“Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.”—Baginda Nabi Muhammad sallaLlahu alayhi wa-s salam (Hadith riwayat al-Bukhari)
Dalam suasana semasa dimana kaum Muslimin dan negara-negara Muslim telah mula menunjukkan suatu perpaduan dan kesatuan oleh kerana penindasan terkini Israel terhadap Palestin, penulis berpendapat bahawa negara-negara Muslim perlu menganjurkan suatu intervensi yang lebih strategik berasaskan pendekatan peradaban (whole-of-a-civilization) dalam memberi tentangan balas yang positif lagi membina terhadap senario antarabangsa yang tidak adil ini.
Ini kerana jaringan sekular-zionis antarabangsa telah mengambil hampir serratus tahun (atau lebih) untuk membina kekuatan kewangan, kekuatan media, dan kekuatan intelektual untuk memastikan seluruh dunia terpengaruh dan cenderung kepada perjuangan mereka.
Pengaruh sekular-zionis ini begitu meluas hinggakan ada dikalangan Kaum Muslimin terpelajar yang masih berfikir bahawa dunia akan lebih adil dan makmur dibawah kepimpinan dan percaturan kerangka dan kuasa-kuasa yang sejajar dengan ideologi politik liberal Barat (yang digelar Global Liberal Order atau Liberal World Order), oleh kerana tidak lagi yakin dengan kemampuan dunia Islam untuk mentadbir dan mencatur hal ehwal antarabangsa dengan baik dan berkesan.
Oleh itu, tentangan kaum Muslimin terhadap kezaliman Zionis perlu melangkaui pendekatan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) yang dianjurkan oleh golongan aktivis. Tidak dinafikan pendekatan BDS ini telah menampakkan suatu kesedaran yang semakin tinggi dalam masyarakat dunia. Namun, sebagai Ummatan Wasatan dan peradaban yang kaya dengan ilmu-ilmu hikmah tiada tandingannya dalam sejarah manusia, kaum Muslimin wajar dan mampu membuat lebih dari ini untuk impak yang lebih besar.
Kaum Muslimin harus sedar bahawa, walaupun segala kekayaan, pencapaian sains, teknologi canggih, dan universiti-universiti terkemuka di dominasi oleh bangsa-bangsa Barat, ini tidak bermakna kaum Muslimin dan peradaban Islam kini hampa dari sudut ilmu, keupayaan intelek, serta penyelesaian-penyelesaian kepada permasalahan global semasa.
Sebagai umat Baginda Nabi sallahu alayhi wa-salam, Khatamul Anbiya’ wa-l Mursalin (penutup segala Nabi dan Rasul), kita tetap mempunyai peranan yang istimewa untuk ditonjolkan dalam dunia hari ini. Peranan ini ialah untuk menjadi Umat Pertengahan (Ummatan Wasatan) untuk semua bangsa dan manusia di dunia, yakni menjadi umat yang paling seimbang dan adil dalam kehidupan. Peranan ini ialah untuk menjadi individu yang berdaya-cipta, bukan sekadar pengguna teknologi. Dan peranan ini ialah untuk memberi suatu halatuju kepada kehidupan dan peradaban manusia agar kita tidak semata-mata membenarkan kebatilan, dan ketamakan berleluasa.
Juga, walaupun kaum Muslimin tidak mempunyai jumlah pemikir, sarjana ulung, intelek muda, dan jutawan yang ramai berbanding bangsa-bangsa Barat, namun mereka tetap wujud dipelbagai tempat pada pemerhatian penulis.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh pemikir-sarjana kita, Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, “Orang-orang baik, ikhlas dan mulia, yang muda dan tua, dari kalangan umat kita ini memang ramai. Tetapi mereka seperti butir-butir berlian pelbagai darjat kecerahan berselerakan dan bertaburan. Jika butir-butir berlian ini disusun-atur dan hubung-jalin mengikut satu rencana yang kemas dari fikiran kepimpinan yang jelas, akan terjadilah satu utai kalung yang sangat indah dan bernilai, atau lebih baik lagi: satu mahkota agung simbol kehebatan dan kemuliaan sebuah peradaban tinggi.” (Catatan laman Facebook rasmi, 8 Julai 2013)
Maka, satu strategi yang mungkin boleh dimanfaatkan ialah mengusahakan agar “butir-butir berlian” dikalangan pemimpin masa hadapan Muslim, antara umur 30an hingga 50an, dari pelbagai sektor strategik termasuk pemikir muda, pemimpin tentera muda, pemimpin politik muda, pemimpin perniagaan muda, serta pemimpin diraja muda dari pelbagai masyarakat Muslim dihimpunkan dan diperkenalkan antara satu sama lain.
Seterusnya, dibawah pimpinan generasi yang lebih berpengalaman dikalangan para sarjana dan pemimpin pelbagai sektor, angkatan atau kumpulan ‘askar-askar’ atau ‘agen-agen’ peradaban Islam di asah pemikirannya, di beri kemahiran-kemahiran yang sewajarnya, serta di beri sistem sokongan yang di sewajarnya untuk berupaya menjelmakan perubahan terpuji yang lebih besar di negara masing-masing dan juga di medan antarabangsa baik dari segi diplomasi, media, ekonomi dan kewangan, ketenteraan, pendidikan, maupun wacana global supaya dunia Islam akan berada pada kedudukan yang lebih kuat.
Antara misi ‘askar-askar’ atau ‘agen-agen’ peradaban Islam ini ialah untuk memastikan idea-idea dan cara fikir agen-agen sekularisasi serta agen-agen Zionis tidak terus menyusup dalam medan antarabangsa, dan untuk memberi halatuju balas kepada dominasi jaringan sekularisasi dan Zionis.
Pada pemerhatian dan pengetahuan penulis, belum ada inisiatif sebegini rupa hatta pada peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tetapi ‘benih-benihnya’ telahpun ditanam dibeberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia dan di beberapa negara lain. Pada masa sama, jaringan sekularis-zionis telah melaburkan wang yang banyak untuk mempengaruhi cara fikir dan pemikiran pemimpin muda Muslim supaya berfikir dengan cara-gaya mereka dan mempengaruhi pemimpin muda Muslim supaya boleh menjadi duri dalam daging, dan menjadi ‘agen’ mereka secara sedar atau tidak sedar.
Bayangkan sekiranya keadaan ini berterusan tanpa intervensi yang strategik. Adakah kita akan membiarkan anak-anak kita mengikut sepenuhnya segala kepercayaan, kehendak dan cara berfikir individu-individu seperti Bill Gates, Elon Musk, Klaus Schwab atau Yuval Harari bila diberi peluang oleh kerana kekayaan dan pengaruh mereka?
Pemimpin muda Muslim dan golongan cerdik pandai Muslim perlu lebih cermat apabila menilai wacana individu-individu seperti ini kerana terdapat titik buta (blind spot) besar yang boleh meruntuhkan dasar-dasar penting peradaban Islam.
Bagi negara-negara Muslim, tumpuan kita harus tertumpu kepada menghasilkan sekali lagi peradaban yang terpuji, seperti yang dizahirkan oleh umat Islam terdahulu (yang berakhir dengan era Empayar Uthmaniah Turki) yang pada asasnya diilhamkan oleh Zaman Kesejahteraan Tulen (Asr as-Sa’adah): zaman Baginda Nabi Muhammad SAW.
Pendekatan peradaban yang dianjurkan disini tidak bermakna kita ingin memaksakan hegemoni satu peradaban terhadap peradaban atau bangsa-bangsa lain. Kita juga tidak perlu menganjurkan agar agama dan peradaban lain disisihkan. Sebaliknya, dalam pendekatan peradaban Islam, golongan terpelajar akan berupaya mengambil manfaat daripada kebijaksanaan dan ajaran hikmah ajaran tradisional dan agama-agama besar dunia.
Pada masa sama, ini tidak bermakna kita perlu menolak sepenuhnya segala ciptaan teknologi dan inovasi baharu dari dunia sekular-Barat, tetapi lebih penting lagi, kita perlu mempunyai keupayaan pemikiran dan keupayaan peradaban untuk tidak membiarkan teknologi membentuk budaya, cara fikir, dan halatuju masyakarat kita yang punyai matlamat lebih luhur.
Malaysia boleh menjadi negara pelopor dan memimpin negara-negara Muslim lain untuk inisiatif penting ini.