Pada tahun 2020, masyarakat umum akan menyaksikan beberapa garis panduan dasar inklusif pendidikan berkaitan individu kelainan upaya (OKU) dilaksanakan selepas beberapa bulan ia dilancarkan oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee bin Malik. Untuk rekod, ia telah dilancarkan oleh beliau pada bulan September 2019 di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur. Perlu difahami bahawa garis panduan tersebut merupakan prosedur operasi standard bagi memandu langkah-langkah berkesan yang perlu dilakukan dalam memenuhi keperluan pelajar-pelajar OKU di institusi pendidikan tinggi negara. Syabas! Namun hakikatnya, Malaysia masih lagi memerlukan lebih banyak garis panduan seperti itu dan langkah drastik oleh Kementerian Pendidikan itu boleh menjadi satu mercu tanda contoh yang boleh diikuti oleh pelbagai kementerian dan agensi lain dalam menguruskan hal ehwal individu OKU pada masa sekarang.
Dasar dan garis panduan adalah dua perkara yang berbeza. Malaysia telah pun memiliki Dasar Orang Kurang Upaya yang dijamin oleh Akta OKU sejak tahun 2008. Manakala garis panduan pula adalah satu langkah sistematik dan strategik dalam usaha melaksanakan hasrat daripada dasar tersebut. Garis panduan amat perlu kerana ia membuktikan kepada masyarakat bahawa mana-mana dasar yang telah dimaktubkan itu tidak terperap di pejabat atau tersorok daripada makluman orang ramai. Sewajarnya, masyarakat awam perlu diberitahu dan dididik dasar kerajaan yang ada, kesan dasar-dasar tersebut kepada mereka. Sehingga ke hari ini, Malaysia telah pun memiliki dasar dan pelan tindakan OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga menuju tahun 2022, manakala garis panduan oleh Kementerian Pendidikan inilah satu-satunya dasar yang terkini yang kita ada, yang membekalkan beberapa kaedah harmoni dalam menyantuni golongan OKU dalam mendapatkan akses mereka dalam sektor pendidikan negara secara adil dan saksama. Mengapa perlu ada dasar inklusif bagi golongan OKU?
Dasar inklusif OKU telah lama wujud di negara ini, khususnya apabila ia menyentuh aspek pendidikan untuk semua. Ia dikenali sebagai program pendidikan inklusif dan termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Dasar pendidikan memuktamadkan bahawa akses kepada pendidikan adalah hak asasi semua manusia dan tanpa wujud sebarang pengecualian, halangan ataupun diskriminasi. Inilah matlamat suci sistem pendidikan dan pelajaran yang tidak dikuasai atau dikawal oleh sesetengah pihak sahaja, sehingga tidak timbul ada pula pihak lain yang tidak berhak belajar atau diterima untuk belajar. Pendidikan inklusif itu bermaksud semua individu berhak untuk belajar atau diterima belajar secara adil dan saksama tanpa wujud sebarang halangan dan diskriminasi. Semua individu berhak dilayan secara adil dan tanpa pilih kasih atau perbezaan. Sememangnya wujud kekurangan pada setiap individu yang menjadi asas kepada perbezaaan manusia, namun itu bukan faktor halangan untuk mereka menjadi seorang manusia yang berpendidikan dan dilayan secara adil. Kekurangan bukan satu isu asas bagi mewujudkan halangan dan diskriminasi. Maka diwujudkan satu garis panduan yang standard bagi menjamin gejala diskriminasi dapat dikawal, dielak dan dihapuskan daripada terus berlaku dalam sektor pendidikan inklusif ini.
Buat masa ini, negara kita belum lagi terdesak sehingga ke tahap untuk mewujudkan akta anti diskriminasi OKU seperti yang telah lama wujud di beberapa negara maju, contohnya seperti Akta Diskriminasi OKU 1995 United Kingdom dan Akta Anti Diskriminasi Amerika 1990. Namun ini tidak bermakna gejala diskriminasi itu tidak wujud di negara kita lalu dipandang remeh sahaja. Gejala diskriminasi itu akan wujud di mana-mana kerana ia lumrah manusiawi yang alami sifatnya. Oleh yang demikian, Islam amat melarang keras perbuatan berlaku zalim seperti mana firman Allah dalam surah an Nahl, ayat 90 yang bermaksud, “..sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan, Dia memberi pengajaran kepada kamu supaya kamu mendapat pengajaran..”
Matlamat pendidikan inklusif ialah bagi mengelakkan diskriminasi OKU, dan pada masa yang sama, sistem pendidikan itu jugalah yang diperlukan untuk mendidik semua individu dan masyarakat agar tidak berkompromi dengan gejala diskriminasi. Semua anggota masyarakat perlu memahami tanda-tanda gejala diskriminasi kerana ramai lagi anggota masyarakat di luar sana yang tidak menyedari bahawa tindakan mereka itu sebenarnya kadang-kadang boleh menjurus kepada perbuatan diskriminasi. Perbuatan diskriminasi itu lebih digambarkan sebagai satu bentuk layanan yang berbeza, buruk dan negatif kepada sekumpulan individu manusia yang tertentu akibat daripada satu kepercayaan yang negatif dan stereotaip. Kepercayaan negatif itu pula merujuk kepada stigma yang telah mereka percayai dan anuti sejak sekian lama, yang mendorong individu itu untuk bersikap prejudis dan boleh mengundang kepada pelbagai perbuatan provokasi. Contohnya, jelingan mata atau ungkapan sinis kepada seseorang juga boleh dianggap sebagai satu perbuatan diskriminasi, malah ia lebih berleluasa dan lebih banyak berlaku dalam kehidupan seharian. Bagi sesetengah golongan OKU, jelingan mata yang tajam ataupun ungkapan-ungkapa sinis yang tertentu adalah satu penghinaan yang nyata kepada mereka serta amat tertekan dengan pengalaman tersebut. Namun perkara ini selalu dipandang remeh walhal ia juga merupakan satu bentuk diskriminasi kepada mereka, dan ia dilakukan oleh kebanyakan orang. Manusia yang normal juga tidak sukakan perkara seperti ini, justeru ia perlu dielakkan. Masyarakat perlu dididik untuk menjauhkan bentuk diskriminasi seperti ini.
Sebenarnya pendidikan inklusif ini telah mengajar kita banyak perkara. Di antaranya ialah supaya berlaku adil dan saksama serta bersikap lebih terbuka untuk menerima kepelbagaian dan perbezaan sesama manusia. Janganlah sesekali menjadikan kekurangan diri sendiri dan orang lain sebagai alasan dan halangan untuk berlaku adil dan berjaya.