Terlalu banyak contoh boleh diberikan bagi menunjukkan bagaimana peralihan kuasa telah membawa kepada huru-hara dan pertumpahan darah. Pilihan raya bukanlah jaminan bahawa peralihan kuasa akan berlaku secara tertib dan aman kerana tiada sesiapa akan dengan mudah menyerahkan kuasa kepada orang lain. Selain daripada percaturan pihak-pihak yang bersaing bagi mendapatkan sokongan, sering kali juga berlaku campur tangan asing yang bertujuan mempengaruhi keputusan pilihan raya sesebuah negara, iaitu supaya calon-calon yang tertentu menang dan mengambil alih kuasa. Dalam kerakusan permainan kuasa inilah sering kali nyawa dan keselamatan orang ramai serta masa hadapan sesebuah negara dijadikan pertaruhan oleh pihak berkepentingan.
Di antara medan pertarungan politik yang terpenting ialah ruang siber, dan pihak yang berjaya menguasai pandangan para pengguna media sosial akan juga berupaya mempengaruhi para pengundi dan sekali gus menentukan keputusan pilihan raya. Menyedari kepentingan media sosial sebagai saluran terpenting kempen dan propaganda politik unit perang siber menjadi barisan hadapan parti-parti politik yang bersaing. Namun di sinilah berlakunya pengeliruan, putar-belit, fitnah dan pembohongan yang dilakukan secara terancang dengan berselindung di sebalik alasan ‘strategi politik. ’ Adakah alasan ini boleh diterima? Adakah pembohongan ahli politik dan parti-parti politik boleh diterima sebagai lumrah dan kebiasaan? Dan adakah parti politik yang memperoleh kuasa dengan cara sedemikian masih dikira berwibawa secara moral?
Persoalan kewibawaan moral, kelihatannya, bukanlah persoalan utama bagi parti-parti politik yang menyertai pilihan raya berbanding dengan angka undi dan kerusi yang dimenangi kerana angka itulah yang akan menentukan siapa yang berkuasa dan siapa yang tidak. Justeru, tidaklah pelik sekiranya ada yang sanggup menggunakan cara yang tidak bermoral demi mendapatkan sokongan pengundi, antaranya dalam bentuk sogokan wang ringgit di samping janji-janji bohong yang disamarkan sebagai manifesto pilihan raya. Dan semua itu didakwa ‘terpaksa’ dilakukan demi kemaslahatan politik. Inilah sebab kenapa sesetengah orang menjauhi politik: mereka memandangnya sebagai sesuatu yang kotor dan jijik.
Apa yang jelas, berbohong, mungkir janji dan mengkhianati amanah ialah termasuk dalam perbuatan yang keji atau tidak bermoral. Bahkan menurut Islam, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis, sifat yang disenaraikan itu merupakan ciri-ciri orang munafik. Sekiranya kita mengamat-amati ketiga-tiga sifat ini berkait rapat antara satu dengan yang lain, dan semuanya berpunca daripada sifat bohong. Mungkir janji dan khianat pada dasarnya merupakan manifestasi sifat bohong. Seseorang yang memungkiri janjinya pada hakikatnya telah membohongi dan memperdayakan orang lain dengan kata-katanya yang tidak ditunaikan. Begitu juga dengan amanah yang dikhianati: ia merupakan janji yang dimungkiri (iaitu suatu pembohongan).
Bohong ialah sifat asasi yang mencirikan kemunafikan, sedangkan kemunafikan itu pula ialah sifat yang sama sekali berlawanan dengan keimanan kerana inti sari kepada keimanan itu adalah ‘kebenaran’. Justeru, seorang pembohong pada hakikatnya bukanlah seorang yang beriman. Keimanan bukanlah semata-mata keyakinan di dalam hati tetapi mesti dibuktikan secara luarannya dengan perkataan dan perbuatan. Si munafik sebaliknya cuba menzahirkan dengan tutur kata dan perbuatan apa yang sebenarnya bertentangan dengan apa yang diyakininya. Dengan kata lain dia hanya berpura-pura demi mendapatkan kepercayaan orang lain, sedangkan dia sebenarnya menyimpan niat yang tidak baik.
Pembohongan berleluasa menunjukkan kepada kemunafikan yang berleluasa, maka tidaklah mengejutkan apabila kita dapati mungkir janji dan pecah amanah turut menjadi budaya. Inilah korupsi yang sebenar yang menjadi akar umbi kepada segala korupsi yang lain, dan ia merujuk kepada hati nurani insan. Penyelesaian masalah kepimpinan dan tadbir urus negara tidak mungkin dapat dicapai hanya dengan mengadakan pilihan raya demi pilihan raya kerana selagi mana kebejatan budaya itu tidak diperbetulkan selagi itulah masalah tidak dapat diselesaikan.
Persoalan hati nurani, walau bagaimanapun, tiada tempat dalam wacana politik sekular di mana urusan politik dilihat sebagai semata-mata urusan keduniaan yang tiada kena-mengena dengan kehidupan yang kekal abadi. Politik yang disandarkan semata-mata kepada kepentingan keduniaan yang sementara tidak mungkin boleh menghasilkan sistem moral yang utuh. Tiada sistem moral yang dapat dibina atas penafian terhadap hakikat yang kekal abadi kerana ia tidak akan mampu bertahan dari hentaman badai perubahan yang tak henti-henti. Perubahan sebenar hanya akan berlaku apabila kebenaran mula dikenali dan diakui, dan tidak lagi terus-terusan dinafikan dan dibohongi kerana pembohongan adalah ibarat kegelapan, dan ia hanya akan menghilang apabila didatangkan cahaya kebenaran. Pada zaman ini yang dianggap umum sebagai zaman pasca-kebenaran (post-truth), seruan ini mungkin dianggap langkah mundur ke belakang. Hakikatnya hanya dengan mengenali dan mengakui kebenaran sahaja kita mampu bergerak ke hadapan.