Sepotong hadis dalam sahih al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘di r.a. mengandungi sabda Rasulullah SAW mafhumnya “Satu hari menjaga perbatasan adalah lebih baik daripada dunia dan segala di atas permukaannya.” Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, turut terkait ialah hadis lain yang menyebutkan kebaikan melebihi pahala berpuasa dan beribadat pada waktu malam sepanjang bulan.
Menurut Imam Abu’l-Hasan al-Mawardi (w. 1058) dalam karya terperincinya berkenaan dengan urus tadbir Islam, Al-Ahkam al-Sultaniyyah (Undang-undang Kerajaan), satu perlapan daripada zakat ditetapkan untuk perbelanjaan golongan yang berjuang di jalan Allah (fi sabili-’Llah). Ia menggariskan kepentingan aset tentera dalam pertahanan negara dari sudut pandang Islam.
Dalam koleksi-koleksi hadis sahih oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim terkandung riwayat bahawa Rasulullah SAW pernah diilhamkan gambaran para pengikutnya berlayar di “samudera hijau bagaikan raja bersemayam di atas takhta” yang membayangkan munculnya kekuatan angkatan laut orang Islam. Oleh sebab itulah, sejak zaman awal Khilafah armada kapal perang adalah salah satu ciri ketenteraan Islam selain pasukan darat.
Sejarah tempatan membuktikan bahawa keberkesanan kapal perang dalam mempertahankan negara daripada pencerobohan sempadan melalui jalan laut. Sejarah Melayu yang disusun oleh Tun Seri Lanang (m. 1659) mengisahkan tentang serangan armada Siam ke atas Melaka pada tahun 1456 yang berjaya dipatahkan oleh angkatan laut Kesultanan Melaka.
Menurut Sejarah Melayu, kejayaan mematahkan pencerobohan Siam diraih dengan serangan hadapan oleh angkatan Melaka yang memusnahkan beberapa buah kapal musuh dan helah nyalaan obor api tidak terkira banyaknya yang memperlihat armada Melaka sebagai lebih besar daripada yang dijangkakan justeru menakutkan dan mengusir saki baki pasukan penceroboh.
Kâtip Çelebi (d. 1657), seorang pakar pelbagai bidang berbangsa Turki yang hidup semasa kemuncak kuasa Empayar ‘Uthmaniyyah abad ke-17, pernah menyatakan bahawa “Pertempuran laut sentiasa dilakukan dengan kapal layar dan kapal ghali.”
Çelebi yang berpengalaman berkhidmat sebagai pegawai kanan tentera menyedari akan keupayaan hebat yang dimiliki oleh kapal perang yang mengangkut tentera simpanan, menghantar bekalan di masa krisis, membedil dari laut, menyekat laluan bekalan musuh dan menyelinapkan pasukan amfibia ke dalam kawasan panas.
Kertas Putih Pertahanan Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2020 oleh Kementerian Pertahanan mengiktiraf kedudukan geografi negara sebagai sebuah negara maritim. Oleh yang demikian, wajarlah aset-aset laut khususnya milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal berada dalam keadaan bersiap-siaga.
Kertas Putih Pertahanan menekankan peranan besar pertahanan dan kesediaan tentera yang tidak boleh diketepikan dalam apa jua strategi yang dirangka dan dilaksanakan.
Justeru, adalah kurang bijak sekiranya dicadangkan penamatan keseluruhan projek seperti Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) hanya kerana tertangguh penyiapannya atau atas sebab yang lemah seperti membiarkan ekonomi negara pulih.
Sebaliknya, hal ehwal ekonomi harus diserahkan kepada ahli-ahlinya yang pakar dalam bidang ekonomi. Tambahan pula, kelewatan penghantaran tidak seharusnya menjadikan keusangan sebagai isu kerana ia adalah sesuatu yang boleh diatasi dengan latihan dan penambahbaikan. Lagipun, senjata usang hanya bermakna telah keluar senjata yang lebih baru dan lebih ampuh sebagai galang gantinya, bukannya senjata itu telah menjadi sama sekali tidak berguna.
Dalam pertempuran tiada setara (asimetri), pasukan kecil tentera yang dianggotai oleh askar berpengalaman dan dilengkapi dengan senjata yang mereka berkemahiran dengannya mempunyai peluang bertarung lebih baik berbanding tentera yang lebih besar namun kurang terlatih mengendalikan peralatan yang amat baru dan canggih.
Dalam kebijaksanaan Çelebi beliau menyebutkan bahawa “(Terpenting sekali) bukanlah kemahiran membina kapal, akan tetapi melatih kelasi dan penembak meriam yang mahir setelah mempersiapkan meriam, persenjataan, dan bekalan mereka.”
Ketiadaan angkatan tentera laut yang mempertahan persisiran pada waktu hampir bermulanya pencerobohan oleh armada Portugis menjadi punca kejayaan Alfonso d’Albuquerqe menakluk Melaka pada tahun 1511, selain kekacauan politik, risikan pengkhianat, pertahanan kubu yang lemah, dan tidak biasa dengan senjata serbuk bedil.
Demikian terjadi apabila kesemua armada Melaka telah pun diutus keluar, walaupun sudah terlewat, untuk mendapatkan bekalan bedil. Terdapat 19 kapal karavel Portugis memasuki laluan Selat namun tiada sebuah pun kapal perang dapat dihantar untuk menghalang kemaraan musuh.
Sanggupkah kita mengulangi sejarah kegagalan? Apa jua yang menjejaskan kesiapsiagaan tentera hanya mengundang pencerobohan berterusan sehingga keadaan sempadan yang mudah ditembusi akhirnya menjemput masuk penaklukan oleh kuasa asing. Bak kata pepatah Si vis pacem para bellum. Jika kita mahukan keamanan, kita harus sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya peperangan.