PERUTUSAN KHAS
YBHG. PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM BIN MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH IKIM
SEMPENA
RAMADAN ALMUBARAK 1445H/ 2024
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wrt wbt
Saudara muslimin dan muslimat yang dimuliakan Allah SWT.
- Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i).
- Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Pencipta seluruh alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda sekalian.
- Dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan pada kali ini. Sesungguhnya, bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Tiada yang lebih bermakna kepada kita pada saat ini selain berpeluang untuk beribadat pada bulan yang penuh dengan barakah lagi dimuliakan ini.
- Kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan seringkali disebut di dalam al-Quran sehingga bulan Ramadan dikenali sebagai Penghulu segala bulan. Rasulullah SAW menegaskan bahawa: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” – Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi.
- Oleh itu, marilah kita merebut peluang dan kesempatan yang Allah SWT kurniakan kepada kita untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadat kepada Allah yang maha Esa. Sesungguhnya bulan Ramadan merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada kita kerana di dalamnya terkandung seribu rahmat dan nikmat.
- Di dalam bulan Ramadan, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan amal kebajikan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran pahala daripada Allah SWT. Justeru marilah kita melakukan sebanyak mungkin amal ibadah dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran atau tadarus, menghadiri majlis ilmu, bekerja dengan lebih tekun serta memperbanyakkan amal ibadah seperti bersedekah kepada golongan fakir miskin dan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak mengurangi sedikitpun pahala puasanya.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
- Insyaallah di bulan yang mulia ini juga, marilah sama-sama kita memohon maghfirah atau pengampunan daripada Allah Taala atas segala dosa dan khilaf kita selama ini. Tidak kira sama ada dosa kepada Allah, ibubapa, sahabat, rakan sekerja, jiran tetangga, saudara mara dan umat Islam seluruhnya. Kita mungkin tidak perasan bahawa kita secara sengaja atau tidak sengaja pernah melukakan hati insan lain tanpa kita sedari. Semoga dengan memohon maaf akan menghapuskan segala dosa-dosa kita yang lalu dan memadamkan api persengketaan.
- Sekali lagi saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua, marilah kita mengasuh hati nurani kita menjadi seorang insan yang penuh dengan nilai kesabaran yng tinggi, mengenepikan ego yang boleh merosakkan keperibadian diri, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan diri, berbuat baik kepada orang lain dan menyerlahkan sifat-sifat mahmudah sehingga melahirkan kita sebagai insan kamil yang bertaqwa.
- Seperti yang saya nyatakan tadi, marilah kita manfaatkan bulan Ramadan dengan menimba sebanyak mungkin ilmu dan memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah. Justeru, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk terus menjadi pendengar setia radio IKIMfm. Ini kerana, di bulan Ramadan tahun ini, banyak sekali rancangan-rancangan khas yang cukup istimewa diterbitkan khusus untuk para pendengar. Antara rancangan radio IKIMfm yang diterbitkan sempena kedatangan bulan yang mulia ini ialah rancangan Drama Khas Ramadan bertajuk Semerdu Kasih Ramadan, rancangan G Alpha, Tazkirah Ramadan, kapsul Inspirasi Ulama, Sit & Seek Podcast Istimewa Ramadan dan rancangan Light of Ramadan.
- Begitu juga TV IKIM turut menyajikan rancangan Istimewa di bulan Ramadan ini kepada para penonton mereka. Antara rancangan khas yang diterbitkan ialah IKIM merentas Benua: Uzbekistan, Wanita Dalam Islam, Forum Bicara ad-din dan Tips Ramadan. Apa yang menariknya, rancangan-rancangan di radio IKIMfm atau TVIKIM boleh ditonton di mana-mana sahaja dengan memuat turun aplikasi IKIMfm dan TVIKIM di App Store dan Google Play.
- Suka juga saya berkongsi kepada tuan-tuan dan puan-puan berkenaan buku baharu yang diterbitkan oleh Penerbit Buku IKIM, yang saya kira amat bermanfaat dan sesuai dijadikan bahan bacaan sempena bulan Ramadan ini. Buku yang bertajuk Fasting in Islam ditulis oleh Dr. Mohd Zaidi Ismail, banyak merungkai tentang falsafah ibadah puasa yang mengangkat nilai keronian seseorang insan. Sebuah lagi buku yang juga diterbitkan oleh IKIM bertajuk Madrasah Ramadhan: Pengajaran dari Pelbagai Dimensi, disunting oleh mantan Ketua Pengarah IKIM Profesor Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin yang menyentuh pelbagai aspek termasuk kesihatan fizikal dan mental, ekonomi, keadilan sosial, sains, dan pengukuhan tauhid, akidah serta keimanan. Insyaallah buku-buku yang saya nyatakan tadi tuan puan terdapat di IKIM niaga sekiranya tuan-puan berminat untuk memperolehinya.
- Akhir kalam, bermula 1 Ramadhan 1445H bersamaan tahun 2024, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat tidak kira di mana jua berada dengan ucapan Marhaban Ya Ramadhan dan selamat menyambut ketibaan bulan Ramadan, bulan suci penuh keberkatan!
- Wabilahitaufik wal hidayah Assalamualaikum WBT.