Bekerja dengan tekun adalah lumrah bagi seorang pekerja yang cemerlang. Bahkan Islam memandang tinggi sifat tekun atau itqan ini dalam beramal mahupun dalam bekerja sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan…”
Itqan atau tekun yang dimaksudkan dalam pekerjaan umumnya ialah melaksanakan tuntutan yang dikehendaki dengan sesempurna atau sebaik-baik yang mungkin dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang ditetapkan. Namun ketekunan yang dimaksudkan ini bukanlah bermaksud ia boleh dieksploitasi sehingga mendatangkan kezaliman baik kepada pekerja mahupun majikan.
Misalnya, tidak adil seorang pekerja itu dibayar gaji untuk satu skop tugasan, namun diminta untuk melakukan lebih banyak tugasan atau diminta memanjangkan jam bekerjanya secara tidak wajar dengan alasan dia perlu membuktikan ketekunannya dalam pekerjaan. Begitu juga adalah tidak adil apabila seorang pekerja itu sengaja berlengah-lengah untuk melaksanakan tugasan dalam tempoh yang munasabah, atau melakukan tugasan sambil lewa namun masih menerima gaji yang setimpal untuk tugasan yang sempurna daripada majikannya.
Gaji atau upah sememangnya adalah perkara pokok bagi seorang pekerja. Individu memilih pekerjaan berdasarkan kelayakan dan tawaran pendapatan yang dikemukakan. Namun begitu dalam realiti semasa, gaji atau upah yang ditawarkan tidak semestinya akan memenuhi kehendak pekerja sekalipun ia dilihat setara dengan kelayakannya kerana ia ditentukan oleh pasaran.
Dinamika pasaran buruh pada hari ini berdepan dengan cabaran yang tersendiri. Dalam sesebuah industri, apabila gaji atau upah tidak disemak dalam tempoh tertentu selari dengan produktiviti mahupun pasaran semasa, ia boleh dianggap sebagai terkurang berbanding yang sepatutnya. Ataupun, jika skop pekerjaan bagi sesuatu jawatan itu terlalu luas dan banyak, boleh jadi gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja tersebut, tidak setara dengan tugasannya ataupun menyebabkannya hilang keseimbangan dalam kehidupan peribadi.
Antara kesan-kesan bagi kedua-dua cabaran ini terhadap kehidupan ialah ia menggalakkan hanya sebilangan kecil individu menikmati kekayaan yang besar hasil daripada penjimatan kos buruh yang tidak dinaikkan. Sedangkan sebilangan besar yang lain menderita apabila kos sara hidup meningkat namun tidak setara dengan pendapatan semasa yang diterima.
Selain itu juga, individu yang mempunyai skop tugasan yang terlalu luas atau waktu jam bekerja yang terlalu panjang boleh menyebabkan pekerja tersebut mengambil risiko didalam pekerjaannya lebih-lebih lagi jika melibatkan nyawa orang lain dan menyebabkannya tidak dapat menjalani kehidupan yang sihat dan memenuhi fitrah diri. Perhatian kepada keluarga juga boleh berkurangan, bahkan ia juga boleh merisikokan kesihatannya.
Sebagai contoh, karoshi – bekerja sehingga membawa mati, insiden yang berlaku di Jepun sejak 1990-an akibat daripada tempoh kerja yang terlalu lama menjejaskan kesihatan pekerja. Penyakit dan insiden akibat tempoh kerja yang lama ini termasuklah penyakit kardiovaskular, serebrum, kecelaruan mental, cubaan bunuh diri dan membunuh diri.
Hakikatnya, cabaran gaji dibayar terkurang dan skop tugasan atau jam bekerja yang lebih panjang juga sebenarnya adalah satu fenomena global dan tidak hanya dihadapi oleh negara-negara yang membangun sahaja. Dalam satu kajian pada 2016 oleh Washington Center for Equitable Growth misalnya mendapati bahawa kerjaya yang berpendapatan tinggi di Amerika Syarikat misalnya cenderung untuk bekerja lebih lama. 30 peratus individu dalam barisan pengurusan bekerja lebih dari 45 jam seminggu diikuti dengan pekerja dalam bidang pertanian. Tidak terkecuali juga bagi bidang-bidang seperti kejuruteraan, senibina dan kewangan yang turut menunjukkan jam bekerja yang lebih lama telah menjadi satu kebiasaan.
Analisis oleh Bank Negara Malaysia untuk 2018 pula mendapati bahawa upah semasa di Malaysia tidak sejajar dengan tahap produktiviti berbanding dengan negara serantau seperti Singapura dan negara maju seperti United Kingdom dan Australia. Salah satunya disebabkan oleh ekonomi yang berintensifkan pekerja dan bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah. Manakala bagi pekerja siswazah pula, kebanyakan gaji permulaan bulanan benar mereka telah menurun sejak tahun 2010.
Dalam satu tinjauan oleh Malaysia’s Healthiest Workplace oleh AIA Vitality 2019 pula mendapati bahawa pekerja di Malaysia terlalu banyak atau lama bekerja serta mengalami kurang tidur. 51 peratus daripadanya mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan kerja manakala 53 peratus pekerja mengalami kurang tidur dari 7 jam.
Insiden bekerja terlalu lama dan gaji terkurang ini sebenarnya tidak menggambarkan tahap ketekunan seorang pekerja. Seorang pekerja tidak boleh diekplotasi secara tidak wajar lebih-lebih dalam keadaan persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan. Sebaliknya, insiden bekerja terlalu lama dan gaji terkurang bayar ini juga sebenarnya melambangkan ketidakcekapan yang berlaku dalam industri tersebut. Perkara ini termasuklah kekurangan pekerja berkemahiran tertentu sehingga menyebabkannya perlu bekerja lebih lama, penggunaan teknologi yang kurang serta dan pengagihan pendapatan yang tidak saksama.
Memasuki tahun 2020, sentimen masyarakat perlu berubah mengenai konteks pekerjaan. Bekerja terlalu lama tidak semestinya menggambarkan seorang pekerja itu bagus dan tekun. Gaji dibayar terkurang bukan bermakna akan berlaku penjimatan yang menguntungkan majikan.
Dalam Islam, gaji atau upah perlu dibayar setara dengan skop tugasan dan kelayakan pekerja. Aspek kualiti hidup seorang pekerja juga perlu diambil kira dalam merangka dan menentukan tugasan yang sesuai baginya. Agihan kekayaan yang adil antara majikan dan pekerja juga sesuatu yang digalakkan sebagaimana firma Allah SWT yang bermaksud, “(ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar dalam kalangan orang kaya daripada kalangan kamu.” (Al-Hasyr, 59: 7)