Beberapa hari lepas, melalui pesanan WA, seorang rakan sekerja perempuan telah menghantar sepotong keratan akhbar mengenai kenyataan Menteri Kesihatan bahawa KKM akan mula memberi tuala wanita percuma bagi menangani kemiskinan haid. Perkongsian ini diikuti dengan soalan, “Tak ada duit nak beli tuala wanita ni betul kot ye?”
Jawapan ringkas penulis, “Untuk sebuah keluarga B40 yang hanya suami bekerja dan keluarga itu ada 5 orang anak gadis dan seorang ibu dalam usia reproduktif, menyediakan tuala wanita untuk keluarga boleh menjadi sesuatu yang mencabar.”
Apa tidaknya. Andaikan seorang wanita perlu menukar tuala wanitanya 4 jam sekali. Dalam masa sehari (24 jam) dia memerlukan 6 keping tuala wanita. Sepanjang tempoh haid yang lazimnya 7 hari, dia memerlukan 42 keping tuala wanita sebulan, bersamaan 2 bungkus tuala wanita yang setiap bungkus mengandungi 20 keping tuala wanita di dalamnya.
Dalam kata-kata lain, seorang gadis atau wanita di usia reproduktif memerlukan 2 bungkus tuala wanita sebulan. Ini bermaksud, keluarga yang ada 5 orang anak gadis dan seorang isteri/ibu memerlukan 12 bungkus tuala wanita sebulan. Andaikan sebungkus tuala wanita tadi berharga RM5, ini bermakna ketua keluarga B40 tadi memerlukan RM60 untuk menyediakan tuala wanita untuk ahli keluarganya pada setiap bulan. Untuk keluarga B40, ini mungkin satu cabaran yang besar. Maka, langkah untuk memberikan tuala wanita kepada golongan ini semestinya dapat membantu mereka.
Sebenarnya, kemiskinan haid bukan hanya tentang tidak cukup wang untuk membeli tuala wanita. Menurut laman web Medical News Today, kemiskinan haid merujuk kepada kurangnya: (i) capaian kepada barangan keperluan haid; (ii) pendidikan tentang haid; (iii) kemudahan penjagaan kebersihan ketika haid; (iv) maklumat atau pengetahuan tentang pengurusan tuala wanita yang telah tercemar; atau, (v) gabungan daripada masalah-masalah ini. Dikatakan seramai 500 juta orang di dunia terkesan dengan isu kemiskinan haid.
Melihat kepada definisi ini, jelas bahawa untuk menangani kemiskinan haid, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dan pemberian tuala wanita hanyalah satu daripadanya. Pelbagai pihak lain juga perlu melihat perkara ini dan memainkan peranan untuk memastikan kemiskinan haid ini dapat ditangani bersama.
Selain pemberian tuala wanita secara percuma khususnya kepada golongan sasaran, aspek lain yang boleh diberi perhatian ialah pendidikan tentang haid. Adakah warga muda kita (kanak-kanak) telah dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi tentang apa itu haid, perubahan-perubahan fizikal yang berlaku dengan kedatangan haid, penjagaan kebersihan ketika haid, bagaimanakah menguruskan tuala wanita yang telah tercemar dan seumpamanya?
Sepintas lalu, maklumat ini nampaknya mudah dan ringkas. Namun, berlaku juga kejadian yang walaupun tidak diviralkan—di mana tuala wanita yang tercemar dicampak melalui tingkap dari kediaman bertingkat tinggi atau dibuang seperti tisu ke dalam bakul sampah di dalam tandas.
Jika ada yang mengatakan bahawa maklumat mengenai haid ada dimasukkan dalam sukatan pelajaran, bilakah anak-anak itu didedahkan kepada maklumat ini? Di sekolah menengah? Bagaimanakah dengan mereka yang didatangi haid pada usia 9 tahun? Telah kah ibu bapa mempersiapkan anak-anak perempuan mereka dengan maklumat ini seawal 7 atau 8 tahun?
Aspek lain yang memerlukan perhatian dalam usaha menangani kemiskinan haid ini ialah kemudahan untuk penjagaan kebersihan ketika haid. Jika ada murid semuda 9 tahun (Tahun 3) telah didatangi haid, apakah sekolah rendah mempunyai kemudahan untuk membantu kanak-kanak ini menjalani tempoh haid mereka? Kemudahan yang dimaksudkan ialah seperti vending machine yang membekalkan tuala wanita percuma atau berbayar di tandas perempuan; air paip yang bersih dan lancar serta saluran getah yang sesuai untuk memudahkan anak-anak ini membersihkan tuala wanita yang telah tercemar sebelum dibuang; sistem pembuangan tuala wanita yang bersesuaian; dan, tandas yang mempunyai saliran yang baik dan tidak menakung air. Jika sekolah rendah memerlukan kemudahan ini, sekolah menengah apatah lagi.
Dari perspektif Islam pula, selain maklumat mengenai haid, sudah cukup kah maklumat mengenai hukum-hukum berkaitan haid yang kita bekalkan kepada anak-anak perempuan kita? Dalam Islam, ini termasuk dalam aspek mendidik anak dengan hukum-hukum mengenai orang yang baligh yang merangkumi tiga perkara iaitu: (i) menentukan keperluan mandi junub; (ii) kaedah mandi junub; dan, (iii) perkara-perkara yang haram dilakukan ketika janabah di mana kedatangan haid ialah salah satu bentuk janabah. Melihat kepada keperluan Islam ini, ternyata maklumat ini perlu diberikan kepada anak-anak lelaki dan perempuan. Sekali lagi, jika ada yang mengatakan perkara ini telah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam, apakah kanak-kanak perempuan yang berusia 8-9 tahun mempunyai akses kepadanya?
Ternyata kemiskinan haid merangkumi beberapa aspek dan pemberian tuala wanita secara bersasar adalah sebahagian daripada cara menanganinya. Beberapa aspek lain juga perlu diberi perhatian seperti peningkatan maklumat dan ilmu anak-anak ini tentang haid dan pengurusannya serta kemudahan penjagaan kebersihan sepanjang tempoh haid itu khususnya di sekolah. Ilmu tentang haid dan pengurusannya serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya dalam Islam juga perlu diberikan kepada anak-anak ini khususnya oleh ibu bapa kerana ia melibatkan dosa dan pahala serta amat berkait dengan sah atau tidaknya solat dan ibadah lain anak-anak itu selepas tempoh haid itu kelak.