“Kita makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan” (“We eat to live not live to eat”). Pernahkah anda mendengar ungkapan ini? Maksudnya kita makan hanyalah bagi meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini, dan bukannya keseluruhan hidup kita adalah untuk makan. Sebenarnya itulah juga saranan agama Islam. Sebagai agama yang syumul, Islam menekankan kepentingan menjaga dan memelihara perut daripada perkara-perkara yang haram dan syubahat serta terlalu mengikut hawa nafsu dalam pemakanan seharian.
Allah SWT tidak suka kepada mereka yang mengisi perutnya dengan bermacam-macam jenis makanan, rakus dan mengikut hawa nafsu semasa makan sehingga terlalu kenyang. Ini kerana ini akan menjejaskan ibadat mereka. Setiap orang Islam yang beriman sepatutnya makan sekadar untuk mendapatkan tenaga bagi melakukan kerja seharian dan beribadat, bukan mengisi perut berlebih-lebihan. Berkata Imam Ghazzali Rahimullah: “Perut yang kenyang dari yang halal adalah punca segala kecelakaan. Apatah lagi jika dikenyangkan perut itu dengan yang haram”.
Nyata bahawa agama Islam tidak suka umatnya terlalu mengikut hawa nafsu dalam apa jua hal. Antara kesan buruk akibat pemakanan mengikut hawa nafsu adalah hati menjadi keras, malas mengerjakan ketaatan, kurang bertenaga untuk beribadat, lemah fahaman dalam ilmu pengetahuan, kurang kebijaksanaan, kurang rahmat dan belas kasihan terhadap orang yang lemah , sayang untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang perlu dan berhajat, meningkatkan syahwat dan membantu tentera syaitan.
Pemakanan seseorang selalunya akan mempunyai kesan ke atas hati. Antara kesan makanan yang haram dan syubahat serta makan berlebih-lebihan adalah hati menjadi keras. Hati yang keras ini selalunya tidak dapat membezakan yang baik dan buruk, yang betul dan yang salah, malah perkara-perkara yang mudah dan asas sekalipun seakan tidak dapat terfikirnya. Ini menunujukkan hati telah menjadi keras akibat tidak memelihara pemakanan. Sesungguhnya mencari makanan yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman.
Dewasa ini industri halal negara banyak dipelopori oleh mereka yang bukan Islam. Kebanyakan syarikat pembuatan makanan khususnya syarikat bertaraf “multinational” yang dikuasai mereka yang bukan beragama Islam menguasai sebahagian besar daripada pasaran industri halal negara. Berdasarkan perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dua tahun lalu, lapan puluh peratus pemegang sijil halal JAKIM adalah syarikat-syarikat asing. Manakala selebihnya dikuasai oleh usahawan Muslim yang mempunyai kemampuan kewangan dan ilmu pengetahuan yang terhad yang menyebabkan usaha mereka untuk pergi lebih jauh dalam industri pengeluaran barangan halal negara ini tersekat.
Orang bukan Islam begitu giat menceburi industri halal disebabkan unsur ekonomi. Mereka mengetahui pasaran umat Islam negara ini begitu luas selaras dengan pengumuman kerajaaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal. Itu belum lagi membincangkan pasaran ke negara-negara dunia Islam yang lain. Namun bagi syarikat yang dimiliki oleh mereka yang bukan Islam, tidak boleh memandang remeh soal sijil halal kerana masyarakat Islam tidak boleh dipermain-mainkan dalam hal ini. Mereka perlu lebih berusaha menjaga keperluan pengguna Muslim khasnya dalam menggunakan status halal. Perkara ini penting bagi orang Islam, kerana seperti yang telah disebutkan tadi, makanan yang tidak halal atau syubahat akan memberi kesan ke atas hati, dan juga mungkin mengakibatkan doa seseorang itu ditolak, apatah lagi ianya disifatkan sebagai haram.
Kita ikuti kisah ahli ibadah yang zuhud bernama Ibrahim bin Adham, yang begitu teliti menjaga pemakanannnya. Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat menziarah ke Masjid al-Aqsa. Bagi bekal di perjalanan, beliau membeli 1 kg kurma dari pedagang tua dekat Masjid al-Haram. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma bergolek dekat timbangan. Menyangka kurma itu sebahagian dari yang telah dia beli, Ibrahim pun memakannya. Setelah itu dia berangkat menuju AlAqsa.
Empat bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, dia suka memilih sebuah tempat beribadah pada sebuah ruangan di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar percakapan dua malaikat tentang dirinya, “Itu Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara’ yang doanya selalu dikabulkan Allah SWT, kata malaikat yang satu. Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua dekat Masjid al- Haram,” jawab malaikat yang satu lagi.
Ibrahim bin Adham terkejut sekali, jadi selama empat bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh Allah SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya. Ibrahim beristigfar langsung berkemas untuk berangkat lagi ke Mekah menemui pedagang tua penjual kurma untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya.
Sampai di Mekah dia terus menuju tempat penjual kurma itu tetapi tidak bertemu dengan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. “Empat bulan yang lalu saya membeli kurma di sini dari seorang pedagang tua, kemana dia sekarang?” tanya Ibrahim. “Sudah meninggal dunia sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan pekerjaannya berdagang kurma”, jawab anak muda itu. Ibrahim kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya kepada anak muda itu.
Ibrahim pun bertanya, “Engkau sebagai ahli waris orang tua itu, mahukah kau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?” “Bagi saya tiada masalah, saya boleh halalkan. Tapi entah dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya sebelas orang, saya tidak berani berkata bagi pihak mereka kerana mereka juga memepunyai hak waris sama dengan saya”. “Di mana alamat saudara-saudaramu? Biar saya yang temui mereka satu persatu.” Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pun pergi menemui mereka walaupun jauh, sehingga selesai. Semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh Ibrahim.
Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat yang dulu bercakap-cakap. “Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara makan sebutir kurma milik orang lain.” “O tidak…, sekarang doanya sudah makbul, dia telah mendapat halal dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain. Sekarang dia sudah bebas”.
Begitulah Ibrahim bin Adham menjaga pemakanannya. Sanggupkah kita melakukan yang serupa?