KKA atau Flexible Working Arrangements (FWAs) merujuk aturan, iaitu majikan membenarkan pekerja mengubah masa bekerja atau tempat kerja itu dilakukan. Ia merangkumi: (a) keanjalan dalam penjadualan masa bekerja (flexi time dan compressed work-weeks) dan penjadualan syif dan rehat; (b) keanjalan dari segi jumlah jam bekerja seperti kerja separuh masa atau berkongsi pekerjaan; dan, (c) keanjalan dari segi tempat bekerja seperti bekerja dari rumah atau dari lokasi satelit.
Di Malaysia, banyak kajian yang telah dilakukan berkaitan KKA dan didapati bahawa ia masih kurang dilaksanakan. Malah, apabila ia dilaksanakan, dalam banyak keadaan, wujud jurang yang lebar antara kemudahan yang ditawarkan oleh majikan dengan kemudahan yang diperlukan oleh pekerja. Misalnya, KKA yang diperlukan oleh pekerja ialah flexi time iaitu masuk dan keluar kerja mengikut kesesuaian masa pekerja, namun tidak banyak majikan yang menawarkannya.
Kebanyakan majikan keberatan untuk melaksanakan KKA kerana bimbang akan produktiviti menurun atau ia disalahguna oleh pekerja. Namun, kajian TalentCorp mendapati alasan-alasan ini tidak berasas. Dalam penerbitannya yang bertajuk My Work, My Future, TalentCorp telah mengeluarkan lima mitos tentang KKA untuk kehidupan yang lebih seimbang kepada para pekerja.
Mitos 1: KKA merupakan keistimewaan mewah yang ditawarkan oleh “syarikat muda” dan tidak memberi begitu banyak pulangan kepada perniagaan. Faktanya, banyak kajian yang menunjukkan bahawa wujud hubungan positif antara produktiviti dengan KKA. Kajian ke atas 200 syarikat Fortune 100 menunjukkan bahawa 58 peratus majikan melaporkan produktiviti pekerja meningkat ketika memanfaatkan KKA.
Mitos 2: KKA akan disalahguna oleh pekerja. Faktanya, terdapat banyak cara untuk mengelakkan salahguna ini. Satu daripadanya ialah dengan menawarkan kemudahan ini pada peringkat awal kepada pekerja-pekerja yang dipercayai dan memiliki rekod bekerja yang cemerlang. Pada masa yang sama, pengurus dan pekerja tersebut perlu berbincang berkaitan jangkaan dan pengukuran kejayaan untuk memastikan KKA yang dipilih adalah yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.
Mitos 3: KKA memerlukan kos yang tinggi. Faktanya, jika dilaksanakan dengan betul, ia membantu syarikat menjimatkan kos. Salah satu ruang penjimatan adalah melalui pengekalan pekerja. Pekerja cemerlang yang baharu memulakan keluarga akan kekal dalam syarikat yang menawarkan KKA. Hal ini akan mengurangkan keperluan untuk mencari pekerja baharu dan melatihnya semula. Kos untuk mencari pengganti seorang pekerja adalah di antara 10–30 peratus dari gaji tahunannya. Maka adalah amat penting untuk organisasi mengekalkan para pekerja. KKA mampu mewujudkan situasi “menang-menang” untuk pekerja dan majikan.
Satu lagi ruang penjimatan kos adalah dengan mengurangkan kehadiran lewat atau ketidakhadiran. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (2014) menganggarkan ketidakhadiran mengakibatkan syarikat tempatan menanggung kos sebanyak RM6 billion setahun dalam bentuk kehilangan produktiviti. Untuk mengelakkannya banyak syarikat telah menawarkan KKA bagi membolehkan pekerja menyesuaikan komitmen kerja dengan jadual peribadi dan mengurangkan ketidakhadiran serta ponteng kerja.
Mitos 4: KKA adalah untuk manfaat pekerja wanita. Faktanya, KKA adalah untuk manfaat semua pekerja, baik wanita, lelaki, yang ada anak, yang tiada anak atau orang kelainan upaya (OKU). Catalyst (2013) melaporkan bahawa pekerja lelaki dan pekerja wanita sama-sama menghargai KKA ini. Sebanyak 67 peratus wanita dan 46 peratus lelaki melihat KKA sebagai amat penting. Laporan ini juga menunjukkan bahawa sama banyaknya lelaki dan wanita yang memanfatkan kemudahan ini sepanjang kerjaya mereka.
Mitos 5: KKA patut kekal sebagai kemudahan yang tak formal. Faktanya, KKA boleh bermula sebagai sesuatu yang tidak formal dan diformalkan kemudiannya apabila ia lebih stabil. Maybank Group melaksanakan kemudahan ini secara tidak formal selama dua tahun sebelum diformalkan pada 2013. Hasilnya, Maybank Group berjaya mengekalkan skor penglibatan pekerjanya pada tahap yang tinggi (85 peratus pada 2014) dan meningkatkan kadar pengekalan pekerjanya dari 52 peratus pada 2009 kepada 85 peratus pada 2015.
Bermula 1 Mac yang lalu, projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) mula dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini. Walaupun keanjalan WBF agak terhad, namun ia adalah satu KKA yang lebih baik berbanding WBB. Semoga ia membuka jalan kepada pelaksanaan KKA yang lain untuk manfaat semua, khususnya dalam menyeimbangkan tuntutan kerjaya dengan tuntutan kehidupan kita.
Sesungguhnya mewujudkan keseimbangan dalam hidup antara satu cara yang dituntut dalam Islam. Dari Abdullah bin ‘Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Diceritakan orang kepadaku, bahawa engkau selalu bangun solat malam dan berpuasa terus setiap hari.” Jawabku, “Benar, ya Rasulullah! Aku melakukannya.” Sabda Nabi, “Kalau memang begitu, matamu akan cekung dan diri mu akan lemah. Sesungguhnya dirimu mempunyai hak dan keluargamu mempunyai hak. Kerana itu puasalah dan berbukalah, bangunlah untuk solat dan tidurlah.” Jika dalam beribadahpun kita dituntut untuk mencari keseimbangannya, apatah lagi dalam dimensi lain kehidupan kita.