Genap seminggu Bajet 2014 dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia di Parlimen. Antara lain bajet kali ini menyentuh perihal rasionalisasi subsidi yang sememangnya menjadi perhatian segenap masyarakat begitu juga isu pengenalan kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Keterangkuman isu-isu yang menjadi perhatian sememangnya banyak menumpu kepada aspek mengukuhkan ketahanan ekonomi negara lantaran keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Ketahanan ekonomi sebagai satu dasar yang dipegang dalam aspek membangunkan negara merupakan satu perkara yang kritikal. Hal demikian kerana keadaan ini mencerminkan keupayaan negara untuk menangani sebarang keadaan (ekonomi) ataupun membenarkan negara menganjal kedudukan atau keputusan tanpa membabitkan kerugian yang signifikan. Ketiadaan teras yang kuat bagi menyokong ekonomi negara dikhuatiri akan menyebabkan negara berada diambang kejatuhan ekonomi yang dahsyat.
Dalam konteks yang berbeza usaha mewujudkan teras bagi menyokong ketahanan ekonomi tidak hanya bersifat material. Bahkan juga sebenarnya bermula daripada sistem jaringan sosial yang kuat iaitu institusi keluarga. Hal demikian kerana jalinan hubungan kekeluargaan yang erat adalah faktor utama kepada motivasi insan untuk berusaha mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup. Bahkan individu yang menpunyai teras kekeluargaan yang kuat mampu mengharungi pelbagai cabaran untuk berjaya sekalipun tidak memiliki kelebihan material.
Bajet 2014 sebagaimana yang diumumkan tempoh hari secara tidak langsung menyentuh aspek keluarga dan peranan wanita menggambarkan bahawa institusi ini memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara. Wanita sebagai tulang belakang keluarga dilihat mempunyai peranan yang istimewa menyeimbangkan tuntutan ekonomi dengan mengekalkan keharmonian rumahtangga agar individu tidak hanya menumpu kepada pengembangan dan kemajuan aspek material semata-mata.
Melihat kepada purata pendapatan per kapita tahun 2009 iaitu RM 24,879 dan tahun 2011 sebanyak RM 29,661 hakikat pertambahan ini bukanlah bermaksud setiap orang mengalami pertambahan pendapatan yang aktif. Bahkan masih ramai di kalangan masyarakat berada dalam keadaan terhimpit akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang tidak mampu ditanggung mereka. Ini menyebabkan institusi keluarga semakin terpinggir kerana individu lebih banyak menumpukan usaha demi kelangsungan hidup dan bukan mencapai kesejahteraan hidup.
Bahkan, dalam konteks semasa realiti hari ini wanita yang bekerja adalah berdasarkan dua faktor utama iaitu pilihan dan jalan penyelesaian kepada tuntutan-tuntutan keperluan hidup termasuklah dalam sektor pekerjaan yang kritikal seperti perubatan dan seumpamanya.
Rentetan daripada keadaan ini menyebabkan keluarga pada hari ini tidak dapat berfungsi secara alami apabila kedua-dua ibu bapa terikat pada satu jangka masa yang spesifik demi mendapatkan perbelanjaan untuk keluarga. Perpindahan penjagaan anak mula dikomersial yang sedikit sebanyak telah mengurangkan masa kualiti anak bersama ibu sebagai pendidik pertama dalam hidup mereka.
Sungguhpun demikian, usaha wanita keluar bekerja bukanlah satu perkara yang sia-sia. Bahkan ada ketikanya memberi rahmat kepada orang lain seperti seorang doktor perbidanan yang membantu ibu bersalin, para pendidik yang menyampaikan ilmu, usahawan yang membantu si bapa menambah rezeki keluarga dan pelbagai lagi. Maka atas dasar inilah peranan wanita dalam kerjaya harus dibezakan dan diiktiraf sumbangannya.
Tidak dinafikan sehingga hari ini terdapat peruntukan-peruntukan tertentu yang membantu wanita bekerjaya mengurus keluarga. Akan tetapi dengan kecanggihan teknologi dan demi memenuhi matlamat mensejahtera keluarga maka satu cadangan perlu dipertimbang kembali iaitu kaedah kerja yang fleksibel bagi ibu-ibu bekerjaya.
Pelaksanaan jadual kerja berasaskan output yang fleksibel bagi sektor-sektor tertentu tidak hanya memberi manfaat kepada keluarga bahkan boleh mengurangkan risiko kemalangan yang membabitkan anak-anak kecil, menggalak amalan penyusuan susu ibu, mengurangkan kesesakan di jalan raya dan pelbagai lagi.
Peruntukan masa yang berkualiti bersama keluarga memberi manfaat emosi kepada manusia sama ada ibu bapa mahupun anak-anak. Anak-anak akan merasa diri lebih dihargai dalam keluarga dan menjadikan keluarga sebagai pusat rujukan dalam kehidupan mereka. Keadaan ini akan menghindarkan anak-anak daripada terjebak dalam salah laku sosial yang merosakkan mereka. Bahkan keruntuhan sosial merugikan negara kerana terpaksa mengeluarkan belanja menyediakan prasarana rehabilitasi sedangkan dalam masa yang sama boleh memperoleh manfaat modal insan daripada mereka.
Dalam konteks ibu bapa, manfaat emosi menjadikan ibu bapa sebagai individu yang lebih produktif dan seimbang. Hal demikian disumbangkan oleh perasaan selamat dan tenang untuk bekerja dengan lebih kuat kerana yakin akan keselamatan dan kesejahteraan keluarga semasa mereka bekerja.
Usaha mengukuhkan ketahanan ekonomi negara seharusnya melihat modal insan sebagai faktor kemanusian dan bukan dari sudut nilai ekonomi semata-mata. Bahkan institusi keluarga memainkan peranan penting untuk menyediakan modal insan yang berkualiti, produktif dan berdaya maju untuk negara. Justeru, inovasi dalam kaedah kerja perlu diperhalusi dan diiktiraf agar matlamat negara untuk mencapai pembangunan yang seimbang akan terlaksana.