Perkembangan teknologi maklumat pada masa kini di percayai dapat melenyapkan atau mengembangkan sesuatu bahasa. Pada dekad 1990-an tatkala internet tersebar luas sebenarnya tanpa kita sedari Bahasa Inggeris telah menjelajah ke seluruh dunia. Penjajahan bentuk baru ini telah mengenepikan semua bahasa-bahasa yang ada di dunia ini. Bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa utama dalam aplikasi teknologi maklumat ini., Jadi, semua bangsa-bangsa yang ada di dunia ini perlu mempelajari atau memahami Bahasa Inggeris untuk menguasai teknologi maklumat yang begitu cepat berkembang.
Penjajahan bentuk baru ini, tidak perlu lagi menghantar angkatan tentera bersenjata untuk menyerang dan menakluk sesebuah negara. Penjajahan bentuk baru ini lebih menumpukan kepada “penjajahan pemikiran’. Apabila fikiran atau gaya fikir rakyat sesebuah negara itu telah dapat dijajah maka lambat laun rakyat akan bangun memberontak dan mengulingkan sesebuah kerajaan. Ini lah apa yang berlaku di dalam dunia pada hari ini.
Perkembangan teknologi komunikasi masa kini, telah memberi satu tamparan yang hebat terhadap Bahasa Melayu. Bahasa Melayu kini telah diserang habis-habisan akibat daripada perkembangan teknologi komunikasi ini. Generasi yang akan datang tidak lagi akan dapat menjiwai Bahasa Melayu sebagaimana generasi-generasi yang sebelum ini. Bahasa Melayu yang satu ketika dahulu telah menjadi lidah atau medium dalam perjuangan bangsa untuk menentang penjajah dan perjuangan menentang Malayan Union tetapi kini telah dicemar oleh penutur bahasa itu sendiri.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman getir dan amat mencabar. Kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris telah memberikan tamparan hebat kepada Bahasa Melayu. Oleh itu, evolusi Bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan kesan daripada penjajahan tersebut. Kini, perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi sekali lagi menyerang Bahasa Melayu seterusnya telah mencorakkan bentuk masyarakat yang baru, struktur ekonomi yang baru lebih berpaksi kepada alam maya serta pasaran sengit dalam pasaran antarabangsa. Oleh itu Bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia.
Dalam keluaran akhir Februari 2012, The Economist muncul dengan “Embracing the Future”, mengingatkan penggunaan teknologi atau kehilangannya. Menurut David K. Harrison, ahli linguistik dari Swarthmore College di Pennsylvania bahawa teknologi moden dapat menyelamatkan bahasa, di samping memusnahkannya. Harrison yang pernah menjalankan kajian dan menulis kepupusan bahasa optimis dan percaya bahawa teknologi maklumat (TM), iaitu sesuatu yang dianggap oleh banyak orang sebagai ancaman terhadap kepelbagaian bahasa.
Bahasa Melayu rojak kini semakin berkembang luas tanpa ada sebarang halangan dan sekatan. Bahasa Melayu yang telah dicampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang saban hari dicemari oleh penutur Bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyaksikan berlakunya ancaman yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan bahasa Melayu semakin dilacurkan. Penggunaan Bahasa Melayu dalam SMS, Facebook, Whats App, Telegram, We Chat dan berbagai-bagai lagi aplikasi tidak lagi menggunakan Bahasa Melayu yang betul atau standard. Contoh-contoh Bahasa Melayu yang sering digunakan di ruang siber adalah seperti “Pergh…gempak giler, Terbaek, OK..orait, Ellemak ..lupa lak, Eeee..teruknya, chow, Opocot, Hek eleh…singkatan-singkatan yang sering di gunakan seperti Pulak jadi lak, pergi jadi p, minta diri dulu jadi chow, serta beratus-ratus lagi atau mungkin beribu-ribu lagi perkataan-perkataan yang digunakan. Fenomena sebegini merupakan unsur perubahan yang dikuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum-hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal.
Keupayaan bahasa Melayu untuk bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penutur Bahasa Melayu itu sendiri. Sikap masyarakat terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Ketidak yakinan kita terhadap bahasa Ibunda yang mampu berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa mengakibatkan bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan bahasa-bahasa lain di dunia. Penutur Bahasa Melayu lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin mernjadi ancaman terhadap kemurniaan Bahasa Melayu. Mereka menganggap Bahasa Melayu tidak setanding dengan Bahasa Inggeris serta mereka kononnya merasakan lebih elit menggunakan Bahasa Inggeris walaupun mereka bertutur dengan orang Melayu. Mereka juga menganggap Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal.
Kita juga terpaksa menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi ini merupakan ilmu yang datang daripada luar. Ilmu ini tidak dapat di temui dalam dunia Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus kiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini.
Merujuk kepada rencana dalam Dewan Bahasa pada bulan Mac tahun 2012, menyatakan bahawa mengikut Ethnologue, pada tahun 2005, terdapat sejumlah 6912 bahasa di dunia. Daripada jumlah tersebut, 516 menghadapi ancaman kepupusan. Perangkaan menunjukkan bahawa bahasa dunia yang terancam dan bakal menghadapi kepupusan adalah seperti yang berikut: di Eropah 200 bahasa, Amerika (Utara dan Selatan) 1000 bahasa, Afrika 2400 bahasa, Australia 231 bahasa, serta di benua Asia dan kawasan Pasifik 3200 bahasa dan daripada jumlah tersebut, 800 bahasa terdapat di Papua New Guinea.
Generasi muda hari ini akan lebih mementingkan bahasa yang mempunyai nilai-nilai ekonomi serta bahasa yang santai dan mudah digunakan dalam ruang siber.. Faktor-faktor lain mungkin tidak dipentingkan sangat.
Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.
Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.
Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan “yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya”. Salah satu perkara yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.
Menurut Profesor Dr James T. Collins apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya..
Sebagai renungan, satu ketika dahulu, apabila pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris telah diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad pada tahun 2003, berbagai-bagai reaksi yang kita terima bersifat menentang penggunaan bahasa Inggeris itu terutama daripada mereka yang kononnya dianggap sebagai pejuang Bahasa. Tetapi kini apabila Bahasa Melayu diruang siber itu dilacurkan setiap saat , bagaimanakah pejuang Bahasa itu dapat berperanan?