Penghujung 2022 menyaksikan beberapa bencana alam berlaku di negara kita. Tragedi tanah runtuh di Batang Kali meragut 31 nyawa dan banjir yang melanda beberapa bahagian di Kelantan dan Terengganu menyaksikan banyak harta benda persendirian dan awam musnah akibat ditenggelami air. Berbanding tanah runtuh atau bencana alam yang lain, banjir merupakan mala petaka yang paling kerap melanda negara. Ia boleh dikatakan sebagai fenomena alam yang sering melanda setiap tahun. Apabila berlaku banjir, banyak kerugian terpaksa ditanggung penduduk kerana kenderaan, rumah, kelengkapan rumah, tanaman, haiwan ternakan dan sebagainya musnah kerana ditenggelami air.
Sebagai contoh, untuk bencana banjir yang melanda pada penghujung 2021 dan awal 2022 yang lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan kerugian yang dialami adalah sebanyak RM6.1 bilion atau bersamaan 0.4% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal. Kerugian aset awam dan infrastruktur; kemusnahan tempat kediaman dan kenderaan merekodkan jumlah tertinggi dengan masing-masing mencatat kerugian sebanyak RM2.0 bilion, RM1.6 bilion dan RM1.0 bilion. Ini diikuti pembuatan (RM0.9 bilion); premis perniagaan (RM0.5 bilion); pertanian (RM90.6 juta).
Walaupun banjir boleh dianggap sebagai musibah yang kerap melanda Malaysia, namun aspek keperluan untuk mendapat perlindungan takaful dan insurans daripada bencana ini masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya daripada penduduk Malaysia. Berdasarkan tinjauan Impact of Pandemic on Protection Survey yang dibuat oleh Zurich Malaysia pada September 2021 yang melibatkan 1201 orang responden seluruh negara, dua pertiga atau 74 peratus daripada responden yang dikaji tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir. Manakala 50 peratus rumah tidak dilindungi takaful atau insurans. Dengan kata lain, kediaman-kediaman ini tidak dilindungi daripada sebarang jenis kerugian yang disebabkan oleh peril atau bahaya yang biasa ditetapkan dalam polisi takaful atau insurans – dan ini termasuklah bahaya banjir.
Kajian Zurich Malaysia tersebut turut mendapati hampir 6 daripada 10 atau 59 peratus pemilik kenderaan di Malaysia tidak mempunyai perlindungan banjir yang mencukupi untuk jentera mereka. Selain itu para pemilik kenderaan di Malaysia juga didapati tidak bersedia untuk berhadapan dengan risiko lain yang ada kaitan dengan cuaca dan iklim seperti pokok tumbang dan tanah runtuh.
Masalah kemampuan dan kurang kefahaman telah dikenal pasti sebagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini. Bagaimanapun dari segi kemampuan, ia tidak seharusnya menjadi satu isu kerana premium bagi mendapatkan perlindungan tambahan banjir bagi motosikal di bawah 599cc sebagai contoh adalah daripada serendah RM10 setahun. Manakala bagi motokar, ia bergantung kepada jumlah perlindungan, jenama dan juga kapasiti kenderaan. Berdasarkan kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kadar sumbangan dan premium tambahan untuk perlindungan banjir bagi motokar adalah sekitar RM0.14 sen ke RM1.78 sehari atau di antara RM51.10 ke RM649.70 setahun.
Bagi perlindungan kediaman atau bangunan dan peralatan rumah, kadar standard bagi perlindungan ke atas bencana alam merangkumi tambahan sekitar 0.086% untuk banjir dan 0.081% bagi tanah runtuh daripada jumlah perlindungan. Ini bermakna kadar yang perlu disumbangkan atau dibayar oleh pengguna bagi mendapatkan perlindungan tambahan banjir bagi kediaman atau bangunan serta perkakasan rumah hanyalah sekitar RM0.86 bagi RM1000 perlindungan yang diperoleh.
Masalah kurang kefahaman tentang keperluan melindungi harta benda yang menyebabkan ramai yang tidak melindungi harta benda mereka dengan polisi takaful atau insurans pula boleh dikatakan berpunca daripada sikap tidak peka terhadap fenomena alam sekitar yang sememangnya sukar untuk diduga. Fenomena pemanasan global akibat perlakuan tidak lestari manusia menjadikan iklim dunia tidak menentu dan sukar untuk diramal di mana di sesetengah tempat mengalami musim hujan dan kemarau yang ekstrem. Di negara kita umumnya banjir berlaku di sebelah Pantai Timur yang berpunca daripada hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. Bagaimanapun, faktor campur tangan keterlaluan manusia melalui aktiviti pembangunan yang tidak lestari memburukkan lagi kejadian banjir di sesuatu kawasan. Bahkan ia boleh berlaku di luar jangkaan biasa sepertimana yang dialami di beberapa kawasan di sebelah Pantai Barat Semenanjung pada penghujung 2021 yang lepas.
Bersandarkan kepada realiti bahawa banjir merupakan satu bentuk musibah yang sering dialami oleh penduduk Malaysia, keperluan kepada polisi perlindungan takaful dan insurans dilihat penting bagi mengurang impak negatifnya ke atas harta benda dan kesejahteraan psikologi mangsa bencana ini. Ironinya tahap pemilikan polisi takaful dan insurans yang melindungi kesan bahaya banjir dalam kalangan penduduk masih lagi rendah. Hal ini juga tidak selaras dengan pandangan Islam yang menganjurkan penganutnya berikhtiar untuk mengelak dan menolak sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku ke atas mereka – iaitu pendekatan daf’ al-madharrah yang dianjurkan menerusi doktrin maqasid al-syariah.
Di negara di mana risiko banjir dimasukkan secara automatik ke dalam polisi asas insurans kediaman dan isi rumah, kadar penembusan pemilikan perlindungan bagi risiko ini adalah tinggi. Sebagai contoh kadar pemilikan insurans banjir untuk hartanah di United Kingdom dan Perancis adalah melebihi 90%. Begitu juga dengan Latvia, New Zealand, Israel, Sepanyol dan Belgium di mana di negara-negara ini risiko banjir dimasukkan secara automatik ke dalam perlindungan standard, kadar penembusan insurans yang dicatat adalah melebihi 60%. Perkara ini mungkin perlu dipertimbangkan oleh pemain industri takaful dan insurans di Malaysia. Di samping itu, usaha untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran ahli masyarakat perlu digiatkan oleh pihak pemain industri. Jika ini dapat dilakukan ia akan mewujudkan satu situasi menang-menang antara pihak pemain industri dan pengguna. Dalam hal ini pengendali takaful dan insurans dapat meningkatkan saiz penguasaan pasaran dan pada masa yang sama pengguna memperoleh perlindungan sekiranya berlaku apa-apa risiko yang tidak diduga ke atas aset mereka.