Pemelukan agama kanak-kanak kembali menjadi kemelut apabila kes ibu tunggal, Loh Siew Hong yang merupakan pihak bukan Islam mempertikaikan kesahihan penukaran agama Islam tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam tanpa persetujuannya. Dalam permohonan habeas corpus bagi mendapat hak penjagaan tiga anaknya di bawah umur, Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan beliau.
Senario kes Loh bermula sejak Mac 2019. Beliau telah berpisah dengan suaminya dan kemudian berpisah daripada anak-anaknya yang kini berusia 14 tahun (sepasang kembar) serta 10 tahun. Menurut sumber, sekitar bulan Julai 2019 di mana beliau mendapat perintah hak penjagaan interim anak-anaknya sementara menunggu isu perceraian dengan bekas suami dimuktamadkan. Kes perceraian mereka di mahkamah sivil tertunda disebabkan pandemik. Pada bulan Mac 2021, Loh akhirnya berjaya mendapat perintah penjagaan penuh (full custody) anak-anaknya daripada mahkamah sivil. Meskipun begitu, Loh tidak menjaga anak-anak ini sejak berlakunya perpisahan walaupun beliau mendapat hak jagaan tunggal. Si Ayah yang bertanggungjawab menjaga dan memenuhi keperluan anak.
Menurut Loh, bekas suaminya, Nagahswaran Muniandi yang menukar agama kepada agama Islam turut membawa anak-anaknya untuk memeluk agama Islam kira-kira tiga tahun lalu. Dalam bulan September 2021, bapa kepada tiga kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan dadah. Semasa keberadaan si bapa di dalam penjara, beliau menyerahkan anak-anaknya untuk dijaga oleh Nazirah Nantha Kumari, seoarng ustazah. Nazirah berusaha menghubungi Loh untuk datang menziarahi dan berbincang tentang anak-anaknya tetapi tidak mendapat respon daripada Loh. Hal ini disebabkan ibu Nazirah juga bukan seorang Muslim dan memahami perasaan seorang ibu jika mengetahui anaknya sudah menukar agama. Beliau juga menasihati anak-anak Loh untuk berbuat baik kepada ibu mereka.
Pada 14 Feb 2022, Loh membawa surat mahkamah sivil yang mengesahkan beliau sebagai penjaga anak-anaknya. Loh mahu mengambil anak-anaknya, namun kanak-kanak berkenaan tidak mahu mengikut ibu mereka. Oleh yang demikian, mereka ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 9 Mac 2022 sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kangar. Sekiranya pun mereka mahu mengikut ibu mereka, mereka tidak mahu meninggalkan agama Islam.
Tiga orang anak Loh berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis sehingga keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpurpada 21 Februari 2022 terhadap habeas corpus untuk mendapat hak penjagaan tiga anaknya memihak kepada beliau. Pada 20 Februari 2022 Loh menyatakan hasratnya mencabar penukaran agama sepihak tiga anaknya menerusi semakan kehakiman. Hal ini disebabkan penukaran agama tiga anaknya itu dikatakan dilakukan tanpa keizinan beliau meskipun memiliki hak penjagaan penuh.
Isu yang timbul ialah bolehkah salah seorang dari ibu bapa menukar agama seorang kanak-kanak bawah 18 tahun? Dalam konteks di Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya”. Melihat kepada versi dalam Bahasa Inggeris, ia menyebut perkataan ‘parent’ yang membawa maksud ibu atau bapa. Sekiranya perkataan ‘parents’ ditulis dengan jelas, ia membawa maksud ibu bapa.
Para ahli perundangan dan akademik membuat tafsiran yang berbeza mengenai perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Bagi yang menyokong ia membawa maksud kedua ibu bapa, mereka merujuk kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran ‘his’ (dia lelaki) meliputi ‘her’ (dia perempuan). Begitu juga perkataan ‘parent’ hendaklah juga difahami secara jamak iaitu ‘parents’.
Penentuan agama kanak-kanak sepihak adalah selaras dengan keputusan dalam kes Susie Teoh dan kes Subashini di mana Mahkamah Persekutuan memberi takrifan perkataan “parent” sebagai salah seorang ibu atau bapa dan pengislaman anak oleh salah satu pihak adalah sah.
Perlu dimaklumkan bahawa buat masa sekarang terdapat negeri yang memperuntukkan keperluan keizinan ibu dan bapa, dan terdapat juga negeri yang hanya memperuntukkan keperluan keizinan ibu atau bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun. Sebagai contohnya, seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006 tidak mensyaratkan persetujuan kedua ibu bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.
Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam mesyuarat kali ke 87 pada 25 Jun 2009 memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur adalah mengikut Islam dan hak penjagaan anak tersebut hendaklah diletak di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam. Keputusan muzakarah ini telah diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Pahang. Malangnya kesemua fatwa tersebut tidak diwartakan.
Terdapat keputusan Mahkamah Sivil yang memberi hak penjagaan anak bersama kepada kedua ibu bapa walaupun salah satunya bukan beragama Islam. Pendekatan ini dapat dilihat dalam kes Sharmala di mana Hakim Faiza Thamby Chik telah memberi hak bersama penjagaan anak-anak itu kepada kedua ibu bapa tetapi ibu mempunyai hak menjaga dan mengawal anak-anaknya yang meliputi penjagaan seharian dan bertanggungjawab menjaga mereka. Hakim Faiza mengatakan bahawa hak penjagaan anak-anak itu diberi kepada kedua ibu bapa agar mereka bersetuju terhadap isu-isu berkenaan anak-anak seperti pendidikan, pilihan terhadap agama dan harta. Ini mengambilkira Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961. Meskipun begitu, hakim berkenaan meletakkan kaveat bahawa anak-anak itu adalah seorang muallaf dan hak bersama yang diberi kepada Sharmala (ibu) akan hilang sekiranya terdapat alasan yang munasabah yang mempercayai bahawa si ibu akan mempengaruhi agama anak-anaknya atau memberi mereka makan babi dan sebagainya.
Pendekatan ini tidak diambil dalam kes kes Indira Gandhi. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan bagi menentukan agama anak-anak bawah 18 tahun mengikut Perkara 12 (4) dengan merujuk kepada takrifan di bawah Jadual Kesebelas dan seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (GIA).
Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan tidak mengambil pendekatan dalam kes Subashini dan Sharmala bahawa pihak suami atau isteri mempunyai hak untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.
Justeru itu, berikut merupakan cadangan yang perlu dipertimbangkan bagi mencari satu titik pertemuan:
Pertama: Menubuhkan satu jawatankuasa mediasi antara agama bagi menyelesaikan kes sebegini. Pendekatan ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran. Panel yang dilantik mestilah terdiri dari pihak yang beragama Islam dan bukan Islam.
Kedua: Menubuhkan mahkamah keluarga khas di bawah Mahkamah Sivil dengan penubuhan jawatankuasa khas yang ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang arif dalam kedua-dua bidang iaitu undang-undang Sivil dan Syariah. Ini bagi meraikan kedua-dua pihak yang berlainan agama.
Ketiga: Hakim Mahkamah Sivil hendaklah bersidang dengan hakim Mahkamah Syariah apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam Mahkamah Sivil.
Keempat: Hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil bagi mengendalikan kes yang melibatkan konflik antara undang-undang Syariah dan undang-undang sivil. Sedikit pindaan perlu dibuat kepada Perkara 122B dan 123 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964.