Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita menghadapi kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja profesional seperti doktor, saintis, dan jurutera. Sekiranya isu ini terus berlaku, kemungkinan negara akan menghadapi pelbagai implikasi dalam jangka masa panjang. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa negara kita kekurangan seramai 30,000 jurutera. Angka yang begitu besar dan membimbangkan ini menjadi cabaran serius, terutamanya ketika Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi negara maju yang mengaplikasikan teknologi baharu iaitu Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Kekurangan jurutera ini bukan sahaja menghambat kemajuan teknologi dan inovasi, tetapi juga mengancam potensi pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini kerana, jurutera memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aplikasi teknologi baharu. Namun begitu, dikala negara sedang menghadapi isu ini, pada masa yang sama arus media juga turut melaporkan lambakan graduan kejuruteraan. Persoalan yang bermain di minda kita, adakah peluang pekerjaan yang berkurang atau jurutera yang semakin menghilang?
Melihat kepada perkembangan arus pendidikan semasa di Malaysia, bidang kejuruteraan kini ditawarkan sejak di peringkat sekolah menengah. Ini termasuk Sekolah Menengah Teknik, MRSM Teknikal, dan jurusan Sains Teknikal di sekolah berasrama penuh serta sekolah harian biasa. Di samping itu, bidang kejuruteraan juga tersedia di peringkat diploma, matrikulasi kejuruteraan, dan program setaraf lainnya. Langkah ini bertujuan untuk menyediakan tapak asas bagi menggalakkan generasi muda memilih kejuruteraan sebagai bidang pengajian tinggi mereka, dan seterusnya, membina kerjaya sebagai jurutera. Negara kita juga mempunyai universiti awam (UA) dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN) yang menawarkan kursus aliran kejuruteraan, yang sentiasa melahirkan ramai graduan dalam bidang ini setiap tahun. Bukan itu sahaja, jurusan kejuruteraan juga turut ditawarkan di universiti yang lain antaranya universiti penyelidikan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Premier seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan universiti swasta seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP). Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasakan bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya negara sentiasa melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan berkualiti. Perkembangan dalam melahirkan graduan kejuruteraan menunjukkan bahawa kerajaan amnya dan sektor pendidikan khususnya begitu serius untuk melahirkan ramai jurutera di Malaysia.
Mengapa Jurutera Menghilang?
Bidang kejuruteraan dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, dan Kejuruteraan Elektrik. Ketiga-tiga bidang ini memegang peratusan yang besar di dalam sektor pekerjaan bidang kejuruteraan. Namun, terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh jurutera dan graduan kejuruteraan.
Gaji yang Tidak Setimpal
Isu gaji jurutera yang tidak setimpal dengan kelulusan sering kali dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada Oktober 2019, pernyataan daripada Prof Ir. Megat Johari Megat Mohd Noor yang merupakan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia, menyatakan kadar gaji jurutera tempatan adalah statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu. Diikuti tahun 2021, menghangatkan lagi isu ini apabila satu tajuk utama akhbar iaitu “Jurutera Miskin” menggambarkan situasi di mana ramai jurutera menghadapi masalah gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan dan tanggungjawab mereka. Bagi menangani isu ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mengesahkan secara rasmi di dalam Parlimen bahawa satu task force telah ditubuhkan pada 22 November 2021 bagi mengkaji isu gaji jurutera yang tidak setimpal ini. Pada tahun berikutnya, Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Tuan Ahmad Fadhli Shaari juga membentangkan isu berkaitan “Jurutera bekerja di bawah Paras Garis Kemiskinan” di Parlimen.
Yang Dipertua Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman juga memaklumkan satu hasil laporan kajian menunjukkan hampir 35 peratus jurutera di negara ini menerima gaji permulaan di bawah RM 2,000 dan kadar kenaikan gaji yang tidak selari dengan kadar inflasi semasa. Lembaga Jurutera Malaysia telah menggesa syarikat yang menggaji jurutera menetapkan julat gaji permulaan jurutera antara RM2,500 hingga RM3,500 atau kadar lebih tinggi mengikut kemampuan majikan. Ini adalah selaras dengan kadar permulaan gaji pokok jurutera sebanyak RM3,335 yang digariskan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia: Kos Perkhidmatan Perunding (PK 3.2) (Pindaan April 2021). Isu mengenai gaji ini telah dibangkitkan saban tahun dan terkini pada 8 Mac 2024, pihak Lembaga Jurutera Malaysia telah mengadakan “Bengkel Pelan Tindakan Isu Gaji Permulaan Jurutera Rendah”. Harapan agar bengkel ini dapat menghasilkan satu keputusan yang positif dan memberi sinar baru pada golongan jurutera dan bakal jurutera.
Beban Kerja Berlebihan
Komitmen dan waktu bekerja di luar norma adalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh jurutera pada masa kini. Adakah generasi muda bersedia untuk melalui cabaran tersebut? Sesetengah graduan mungkin bersedia dan ada juga yang mengambil keputusan bertukar angin memilih bidang lain yang mampu memberi pulangan lumayan. Memetik kenyataan Persatuan Jurutera Malaysia (MAE) ‘Orang muda lebih berahi menjadi pempengaruh berbanding jurutera’. Hal ini kerana, pendapatan yang lebih lumayan, waktu kerja yang bebas, tiada pemantauan atau kurangnya kerenah birokrasi. Berbeza sekali sebagai seorang jurutera mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar dimana mereka bertanggungjawab atas segala keputusan yang dibuat. Risiko kegagalan, risiko kelewatan projek dan risiko kualiti adalah antara risiko yang perlu dihadapi oleh setiap yang bergelar jurutera. Persediaan dari sudut mental dan fizikal adalah antara perkara asas yang perlu ada sebelum bergelar jurutera. Persoalan yang kembali berbangkit adakah graduan bersedia? ‘Tepuk Dada Tanyalah Selera’.
Sebagai contoh, sektor pembinaan di Malaysia adalah antara sektor yang banyak menyediakan perjawatan jurutera. Sektor pembinaan sering dikaitkan dengan neologisme Asia 3D: “Kotor (Dirty)”, “Berbahaya (Dangerous)”, dan “Sukar (Difficult)”. Sektor pembinaan sentiasa menjanjikan pengalaman yang sangat mencabar kepada graduan muda. Bekerja di bawah terik mentari, pekerja dari pelbagai negara, keadaan tapak yang sangat mencabar adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang jurutera di tapak bina. Mungkin ianya tidak sama seperti yang dipaparkan oleh drama Melayu di kaca televisyen, bertali leher, berseluar slack, dan berbaju kemeja kerana itu hanya ilusi dan fantasi. Pada dasarnya, jurutera perlu bersedia untuk menerima beban kerja yang tinggi kerana tugas dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan setiap projek dapat diserahkan pada masa yang ditetapkan, tiada lebihan kos dan kualiti yang terbaik. Melihat kepada beban kerja, memungkinkan graduan muda tidak berminat kerana risiko berkaitan kesihatan mental dan fizikal yang amat tinggi.
Mencari Solusi
Secara amnya, lambakan graduan kejuruteraan itu ada benarnya, tetapi kebanyakan mereka tidak memilih kerjaya jurutera berikutan isu gaji yang tidak setimpal dengan beban dan cabaran kerja. Sekiranya isu ini dapat ditangani, sudah pastinya kekurangan jurutera ini juga dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, satu mekanisme khusus perlu difikirkan agar pembaziran graduan jurutera yang tidak mahu bekerja di bidang kejuruteraan dapat diminimumkan. Pembaziran bukan hanya berlaku dalam bentuk nilai mata wang, tetapi juga pembaziran modal insan yang begitu berharga kepada negara. Setiap graduan memiliki potensi yang besar, jika terus digilap, pasti suatu hari nanti akan membawa impak yang signifikan kepada negara.
Naida binti Rosli & Ir. Zaidi bin Mohamad