AKHIR-AKHIR ini, kita sering dipaparkan dengan tindakan pendakwaan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam kes salah laku, pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan kedudukan serta rasuah.
Fenomena itu dilihat sebagai tidak hanya membabitkan golongan tertentu, malah berlaku dalam kelompok masyarakat yang lebih luas tanpa mengenal batasan usia, kedudukan, pangkat, gelaran dan darjat. Ia bukan saja berlaku di kalangan mereka yang bergelar penjawat awam, malah ahli perniagaan, korporat, politik dan profesional.
Adakah gejala ini akan terus menular tanpa dapat dipertemukan penyelesaian atau hanya kes terpencil yang berlaku dalam lingkungan masyarakat yang terpinggir dan terbatas, yang mana tanpa disedari sudah berakar umbi di kalangan warga arus perdana masa kini?
Bagi menemukan jawapan kepada persoalan itu, kita seharusnya mengetahui serba sedikit latar belakang yang menjadi punca kepada tercetusnya amalan yang antikonstruktif ini dalam masyarakat hari ini.
Dalam sesebuah masyarakat yang sedang dilanda arus pembangunan pesat, wujud banyak peluang dalam pelbagai bidang kehidupan.
Antaranya ialah peluang untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik sama ada melalui bidang perniagaan, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, kemudahan dan infrastruktur.
Dengan terbukanya peluang, maka berlakulah ketidakseimbangan antara seseorang individu atau sesebuah organisasi dengan individu atau organisasi lain dalam perebutan mendapatkan peluang itu bagi memenuhi kehendak, keperluan atau kepentingan masing-masing.
Disebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahagian masing-masing dalam dunia yang serba mencabar, maka akan ada pihak tertentu yang cuba mengambil jalan singkat dengan menggunakan pendekatan tidak jujur, tidak amanah atau tidak telus.
Ini dibuat demi merealisasikan matlamat dan cita-cita peribadi atau kelompoknya yang tidak mengenal batasan baik atau buruk, benar atau salah, pahala atau dosa.
Perbuatan itu sama ada secara langsung atau tidak sebenarnya merampas dan menafikan hak orang lain yang sepatutnya lebih layak untuk mendapatkan peluang yang sama.
Dalam hal ini, Rasulullah memberikan peringatan bermaksud: “Barang siapa yang mengambil daripada bumi orang lain sekalipun sedikit yang bukan haknya, maka orang itu akan ditenggelamkan dengan bumi pada hari kiamat sampai tujuh lapisan bumi.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Sebagai kesan langsung daripada gejala yang melanggar prinsip etika dan moral serta akhlak Islamiah, maka terhakis pegangan terhadap segala nilai dan amalan murni dalam sesebuah masyarakat.
Kegawatan itu jika dibiarkan berleluasa akan mengundang krisis lebih besar yang akan menggugat serta meruntun keamanan, ketenteraman, keharmonian dan kestabilan dalam sesebuah komuniti, ekonomi, negara bahkan ummah secara keseluruhannya.
Sifat tamak haloba yang berpunca daripada kerakusan segolongan manusia yang tidak mengambil kira kesejahteraan masyarakat umum tetapi mengutamakan kepentingan peribadi bagi individu ataupun kelompok yang diwakilinya semata-mata.
Dalam erti kata lain, kesan jangka panjangnya bukan saja dirasai oleh pihak yang terbabit secara langsung dalam perlakuan seumpamanya, malah turut mengheret keseluruhan sistem atau struktur di dalam masyarakat dan negara untuk menerima bahana daripada amalan rasuah ini.
Apabila salah laku, salah guna kuasa dan kedudukan, sogokan serta segala bentuk penyelewengan menjadi perkara yang seolah-olah diterima umum, maka runtuhlah ciri, identiti dan budaya yang dibentuk, dipupuk dan dibina dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Justeru, apakah lagi yang tinggal pada kita sebagai satu ummah sekiranya peraturan dan undang-undang yang diwujudkan untuk dipatuhi bagi melindungi dan memelihara kesejahteraan bersama boleh diperolok-olokkan dengan sewenang-wenangnya.
Di manakah letaknya jati diri sebagai khairat ummah sekiranya tidak dapat memboloskan diri daripada segala perlakuan yang hanya akan menjerumuskan kita ke lembah kehancuran dan kebinasaan, lantas gagal untuk meletakkan diri di tempat yang sepatutnya sebagai umat yang menjadi contoh ikutan manusia sejagat.
Persoalannya sekarang, apakah ummah ini akan terus kecundang, terbuang dan akhirnya menghilang? Jawapannya yang sebenar terletak pada diri kita sendiri.
Sebagai Muslim, kita yakin kepada nilai yang dibawa oleh ajaran agama yang Maha Suci. Segala sifat mahmudah seperti benar, jujur, amanah, adil, ikhlas, bijaksana, cekap dan ihsan menjadi pegangan dalam kehidupan seharian tetapi nilai itu tidak seharusnya dibatasi dan dihadkan sebagai amalan bagi seseorang individu saja.
Ia seharusnya diperluaskan supaya dapat difahami, dicerna, dihayati dan diterjemahkan dalam tindak-tanduk dan perlakuan pada peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam keluarga, komuniti ataupun organisasi termasuklah di tempat kerja yang menjadi sumber rezeki.
Kita seharusnya mempunyai keupayaan, iltizam dan kekuatan untuk mempraktikkan dan membudayakan nilai Islam yang begitu lengkap dan sempurna ini pada setiap peringkat serta ruang lingkup kehidupan, hatta dalam apa juga urusan seharian tidak kira di mana saja.
Sekiranya semua pihak tidak kira sama ada di kalangan pemimpin atau yang dipimpin, pemerintah atau yang diperintah, institusi atau individu mengambil langkah yang pragmatik dan bersepadu dalam merealisasikan matlamat yang suci dan murni ini.
Maka gejala yang merosakkan ini akan dapat dibendung dan dibanteras, malah martabat ummah juga dapat dijaga dan dipelihara sepenuhnya, insya-Allah.
Sebagai renungan, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada firman Allah yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Ruum ayat 30-41).