Hasrat untuk membentuk masyarakat ‘minda kelas pertama’ di negara membangun seperti Malaysia tidak akan tercapai selagi cabaran terhadap akal masyarakat tidak dikenalpasti.
Kita sering bercakap tentang pelbagai punca kepada kemunduran sikap masyarakat. Satu persatu punca disenaraikan tetapi hakikat kepada permasalahan masyarakat negara membangun masih tidak dapat dikenalpasti secara jitu. Ini kerana punca sebenar terletak pada kecamukan akal masyarakat ini.
Di dalam al-Quran, kata-kata yang berkait langsung dengan kalimah “akal” telah muncul sebanyak 49 kali dan semuanya memberi makna yang baik kepada penggunaan akal.
Dalam sudut pandangan hidup Islam juga, akal mendapat satu kedudukan yang tinggi. Akal adalah salah satu daripada tiga cara untuk memperoleh ilmu. Menurut Imam al-Ghazzali, akal adalah tempat di mana ilmu berkembang.
Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Oleh itu, jika akal manusia dicacatkan maka usaha menimba ilmu boleh terjejas dan martabat manusia boleh jatuh sehingga menjadi lebih rendah dari haiwan.
Jatuhnya martabat manusia kini boleh tergambar dalam banyak cara. Ketika ini, selalu kita mendengar kisah kepincangan manusia. Misalnya, kisah bapa merogol anak, anak membunuh ibu bapa, kawan menipu sahabat, pecah amanah, guru dipukul pelajar dan pelbagai lagi. Bukankah ini antara bukti bahawa kedudukan kebanyakan manusia kini lebih rendah daripada haiwan?
Meningkatnya rasa kehaiwanan manusia kini berlaku kerana kebanyakan mereka terlalu jauh dari ilmu pengetahuan dan dengan itu terlalu jauh daripada agama. Peranan agama memandu hidup manusia. Tanpa ilmu pengetahuan pula, agama tidak akan dapat difahami. Dengan itu, selamanyalah manusia hidup dalam kepincangan dunia khayalan mereka sendiri.
Berdasarkan kenyataan ini, perlu kita fahami punca kerosakan akal sehingga menggagalkan manusia memperoleh ilmu pengetahuan. Sebenarnya terdapat banyak punca kepada masalah ini. Namun, bagi tujuan penulisan makalah ini, penulis hanya ini menyentuh tentang gejala ‘bebalisme’.
Penulis memilih untuk menonjolkan gejala ini kerana gejala ini amat dekat dengan masyarakat membangun. Walaupun dikatakan ia berlaku di seluruh dunia, namun gejala ini sebenarnya sangat ketara di negara-negara membangun seperti Malaysia dan rantau sekitarnya.
Sebagai pengenalan, istilah ini mula digunakan oleh Prof. Syed Hussien Alatas dalam bukunya yang bertajuk “Intellectuals in Developing Countries” yang ditulis pada tahun 1977.
Bebalisme muncul dari kata dasar bebal. Bebal, berdasarkan Kamus Dewan membawa maksud “tumpul otak atau bodoh”. Oleh itu, istilah bebalisme memberikan kita satu pengertian yang kasar.
Walau bagaimanapun, Prof. Syed Hussien Alatas menolak pandangan sebegini dan menegaskan bahawa istilah bebalisme bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan orang lain tetapi hendaklah digunakan dalam ruang lingkup ilmiah.
Gejala bebalisme ini diibaratkan sebagai ‘parasit dalam fikiran’ masyarakat. Ini kerana gejala ini menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutamanya dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Antara sikap terhadap ilmu yang ditunjukkan oleh gejala bebalisme adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak berdaya cipta. Paling ketara, mereka yang terperangkap dalam gejala ini tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib dan mantiqi serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.
Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah ‘kemalasan intelek’. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah.
Oleh itu, dengan gejala ini masyarakat membangun tidak lagi berminat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan berguna. Jika adapun usaha mencari ilmu, ini dilakukan bukan kerana niat ingin membantu masyarakat tetapi disebabkan oleh pangkat, nama dan sebagainya.
Paling menyedihkan apabila Prof. Syed Hussien Alatas menegaskan bahawa gejala ini ditampilkan secara kulli dan disambung dari satu generasi ke generasi yang lain. Maka, nyatalah gejala ini amat sukar dihapuskan. Kenyataan ini menimbulkan persoalan tentang kemampuan kita dan juga cara terbaik untuk keluar dari gejala yang membelenggu masyarakat ini.
Untuk melepaskan diri dari belenggu ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin yang secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik. Pemimpin ini bukan sahaja terdiri daripada kepimpinan negara tetapi termasuk juga ibu bapa, guru, ketua kampung, ketua jabatan dan sebagainya. Paling penting keinginan untuk mengubah masyarakat bukan didorong oleh sebab kebendaan tetapi lebih penting kerana tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat yang dipimpin. Bagi Prof. Syed Hussien Alatas, pemimpin hendaklah menjadi seorang ‘intelektual’. Dengan kata lain, mereka hendaklah menjadi pemimpin yang berakal.
Dengan adanya pemimpin seperti ini maka kita berharap apa yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun bahawa “tabiat rakyat pada hakikatnya merupakan bayangan bagi tabiat atau amalan hidup yang dimiliki oleh pemimpin mereka” dapat dijadikan kenyataan. Moga-moga pemimpin yang berakal dapat juga melahirkan masyarakat yang berakal.