Tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa alunan lagu raya yang melatari suasana kemeriahan ketika berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara. Seawal penghujung Ramadan, ketika masyarakat sibuk membuat persiapan menyambut lebaran, daripada membeli pakaian baharu hinggalah menyediakan juadah, lagu-lagu raya mula berkumandang, menambahkan lagi seri suasana perayaan.
Kemeriahan Aidilfitri kian terserlah melalui perkongsian di media sosial, sama ada dalam bentuk gambar mahupun video yang memaparkan detik kebersamaan. Perkongsian gambar dan video tersebut juga sering diiringi oleh lagu-lagu raya yang sedang tular.
Antara lagu yang mendapat perhatian ialah Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno yang dilihat sangat dekat dengan realiti sebahagian masyarakat, khususnya golongan bujang. Lagu ini secara santai telah mengangkat satu situasi yang cukup sinonim setiap kali Aidilfitri, iaitu soalan-soalan berulang berkaitan jodoh seperti “bila nak kahwin?” atau “sudah ada calon atau tidak?” Meskipun dianggap biasa dan sekadar gurauan, pertanyaan sedemikian sering menimbulkan rasa kurang selesa kepada individu yang menghadapinya.
Hakikatnya, keinginan untuk berkahwin dan mempunyai pasangan ialah fitrah setiap manusia. Hal ini jelas dinyatakan di dalam Surah an-Naba’ ayat 8, maksudnya: “Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang.” Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya” (Surah Yasin, ayat 36). Hikmah Allah menciptakan makhluk berpasangan ialah bukti kekuasaan dan keindahahan-Nya.
Dalam konteks ini, perkahwinan bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi tuntutan fitrah dan menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan, bahkan menjadi jalan untuk mencapai ketenangan dan keberkatan hidup.
Kendatipun begitu, realiti untuk mendirikan rumah tangga pada hari ini tidaklah semudah yang disangka. Faktor kewangan menjadi pertimbangan utama, khususnya dalam kalangan lelaki yang akan memikul tanggungjawab menafkahi isteri dan anak-anak. Kos sara hidup yang kian meningkat, di samping perbelanjaan perkahwinan yang tinggi menyebabkan keputusan untuk berkahwin perlu diuruskan dengan teliti.
Kaji selidik SeaAsia Stats, Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang berdasarkan data pada tahun 2021 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan yang ketiga dengan jumlah individu bujang yang terbanyak (44.68%). Individu bujang yang dimaksudkan ialah mereka yang belum berkahwin, bercerai, berpisah atau balu.
Fenomena berkahwin pada usia yang semakin lewat turut mempengaruhi pertumbuhan penduduk kerana dunia sedang menyaksikan trend penurunan global dalam kadar kelahiran dan kesuburan keseluruhan (total fertility rate, TFR). Kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia bertajuk Perangkaan Demografi Malaysia, suku tahun kedua 2025 menyatakan bahawa semakin banyak negara merekodkan TFR di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita yang berumur 15 hingga 49 tahun. Menurut kenyataan media tersebut, situasi ini sekaligus “menimbulkan cabaran besar kepada struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial di peringkat global dan negara.”
Selain faktor kewangan, faktor pendidikan dan kerjaya turut mempengaruhi kecenderungan untuk berkahwin lewat. Kebanyakan generasi muda memilih untuk mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan kerjaya yang baik terlebih dahulu sebelum memasuki alam perkahwinan. Perubahan keutamaan ini memperlihatkan bahawa perjalanan kehidupan setiap individu tidak sama dan tidak boleh diukur dengan satu garis masa yang sama. Terdapat juga faktor peribadi dan faktor keluarga, seperti menjaga ibu bapa yang uzur, misalnya, yang menyebabkan seseorang menangguhkan hasratnya untuk berumahtangga.
Dalam hal ini, soalan berkaitan jodoh terutamanya sewaktu musim perayaan perlu dielakkan. Pertanyaan itu mungkin tidak bermaksud apa-apa yang negatif, tetapi jika diajukan berulang kali oleh pelbagai pihak, pastinya mengundang tekanan. Tanpa disedari, soalan-soalan itu menimbulkan rasa rendah diri dan kegelisahan dalam kalangan mereka yang masih belum bertemu pasangan.
Sebaiknya, soalan-soalan berkaitan jodoh ini diubah kepada ayat atau doa yang lebih positif seperti “semoga bertemu jodoh pada tahun ini” atau “semoga Allah temukan dengan orang yang baik” dan sebagainya. Lebih molek lagi sekiranya pihak orang tua atau ibu bapa itu sendiri yang mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka yang masih bujang. Perkara ini boleh dilakukan ketika amalan kunjung-mengunjungi sempena Aidilfitri. Selain mengeratkan silaturahim dengan sanak-saudara dan sahabat handai, ruang tersebut patut digunakan untuk mencarikan jodoh buat si anak.
Dalam era digital kini, pelbagai platform media sosial dan aplikasi telah dinormalisasikan untuk mencari jodoh. Hal ini menunjukkan bahawa telah berlaku peralihan kaedah pencarian jodoh daripada tradisional kepada digital. Masyarakat juga semakin terbuka untuk menyatakan ciri-ciri peribadi dan kriteria yang diinginkan dalam calon pasangan. Antara ciri yang diletakkan ialah julat umur, negeri asal yang sama, pekerjaan yang stabil, pengamalan agama dan gaya hidup. Persoalannya, apabila menyatakan ciri-ciri ini, adakah ia membantu mempercepatkan jodoh atau menjadikan individu lebih memilih dan bertambah sukar menemukan calon pasangan yang diimpikan?
Berkahwin tidak sepatutnya didorong oleh tekanan sosial, perbandingan dengan rakan sebaya mahupun tujuan material semata-mata. Islam menganjurkan perkahwinan bagi yang berkemampuan untuk memelihara kehormatan diri dan mengelakkan zina. Tujuan perkahwinan juga ialah untuk mendapatkan zuriat yang soleh dan solehah.
Tuntasnya, Aidilfitri seharusnya disambut dengan kegembiraan dan menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim, bukannya medan yang menimbulkan tekanan yang tidak perlu. Dalam meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, maka sudah saatnya kita menilai semula bentuk pertanyaan yang diajukan supaya setiap individu dapat menikmati kemeriahan Syawal dengan rasa dihargai dan dihormati, bukannya dihakimi.

