Jika anda merupakan pasangan suami-isteri yang bekerja, siapakah yang menjaga anak-anak anda ketika anda dan pasangan keluar bekerja? Apakah anak-anak anda berada di rumah bersama pembantu rumah, atau berada di rumah pengasuh atau berada di PJK?
Banyak pasangan di Malaysia yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke PJK. Namun, untuk mendapatkan PJK yang bermutu dan mampu milik bukanlah sesuatu yang mudah.
Dilaporkan bahawa Malaysia memerlukan sebanyak 38,333 buah PJK berdaftar namun sehingga Jun 2018, terdapat hanya 4,302 PJK sahaja yang berdaftar. Dalam kata-kata lain, operasi PJK berdaftar kini hanya memenuhi lebih kurang 11% daripada keperluan masyarakat kita.
Itu hanya mengenai bilangan PJK, bagaimana dengan kualiti PJK? Salah satu perkara yang menentukan kualiti PJK ialah tenaga pengajar atau penjaganya. Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sehingga Jun 2018, jumlah pekerja PJK yang menjaga kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah ialah seramai 16, 873 orang. Daripada bilangan ini, hanya 3,173 dalam kalangan mereka yang memiliki kelayakan minimum kursus penjagaan kanak-kanak. Ini bermakna, majoriti penjaga di PJK yang berdaftar ini (80%) tidak memiliki kelayakan minimum untuk pekerjaan itu.
Realiti PJK di Malaysia ini seringkali meletakkan pasangan suami-isteri beranak kecil dalam dilema. Dari satu segi, kedua-dua suami-isteri perlu keluar mencari nafkah keluarga. Dari segi yang lain, mereka sukar untuk mendapatkan PJK yang bermutu dan mampu milik untuk anak-anak mereka.
Majalah Time keluaran 21 dan 28 Oktober 2019, dalam makalah yang bertajuk “At what cost? The Brutal Math of Caring for Children in America” menyebutkan bahawa kos penjagaan kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) adalah begitu tinggi. Jabatan Perkhidmatan Kesihatan AS menganggap bahawa kos penjagaan kanak-kanak yang berpatutan adalah tidak melebihi daripada 7% kepada nisbah pendapatan keluarga. Namun, Ashley Alcaraz dan Amy Deveau masing-masing membayar 18% dan 33% daripada pendapatan keluarga mereka sebulan untuk kos penjagaan anak. Malah, majoriti keluarga di AS membelanjakan lebih 7 % daripada pendapatan mereka untuk penjagaan anak-anak.
Kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi ini membawa implikasi yang tersendiri. Pertama, ramai wanita yang membuat keputusan untuk tidak bekerja agar dapat menjaga anak mereka. Harvard Business Review 2005 mendapati bahawa 43% wanita yang berkelayakan tinggi dan memiliki anak, berhenti kerja.
Kedua, keluarga terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk penjagaan anak-anak mereka. 60% keluarga yang dibanci oleh care.com pada 2019 melaporkan bahawa kos penjagaan anak-anak mereka telah meningkat dalam setahun ini.
Akhirnya, kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi menjadi punca utama penurunan kadar kelahiran bayi. Dalam jangka masa panjang, bayi daripada keluarga pertengahan mungkin tidak akan dilahirkan.
Apa yang berlaku di AS sepatutnya menjadi pengajaran buat kita di Malaysia. Sebelum isu penjagaan kanak-kanak menjadi satu krisis di negara ini, jalan penyelesaiannya perlulah dicari.
Isu penjagaan kanak-kanak ini boleh sahaja dilihat sebagai satu masalah. Namun, ia juga boleh dilihat sebagai satu peluang.
Pertama, peluang perniagaan dari segi menawarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak kepada keluarga yang memerlukan, khususnya keluarga dwikerja. Melihat kepada statistik yang diutarakan di awal tadi, PJK berdaftar yang sedia ada hanya memenuhi 11% keperluan masyarakat. Masih ada 89% kekosongan yang perlu diisi.
Kedua, peluang pekerjaan. Di awal tadi, dikatakan bahawa negara memerlukan sebanyak 38,333 buah PJK. Namun, sehingga kini hanya ada 4,302 PJK yang berdaftar. Ini bererti negara masih memerlukan lebih kurang 34,000 PJK. Andaikan sebuah PJK memerlukan 5 orang pekerja, ini bererti 34,000 PJK bakal menjana 170,000 pekerjaan. Pastinya itu berita baik untuk semua pihak.
Ketiga, peluang pendidikan khususnya pendidikan penjagaan awal kanak-kanak. Di Malaysia, asas penjagaan awal kanak-kanak ini boleh diperolehi di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lagi, melalui mata pelajaran “Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.” Ia kemudiannya dapat didalami di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Namun, ia masih belum menjadi mata pelajaran yang popular. Dengan promosi dan publisiti yang betul mengenai prospek pekerjaan, maka lebih ramai yang akan menyertai bidang ini. Ini akhirnya akan meningkatkan mutu PJK yang beroperasi di negara kita.
Isu ini bukan hanya mengenai penjagaan kanak-kanak untuk sesetengah keluarga dwikerja di Malaysia, tetapi ia juga adalah mengenai penjagaan awal untuk generasi masa depan yang bakal meneruskan kelangsungan negara ini. Untuk itu, keprihatinan semua pihak adalah perlu untuk menangani isu penjagaan kanak-kanak di negara ini.
Penyediaan PJK adalah sesuatu yang amat bermanfaat untuk masyarakat kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” (HR al-Tabrani dan al-Daruqatni). Pengusaha PJK, baik majikan mahupun pihak swasta atau orang perseorangan, sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada pemegang taruhnya. Ibu bapa berasa lapang dan tenang kerana anak-anak mereka terjaga ketika mereka keluar bekerja. Para pengasuh atau penjaga atau pekerja di PJK pula bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja. Anak-anak yang dijaga pula berpeluang untuk diasuh dan dididik untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.