Kemelut masyarakat Islam pada hari ini ialah berhadapan dengan isu futuristik dalam menangani perkembangan sains dan teknologi yang akhirnya keliru dengan persoalan halal atau haram. Cabaran dalam bidang-bidang seperti bioteknologi, nanoteknologi serta lain-lain dilihat memberi pengaruh besar dalam kehidupan terutamanya persoalan hukum.
Persoalan-persoalan agama yang berkaitan dengan cabang-cabang ilmu seperti usuluddin, ilmu fiqah, ilmu tasawuf, ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tajwid, ilmu nahu serta lain-lain lagi telah pun dibahaskan dan diperjelaskan oleh ulamak-ulamak muktabar semenjak 1400 tahun yang lalu. Mereka telah pun meninggalkan khazanah ilmu yang amat berharga melalui kitab-kitab yang mereka hasilkan. Jadi, segala persoalan yang wujud pada zaman mereka telah pun diselesaikan atau diberi pandangan oleh ulamak-ulamak pada zaman itu.
Begitu jugalah dengan persoalan-persoalan falsafah. Persoalan berkaitan dengan akhlak, adab dan peradaban, persoalan berkaitan dengan sekularisasi, epistemologi, falsafah pemikiran telah pun dibincang panjang lebar oleh tokoh-tokoh ahli falsafah yang terkemuka. Banyak karya ilmiah yang boleh kita rujuk sebagai bahan bacaan tambahan kita.
Sebagai contoh bioteknologi dalam makanan dan minuman atau penggunaan DNA babi dalam pemprosesan makanan. Persoalan yang menjadi isu sejak akhir-akhir ini. Apakah yang masyarakat faham berkaitan DNA babi ini? Sejauh manakah tokoh agamawan memahami secara saintifik berkaitan dengan DNA babi ini? Apa itu DNA ? di manakah terdapatnya DNA itu, apakah fungsi DNA? DNA itu diperbuat daripada apa? serta banyak lagi persoalan serta jawapan yang perlu kita cari dalam memahami sesuatu perkara yang dikaitkan dengan teknologi masa kini.
Jadi, di sini lah kita memerlukan institusi pemikir Islam samada dalam bentuk penulisan atau perbincangan di radio yang dapat menjelaskan kepada masyarakat sesuatu perkara itu dalam bahasa yang mudah dan ringkas serta difahami oleh orang awam. Terutama dalam aspek asas saintifik ke arah mencapai wawasan 2020. Bila menyebut mengenai wawasan 2020, saya teringat kepada cabaran keenam yang menyatakan “Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan” Kita mempunyai hanya 6 tahun lagi untuk mencapai tahun 2020. Apakah wawasan 2020 juga akan tercapai?
Berbalik mengenai isu DNA ini, sekadar perkongsian maklumat, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang di Dewan Syura, Tingkat 11 Pusat Islam Malaysia, Kuala L:umpur pada 12 Julai 1999 telah pun membincangkan isu Bioteknologi Dalam Makanan dan Minuman dan telah bersetuju memutuskan beberapa perkara seperti berikut (a) “Barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bioteknologi DNA Babi adalah bercanggah dengan syarak dan hukumnya haram. (b) Penggunaan bioteknologi DNA babi dalam pemprosesan barangan, makanan dan minuman belum lagi sampai ke tahap yang boleh di katakan darurat kerana masih ada pilihan bahan lain. (Rujukan Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu-isu Sains dan Perubatan, JAKIM. 2010. Muka surat 41).
Penggunaan elemen babi ini tidak hanya terbatas dalam industri makanan sebenarnya tetapi termasuk industri-industri yang lain. Sebagai contoh industri penghasilan gelatin. Secara ringkasnya bahan utama untuk menghasilkan gelatin ini ialah daripada kulit babi, kulit lembu, urat-urat dan tulang binatang. Gelatin ialah sejenis protein terbitan yang larut dalam air dan dihasilkan menerusi proses hidrolisis separa ke atas kalogen. Menurut Encyclopedia of Chemical Technology (Edisi Ke-2, Vol. 10,1960 menyatakan bahawa kebanyakkan gelatin jenis A (proses asid) yang dikeluarkan di Amerika Syarikat diperbuat daripada kulit babi. Peningkatan penggunaan kulit babi ini semakin meningkat disebabkan proses pengeluaran gelatin daripadanya lebih cepat.
Elemen babi ini boleh juga terdapat dalam suntikan botox. Bercakap mengenai suntikan botox ini, apa yang kita fahami tentang suntikan botox ialah menambah usia keremajaan kita. Botox adalah sejenis protein kompleks yang dihasilkan oleh sejenis bakteria clostridium botulinum yang mengandungi racun yang hampir sama dengan racun yang menjadi keracunan makanan. Toksin bakteria tersebut boleh melumpuhkan fungsi otot perut dan ia boleh membawa maut jika diambil dalam jumlah yang besar kira-kira 5000 unit. Penggunaan botox akan kelihatan 5-10 tahun lebih muda dari usianya namun mempunyai risiki-risiko tertentu.
Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan yang bersidang kali ke 73 pada 4-6 April 2006 telah memutuskan 4 perkara mengenainya antaranya (a) ialah Suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox di dapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan, najis dan diharamkan seperti kinzir.(Rujukan: Rujukan Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu-isu Sains dan Perubatan, JAKIM. 2010. Muka surat 65).
Selain daripada elemen babi, air kencing juga turut digunakan di era sains dan teknologi ini. Baru-baru ini saya ada terbaca di dalam Utusan Malaysia Online bertarikh 13/6/2014 berkaitan dengan sekumpulan saintis dari Universiti Korea dilaporkan menggunakan air kencing untuk mendapatkan atom karbon bagi menghasilkan tenaga elektrik pada kos yang lebih murah. Menurut laman web Mailonline, Jong Sung-yu yang mengetuai penyelidikan itu berkata, penggunaan urin manusia untuk sel bahan api memberi faedah kepada alam sekitar dan mengurangkan pencemaran air.
Selain sel bahan api, karbon yang dihasilkan daripada urin manusia juga boleh digunakan dalam bateri. Persoalan yang timbul dalam fikiran saya ialah sekiranya penyelidikan ini berjaya dilaksanakan apakah penjualan air kencing telah menjadi sebagai satu sumber untuk menambahkan pendapatan? Apakah golongan yang mempunyai ahli keluarga yang besar boleh menambah pendapatan keluarga mereka dengan penjualan air kencing? Atau berbagai-bagai persoalan lain.
Sebenarnya pencerahan intelektual Islam di era sains dan teknologi selalu mengawali kesedaran baru bagi ummah dan sentiasa melembagakan perubahan, dinamika dan revolusi pimikiran iaitu satu simbiosis antara nilai-nilai azali dengan nilai nisbi manusiawi.
Keintelektualan adalah merupakan anugerah istimewa Ilahi kepada manusia yang menjadikan jenis mahluk pemikir. Mahluk pemikir dalam konteks sains dan teknologi ini lebih kepada memperlengkapkan panduan harmonis antara akal dan fenomena alam. Setiap kemajuan ilmu pengetahuan itu sepatutnya menyumbang kepada sekelian masyarakat dan alam.
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan di merata-rata tempat (dalam alam yang luas terbentang ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah nyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (Terjemahan Surah Fussilat:53 Rujukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al Quran (30) Juz. Darul Fikir. Cetakan ke-12, 2001)
Bagi mengakhiri artikel ini, saya ingin memetik sebuah hadith Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasullulah saw bersabda, ” Jika amanat disia-siakan, maka tunggulah saatnya (kehancuran). Abu Hurairah bertanya; “Bagaimana amanat itu disia-siakan wahai Rasullullah? Baginda menjawab. ” Jika suatu urusan itu diserahkan pada orang yang bukan ahlinya (tidak memenuhi syarat) (HR Bukhari)