UNDANG-UNDANG memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Ini kerana sifat manusia itu yang lemah mengawal kehendak nafsunya. Wujudnya undang-undang adalah berasaskan kepada amalan, persetujuan, perjanjian, norma prinsip dan injunksi mahkamah.
Apabila semua perlakuan ini diformalkan, terbentuk satu peraturan yang dinamakan undang-undang. Apabila kita menyebut undang-undang, melanggarinya akan menjadi satu kesalahan besar yang bersamanya hukuman dijatuhkan kepada si pesalah.
Perlakuan masyarakat dalam sesebuah negara itu dikawal undang-undang negara yang ditegakkan mengikut undang-undang perlembagaan negara. Undang-undang inilah yang mengawal setiap perlakuan masyarakat, institusi dan sebagainya agar keamanan, hak dan tanggungjawab dapat ditegakkan.
Dalam konteks antarabangsa, perhubungan di antara negara dikawal satu undang-undang antarabangsa. Undang-undang itu memiliki matlamat sama dengan undang-undang dalam sesebuah negara itu untuk menjamin agar keadilan dapat ditegakkan. Inilah hakikat yang diterima pakai dalam kehidupan manusia bertamadun.
Dalam konteks diri manusia, ada peraturan dalaman yang dinamakan etika yang sifatnya mengawal pemikiran dan tingkah laku manusia.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Tan Sri Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid, dalam buku Etika dan Budaya Berpolitik dari Perspektif Islam, menyatakan bahawa etika atau adab seseorang individu diwujudkan oleh individu itu sendiri dalam jiwanya sebagai kaedah untuknya sentiasa bergerak dan bertindak di atas landasan kebenaran.
Sebagai kawalan diri dari segi luaran, manusia tertakluk kepada undang-undang bertulis, manakala sebagai kawalan diri dari sudut dalaman, manusia bergantung kepada etika.
Dalam Islam, etika diasaskan kepada agama dan ilmu pengetahuan. Perbincangan mengenai bab etika oleh pemikir Islam seperti al-Ghazali dan bukan Islam seperti Plato dan Aristotle berlandaskan kepada interpretasi mereka terhadap agama yang disesuaikan dengan keadaan semasa. Ini bererti, wujud perikatan yang amat kuat di antara etika dan agama.
Oleh itu, Islam menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagai asas kepada kehidupan sempurna kerana manusia berilmu ialah mereka yang beretika.
Jalinan di antara etika, agama dan ilmu pengetahuan ini adalah penting kerana manusia adalah entiti dalam masyarakat, negara dan seterusnya hubungan antarabangsa. Maksudnya, individu itu menyumbang kepada baik buruknya hubungan antarabangsa yang ada pada hari ini.
Hakikatnya dapat dilihat sebagaimana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa penyelesaian sesuatu masalah itu hendaklah ditangani daripada akar umbinya.
Dengan erti kata lain, permasalahan yang timbul pada hari ini, seperti isu keganasan dan penindasan berpunca daripada individu itu sendiri yang juga ahli kepada masyarakat antarabangsa.
Undang-undang antarabangsa ialah sekumpulan peraturan yang mengatur perhubungan di antara negara serta menentukan hak dan kewajipan bagi setiap negara dalam keadaan damai atau perang. Ia bersifat peraturan yang mengatur hubungan antarabangsa untuk mengelakkan diri daripada pertelingkahan.
Oleh yang demikian, peraturan yang dijelmakan kepada undang-undang antarabangsa mestilah dikuatkuasakan oleh suatu kuasa perundangan dan semestinya oleh suatu badan pelaksana (eksekutif) yang berkuasa menentukan ia dipatuhi semua negara. Negara yang melanggar undang-undang ini samalah seperti menafikan hak dunia untuk hidup aman dan mesti diikuti dengan pengadilan dan hukuman.
Perkembangan undang-undang antarabangsa bersumberkan suatu amalan yang dilakukan berulang kali, persetujuan serta perjanjian yang dimeterai dan norma prinsip yang dihormati. Ketiga-tiga unsur ini ialah satu tradisi dalam proses perkembangan kehidupan manusia bernegara sejak zaman dulu hingga zaman pertengahan.
Apabila perhubungan di antara negara semakin kompleks, khususnya selepas kejatuhan pemerintahan Islam dan tamatnya Perang 30 Tahun sehingga wujudnya Perjanjian Westphalia yang membahagi-bahagikan negara kepada beberapa struktur orde dunia, banyak masalah dan konflik yang timbul tidak dapat diselesaikan berlandaskan tradisi yang disebutkan tadi. Dengan itu, undang-undang antarabangsa yang tidak dapat diasaskan kepada unsur tradisi tadi diputuskan oleh satu mahkamah antarabangsa.
Oleh itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa ditubuhkan untuk mengisi kepincangan ini. Fasal 38 dalam Undang-Undang Tubuh Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyatakan: “Dalam ketiadaan sum-ber-sumber yang tidak disebut di atas (amalan, perjanjian dan norma prinsip), mahkamah ini mempunyai hak untuk merujuk kepada keputusan mahkamah dan pandangan pakar undang-undang antarabangsa daripada mana-mana negara.”
Dr Mahathir pernah menyatakan pada persidangan antarabangsa bahawa keadaan politik dunia pada hari ini tidak jauh bezanya dengan keadaan zaman batu. Ada kuasa besar tidak mengendahkan amalan tradisi hubungan antarabangsa yang diasaskan undang-undang antarabangsa. Malah mereka bertindak secara unilateral tanpa menghiraukan hak negara lain seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan dunia.
Dunia berada dalam keadaan kritikal pada hari ini kerana ‘dasar penjajah’ secara tidak langsung menyemai benih keganasan yang akan mencetuskan permasalahan besar dan berterusan pada masa depan. Contohnya, bagaimana anak kecil dan remaja yang membesar dalam suasana peperangan akibat dasar penjajah. Mereka akan membesar dengan tertanamnya sifat ingin membalas dendam, keganasan, pemikiran negatif dan sebagainya yang bersifat agresif. Pendedahan sebegini memberi kesan negatif dalam diri mereka kerana akan dimanifestasikan dalam bentuk perlakuan mereka kepada orang lain yang bersifat agresif.
Oleh itu, masyarakat antarabangsa harus sedar dan bangun bersama menentang sebarang anasir penjajahan melalui lunas undang-undang antarabangsa yang menjamin keadilan. Perkara ini hanya dapat diperkukuhkan sekiranya undang-undang antarabangsa dipegang dan diperkuatkan dan mekansime pelaksanaannya dijalankan dengan teratur dan adil.
Pengajaran dan keagungan ilmu Islam tersebar ke Eropah melalui keunggulan pemerintahan Islam di Andalus. Pengajaran Islam ke Eropah mempengaruhi perkembangan undang-undang antarabangsa.
Hakikat ini terbukti dengan fakta sejarah di mana raja-raja Eropah berduyun-duyun mempelajari ilmu pe-ngetahuan daripada orang Islam. Di antara mereka ialah Roger I (Raja Sicily), Raja Alphonse (Raja Castilla) dan Raja Philip (Raja Baviera/England). Raja Federick II iaitu Raja Jerman memanfaatkan ilmu Islam sehingga mereka berjaya menerapkannya ke dalam kehidupan rakyatnya. Raja Frederick II, orang yang mula-mula memperkenal kerajaan berperlembagaan di Eropah, contohnya, menubuhkan sebuah universiti diNapoli pada 1224, mengikut bentuk dan susunan universiti di Cordova.
Allah menurunkan syariat dan hukum melalui rasul-Nya mengikut keperluan manusia. Semua agama sebelum Islam tidak bersifat umum atau sejagat, tetapi khusus untuk tempat dan bangsa yang kepada mereka agama itu diturunkan.
Semua agama itu bersatu dengan hakikat menyeru ke arah ketuhanan yang satu sebagai asas kepada segala ibadat, juga ke arah peraturan yang menyelesaikan permasalahan manusia. Hal ini berlanjutan hingga abad ketujuh, di mana manusia menjadi matang, maju dan menerima utusan Tuhan yang penyudah.
Dengan itu risalah, Nabi Muhammad adalah suatu risalah yang menggabungkan kedua-dua kebaikan agama dan keduniaan. Suatu risalah yang ditujukan kepada seluruh alam seperti firman Allah bermaksud: “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk seluruh alam.” – (Surah al-Anbia, ayat 107).