Kelestarian secara umumnya membawa maksud pengekalan sesuatu perkara atau keadaan. Ini bermakna, kelestarian ada kaitannya dengan usaha mengekalkan serta memelihara keaslian. Walaupun begitu, kelestarian dalam konteks yang lebih luas sewajarnya merangkumi bukan sahaja pengekalan tetapi turut menambahbaik keadaan sedia ada.
Sering kali, faham kelestarian ini dikaitkan dengan bidang alam sekitar iaitu melalui konsep pembangunan lestari. Konsep ini bermaksud, satu bentuk pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Dari sudut pandangan hidup Islam, konsep ini merangkumi tuntutan untuk berlaku adil kepada semua makhluk Allah SWT, berhemah dalam penggunaan, berhikmah dalam membuat keputusan serta mengambil kira konsep maslahah dalam melayari kehidupan sebagai hamba-Nya.
Selain alam sekitar, konsep kelestarian turut merangkumi bidang-bidang lain iaitu pendidikan, ekonomi, perniagaan, pemikiran sosial, sains dan sebagainya. Malah, dikatakan bahawa kelestarian boleh disesuaikan dengan keperluan dan tujuan pelbagai disiplin sedia ada. Oleh itu, makna sebenar kelestarian telah berubah kepada hanya bermakna “baik” atau “positif.” Hal ini telah menimbulkan salah faham terhadap konsep tersebut dan keadaan itu boleh menjejaskan pemahaman dan seterusnya mempengaruhi tindakan untuk mencapainya.
Walaupun penting untuk memahami konsep kelestarian ini namun hakikatnya tidak ramai yang tahu atau sedar. Dalam kehidupan seharian, pernahkah pembaca bertanya kaitan konsep tersebut dalam hidup? Apakah kaitannya dengan makanan, pakaian serta tempat tinggal masing-masing? Apakah peranan ahli masyarakat dalam usaha-usaha kelestarian? Bagaimana pula kelestarian boleh boleh dicapai?
Kegagalan untuk memastikan kelestarian sebenarnya secara langsung akan menjejaskan hidup kita. Kesejahteraan, ketenangan, keselamatan, kesihatan serta kesenangan hidup manusia akan terganggu jika kelestarian terus diabaikan.
Contoh paling mudah ialah apa yang berlaku baru-baru ini di Cameron Highlands. Akibat kegiatan pertanian yang tidak terancang, pembukaan tanah tanpa kawalan serta penebangan hutan yang keterlaluan, Cameron Highlands sekali lagi berhadapan dengan masalah tanah runtuh dan banjir lumpur. Ini bukan kali pertama. Malah, mungkin juga bukan kali yang terakhir, terutamanya jika kita terus berdegil untuk melakukan kegiatan yang tidak menghormati persekitaran. Dalam keadaan ini, apakah tindakan yang wajar, akan hanya diambil selepas Cameron Highland runtuh keseluruhannya?
Kes di Cameron Highlands adalah petanda kepada kegagalan memelihara, memastikan serta mencapai kelestarian. Menurut Prof. Emeritus Shaharir Mohd. Zain, gangguan kelestarian berpunca daripada tingkahlaku ekstremisme. Seperti mana yang kita ketahui, ekstremisme merangkumi sikap, perbuatan atau tindakan yang melampau atau berlebih-lebihan. Dalam konteks ini, sikap melampau dalam penggunaan sumber alam, melampau dalam pembangunan sehingga menidakkan hak makhluk lain di bumi ini serta berlebih-lebihan dalam kepenggunaan seperti yang ditunjukkan dalam budaya kepenggunaan moden, merupakan antara faktor ketidaklestarian masyarakat.
Maka, keadaan ini mengajak kita untuk berfikir semula tentang diri kita. Di manakah kedudukan kita dalam hal ini? Apa sumbangan kita terhadap permasalahan “ekstremisme” yang disebutkan tadi? Apa pula perubahan yang boleh kita lakukan untuk membetulkan keadaan yang pincang itu?
Sebenarnya, untuk mencapai kelestarian, banyak usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak. Undang-undang, peraturan dan dasar-dasar awam semestinya perlu untuk menyokong kelestarian namun, usaha untuk menjadikannya kenyataan memerlukan perubahan secara besar-besaran dalam sikap, tingkah laku dan gaya hidup masyarakat awam.
Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menggerakkan perubahan sikap dan tingkahlaku secara besar-besaran. Paling penting beristiqamah dalam usaha tersebut. Sedarlah bahawa, sikap ekstremisme sehingga membawa kerosakan tidak digalakkan dalam Islam. Apa yang perlu kita usahakan kini ialah memahami kelestarian dan memastikannya terpancar dalam setiap kegiatan harian – daripada membuat pilihan, keputusan hinggalah kepada segala tindakan.