahap individu, mungkin masyarakat Islam merasakan memadai dengan memberi sedekah. Jadi, dalam kamus hidup mereka, pertolongan perlu diberi dalam bentuk sedekah wang atau barangan. Tidak terfikir bagi mereka untuk menyedekahkan khidmat bakti kepada masyarakat.
b) Di tahap masyarakat pula, mungkin mereka merasakan tanggungjawab mereka telah selesai dengan wujudnya institusi zakat dan wakaf kerana asalkan mereka mengeluarkan zakat dan melaksanakan wakaf (bagi yang mampu), nasib golongan yang kurang bernasib baik akan dipelihara oleh kedua-dua institusi tadi.
c) Mungkin juga ajaran Islam yang menekankan agar keutamaan diberikan kepada keluarga dan kaum kerabat, menyebabkan masyarakat Islam tidak keluar dari ruang lingkup jaringan sosial tersebut untuk memberi bantuan.
d) Mungkin juga ajaran Islam tentang fardhu ain dan fardhu kifayah, mempengaruhi keputusan mereka untuk tidak aktif dalam aktiviti sukarela. Sebagaimana yang kita tahu, dalam Islam, fardu ain itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam manakala fardu kifayah itu tidak lagi wajib bila ada sekelompok kecil masyarakat melaksanakannya. Akibatnya, tidak ramai yang menyumbang kepada aktiviti sukarela ini yang boleh dikategorikan sebagai fardu kifayah.
e) Mungkin juga ketidak-aktifan ini disebabkan oleh hakikat bahawa Islam tidak menggalakkan penganutnya menghebohkan kebajikan yang lakukan. Oleh itu, ramai orang Islam yang terlibat dalam bidang ini tetapi secara bersendiri dan senyap-senyap.
Faktor kedua ialah berkaitan komitmen masyarakat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri. Ada kemungkinan bahawa kurangnya orang Islam dalam arena ini kerana mereka tidak komited terhadap ajaran Islam. Dalam hal ini, kefahaman mereka tentang ajaran Islam itu jelas. Mereka tahu Islam menggalakkan aktiviti sukarela ini, tetapi mereka tidak komited terhadap ilmu tersebut. Dalam kata lain, mereka tahu ia dituntut tapi tidak mahu mengamalkannya. Masalah komitmen memang sukar untuk diatasi kerana ia berkait dengan sejauhmana individu itu ingin mengamalkan ajaran agamanya. Cuma jika kita insaf dengan amaran Allah tentang ilmu yang tidak diamalkan, mungkin sedikit sebanyak, kita dapat mengubah pendirian kita.
Seterusnya, faktor keadaan dan mentaliti orang Melayu (Islam). Ada kemungkinan bahawa oleh kerana majoriti orang Melayu masih terkial-kial untuk memenuhi keperluan peribadi mereka, jadinya, mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan orang lain. Ini mungkin ada benarnya kerana jika kita lihat kepada hirarki keperluan manusia yang di ketengahkan oleh Abraham Maslow, hanya bila individu itu telah memenuhi keperluan asasnya, ia akan terdorong untuk memenuhi keperluan orang lain. Jadi, oleh kerana majoriti orang Melayu masih tidak memenuhi keperluan peribadinya, maka ia tidak dapat memenuhi keperluan orang lain.
Dari segi mentaliti orang Melayu pula, ada kemungkinan bahawa oleh kerana masyarakat Melayu (Islam) begitu yakin dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu, mereka merasakan segala kebajikan orang Melayu itu akan dipelihara oleh kerajaan. Oleh itu, mereka tidak perlu melakukan apa-apa untuk bangsanya.
Faktor-faktor peribadi dan luaran pula sebenarnya mempengaruhi, bukan sahaja orang Melayu/Islam tetapi juga semua lapisan masyarakat kerana ia tiada kena-mengena dengan agama atau hak istimewa sesuatu bangsa. Namun, ia perlu juga dibincangkan di sini kerana sedikit sebanyak, ia mempengaruhi keputusan masyarakat Islam di Malaysia.
Faktor-faktor peribadi merujuk kepada hambatan-hambatan dalam diri individu itu sendiri. Antaranya ialah seperti tiadanya rasa simpati pada golongan yang memerlukan, sifat-sifat mementingkan diri, tidak mahu berjanji untuk menyumbang kerana bimbang tidak dapat melaksanakan janji tersebut dan seumpamanya.
Faktor-faktor luaran pula merujuk kepada tiadanya pendedahan, baik kepada perlunya menyumbang kepada masyarakat, mahupun tentang kewujudan pertubuhan-pertubuahan kebajikan ini. Mungkin juga wujud keadaan di mana, golongan masyarakat ingin menyumbang tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak meyumbang, ke mana hendak menyumbang dan sebagainya.
Jadi, kelima-lima faktor ini mungkin memainkan peranan mengapa masyarakat Islam di Malaysia ini kurang terlibat dalam aktiviti sukarela, terutamanya tiga faktor utama, yang berkait dengan fahaman agama, komitmen terhadap ajaran agama serta keadaan dan mentaliti masyarakat Melayu.
Jika kemungkinan-kemungkinan di atas ada kebenarannya, saya merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. Ini kerana fahaman terhadap agama seperti di atas, tiadanya komitmen, keadaan dan mentaliti orang Melalyu, faktor-faktor peribadi dan luaran yang seumpama ini boleh dan perlu diubah untuk kesejahteraan masyarakat kita.
Jika kita lihat kepada ajaran Islam tentang sedekah, kita dapati bahawa sedekah itu tidak bermaksud pemberian wang dan barangan sahaja, tetapi termasuk juga di dalamnya pemberian tenaga. Dalam kata lain, pemberian tenaga empat kerat. Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada sepotong hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam.” Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Jika ia tiada apa yang hendak diberi?” Jawab Baginda, “Hendaklah ia bekerja dan bila mendapat upahnya, sedekahkanlah sebahagiannya.” Sahabat itu bertanya lagi, “Jika ia tidak boleh bekerja?” Rasulullah menjawab, “Tolonglah orang miskin dalam kesusahan.” “Kalau ini juga tidak dapat ia lakukan?”, Tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab, “Beri nasihat untuk berbuat baik.” Sahabat itu bertanya lagi, “Jika itupun tidak dapat ia lakukan?” Jawab Baginda, “Janganlah ia melukakan hati orang lain – itulah sedekahnya.”
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sedekah itu amat luas maksudnya dan tidak terhad kepada pemberian wang dan barangan semata-mata, tetapi juga membantu dengan tulang empat kerat [“… tolonglah orang miskin dalam kesusahan…” – tentunya dia tidak memberi wang atau barangan kerana ia tiada apa yang hendak diberi (soalan 1) dan tidak boleh bekerja (soalan 2)], memberi nasihat dan tidak melukakan hati orang lain. Ketiga-tiga perkara ini tidak termasuk dalam tafsiran biasa kita bahawa sedekah itu adalah dalam bentuk wang dan barangan semata-mata.
Kita juga tidak boleh berharap kepada institusi-institusi seperti Baitul Mal, zakat dan wakaf semata-mata untuk menjaga kebajikan masyarakat Islam yang kurang bernasib baik. Ini adalah kerana walaupun institusi-institusi tersebut boleh menyediakan keperluan material seperti tempat tinggal, makan dan pakai, namun golongan yang memerlukan itu juga memerlukan kasih sayang dan bimbingan kita. Hubungan keinsanan itu juga penting selain keperluan material. Di sinilah pentingnya masyarakat Islam terlibat dalam aktiviti sukarela ini.
Seterusnya, walaupun Islam menuntut kita agar mengutamakan keluarga dan kaum-kerabat dalam berbuat baik, tetapi di masa yang sama, Islam juga menuntut kita membantu golongan lain. Dalam Surah ar-Rum (30), ayat 38, Allah berfirman yang bermaksud, “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperolah keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” Ini menunjukkan bahawa kita juga perlu memberi atau membantu orang yang di luar keluarga kita. Malah, banyak lagi ayat al-Quran yang menekankan kepada golongan di luar keluarga, misalnya, orang-orang fakir, fisabilillah, mualaf dan seumpamanya.
Tentang fahaman kita berkaitan fardu ain dan fardhu kifayah, jika pun benar bahawasanya jika sebahagian ahli masyarakat telah melakukan tanggungjawab fardu kifayah maka kita tidak perlu melakukannya, apalah salahnya jika kita turut sama menyumbang bakti. Bukankah jika lebih ramai yang menyumbang, lebih tenaga kerja dan kepakaran yang ada dan seterusnya, lebih banyak kerja yang boleh dibuat dan lebih ramai orang yang mendapat manfaatnya?
Berkaitan dengan merahsiakan kebajikan, tujuan sebenarnya ialah agar kita tidak berasa riak. Riak ialah keadaan di mana kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah tetapi kerana sesuatu tujuan yang lain. Perasaan riak ini ditegah agama melalui firman Allah yang bermaksud, “…maka kecelakaan besar bagi …orang-orang yang berkeadaan riak dalam ibadat dan bawaannya, …” (al-Maa’uun: 4 – 6).
Namun, dalam konteks menyumbang kepada pertubuhan sukarela, saya tidak pasti kita boleh menjadi riak kerananya. Ini adalah kerana dalam sesebuah pertubuhan itu, ada ramai sukarelawan yang lain yang jika kita bandingkan kualiti sumbangan dan jangka masa mereka meyumbang, tentunya kita akan merasa diri kita ini kerdil. Malah, ia akan memberi kita semangat untuk meyumbang sebaik mungkin dan memperbaiki mutu sumbangan kita. Kita juga tahu bagaimana sukarelawan selama ini pun tidak mendapat liputan yang meluas. Jadi, tidak timbul soal riak. Jika adapun publisiti, hanya sekali-sekala bila media seperti suratkhabar atau majalah, melaporkan sedikit berita atau meneroka kehidupan mereka untuk dijadikan bahan atau tauladan kepada orang lain. Tentunya ini tidak bertentangan dengan Islam asal saja sukarelawan itu tidak riak. Lagi pula, untuk tujuan menjadi contoh, ia dibenarkan oleh Islam, seperti firman Allah yang bermaksud, “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu …maka itu adalah baik bagi kamu…” (al-Baqarah: 271).
Dari segi komitmen pula, orang Islam sebenarnya tiada pilihan. Banyak ayat di dalam al-Quran yang memberi amaran tentang balasan terhadap mereka yang tidak mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Begitu juga dengan ayat 7, Surah al-Maa’uun yang bermaksud, “… maka kecelakaan besar bagi … orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatkannya).” Tidak cukupkah ini menggerak usaha kita?
Dari segi keadaan orang Melayu yang terkial-kial memenuhi keperluan sendiri sehingga tiada masa untuk memenuhi keperluan orang lain, saya rasa ada benarnya kalau kita lihat kepada rutin golongan yang berpendapatan rendah. Kita sering mendengar bagaimana ada warga kota yang akibat daripada kos hidup yang tinggi di bandar, terpaksa mengambil kerja sambilan untuk memenuhi tuntutan hidup. Bagi mereka tentulah sukar mencari masa untuk meyumbang. Tetapi saya yakin bilangan orang Melayu yang hidup senang dan mewah, terutamanya di bandar, adalah lebih ramai dari bilangan yang hidup terhimpit itu. Namun, soalannya ialah, ke mana perginya orang-orang yang senang dan mewah ini?
Untuk menjadi sukarelawan, yang penting ialah keinginan untuk membantu golongan yang memerlukan dan pengurusan masa yang bijak. Cuba kita lihat kehidupan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Sebagai seorang Khalifah, tentunya Baginda sibuk dengan berbagai urusan negara. Tetapi, beliau bukan sahaja terkenal dengan sifatnya yang pemurah mendermakan harta ke jalan Allah, tetapi beliau juga memberi khidmat bakti kepada seorang wanita tua yang memerlukan. Khidmat ini tidak pernah diketahui oleh sesiapa sehingga Umar – sahabat karibnya – menyaksikannya dengan mata dan kepalanya sendiri.
Di pinggir kota Madinah, tinggal seorang wanita tua yang miskin. Melihat kehidupannya itu, Umar merasa kasihan dan bertekad untuk berkhidmat kepadanya dengan membantunya melakukan kerja-kerja rumah. Namun, bila sahaja Umar sampai ke rumah wanita tua itu, wanita tersebut berkata bahawa Umar tidak perlu membantunya kerana semua kerja telahpun dibuat oleh orang lain. Begitulah beberapa kali, bila mana kehadiran Umar tidak dapat memenuhi hajatnya. Jadi, suatu hari, Umar pergi ke rumah perempuan itu agak awal dan mengintai siapakah gerangan orang yang datang untuk membantu wanita tersebut. Tidak lama kemudian soalannya terjawab dan orang tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Khalifah Abu Bakar sendiri.
Kisah ini menggambarkan bagaimana orang-orang Islam yang awal, terutamanya para sahabat, berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, kita juga dapati bahawa Khalifah Abu Bakar `menyediakan’ masa untuk membantu wanita tersebut, iaitu di awal pagi. Begitu juga dengan kita. Masa tidak akan datang kepada kita tetapi kita yang perlu bijak mengaturkannya. Dalam sebuah buku yang pernah saya baca, penulisnya menyebut bahawa semua dari kita memiliki jumlah masa yang sama. Jadi, untuk menambah masa yang kita ada, kita perlu korbankan masa yang lain. Misalnya, jika kita ingin mempunyai setengah jam lebih dari biasa, kita perlu bangun tidur setengah jam lebih awal dari biasa. Jika kita inginkan tambahan selama satu jam, maka kita perlu bangun, satu jam lebih awal dari biasa. Begitulah seterusnya. Ini juga merupakan satu pengurusan masa yang bijak, yang boleh kita amalkan dalam hidup kita.
Dari segi mentaliti `bumiputera’ itu, kita perlu sedar bahawa walaupun kita ada hak-hak keistimewaan orang Melayu, kerajaan tidak akan mampu melakukan segalanya untuk kita. Kita perlu mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat kita sendiri. Agak ironi beberapa hari yang lalu, Biro Bantuan MCA dikunjungi oleh seorang pesara Melayu yang meminta bantuan setelah kehilangan wang sebanyak lebih kurang RM20,000 dari akaun banknya. Sehari kemudian, dilaporkan bahawa pesara itu mendapat semula wangnya selepas disiasat oleh bank. Ini menunjukkan betapa biro tadi bukan sahaja memberi kemudahan kepada orang ramai, tetapi juga cekap dan cepat menyelesaikan sesuatu masalah. Apakah ada badan seumpama ini yang bergerak atas inisiatif orang Melayu agar boleh menjadi tempat bergantung bangsa Melayu itu sendiri?
Di tahap peribadi pula, kita perlu kikis sikap mementingkan diri. Fikirkan juga tentang orang lain. Konsep janji itu juga penting. Bila kita telah berjanji untuk menyumbang, kita tiada pilihan, untuk pergi atau tidak pergi. Kita mesti pergi, kecuali jika ada perkara-perkara `antara hidup atau mati’.
Jika masalah kita ialah tiada kesedaran dan maklumat, maka kesedaran masyarakat tentang sukarela ini perlu ditingkatkan. Begitu juga dari segi keperluan-keperluan golongan yang memerlukan dan bagaimana masyarakat boleh membantu. Saya sendiri tidak tahu tentang kewujudan Yayasan Kemanusiaan Malaysia (Malaysian Humanitarian foundation) sehingga kajian ini dibuat. Begitu juga, dalam satu rancangan TV, ada pemanggil yang ingin mendapatkan maklumat tentang Yayasan Salam Malaysia. Bayangkan, selepas tiga tahun ditubuhkan, maklumat tentang Yayasan Salam – satu pertubuhan di peringkat kebangsaan, belum lagi tersebar luas.
Oleh itu, pihak pertubuhan perlu mempertingkatkan usaha untuk mempromosi pertubuhuan mereka. Media cetak dan elektronik pula perlu memberi kerjasama agar timbul kesedaran yang meluas di kalangan masyarakat. Saya sendiri pernah mendengar bagaimana satu stesen radio swasta sudahpun mengambil inisiatif ini. Stesen tersebut menyiarkan maklumat tentang kesukarelaan, cara-cara menyumbang dan seumpamanya pada setiap hari dalam slot “Community Service Message”nya. Kita juga perlu bersyukur dengan kehadiran internet kerana melaluinya kita boleh melayari laman-laman web pertubuhan-pertubuhan ini.
Akhir kata, jadikanlah kerja sukarela ini sebagai satu platform untuk menyatakan rasa syukur kita terhadap segala nikmat yang telah Tuhan berikan. Sebagaimana yang kita tahu, nikmat-nikmat itu bukanlah milik kita sendiri. Ada hak orang lain di dalamnya. Oleh itu, gunakanlah nikmat-nikmat itu untuk membantu golongan yang memerlukan. Gunakan nikmat melihat untuk membantu yang buta. Gunalah nikmat ilmu untuk membantu mereka yang kurang berilmu. Gunalah nikmat wang untuk memenuhi keperluan orang yang lebih memerlukannya dan seterusnya. Marilah kita sama-sama ingat akan janji Allah bahawasanya jika kita bersyukur, Dia akan menambah pemberianNya. Kita bimbang jika kita lupa bersyukur, Allah akan menarik semula nikmat yang diberikannya ini. Minta dijauhkan dari kita semua.