Dalam artikel saya yang lalu, saya telah menyentuh tentang aktiviti sukarela yang dilihat sebagai satu bentuk kebajikan dan digalakkan oleh Islam. Kali ini, saya ingin mengenengahkan satu isu yang ada kaitannya dengan tajuk yang lepas iaitu penglibatan masyarakat Islam dalam aktiviti seumpama ini.
Oleh kerana aktiviti sukarela ini amat mulia sifatnya, maka saya terpanggil untuk melihat sejauhmanakah penglibatan masyarakat Islam dalam aktiviti ini. Jika sesuatu itu mempunyai unsur-unsur yang baik dan digalakkan oleh Islam, secara logiknya, tentulah umat Islam berlumba-lumba untuk melakukannya. Oleh itu, saya telah menjalankan satu kajian mengenai perkara ini dengan memfokuskan kajian tersebut kepada sukarelawan wanita di sekitar Lembah Kelang.
Antara objektif kajian ini ialah untuk melihat penglibatan wanita Islam secara keseluruhannya dan mengenalpasti profail, kerja-kerja yang dilakukan serta motivasi para sukarelawan wanita Islam yang terlibat.
Dalam kajian yang dijalankan, saya menghadapi masalah untuk mendapatkan sukarelawati Islam. Oleh itu, saya terpaksa berpuashati dengan 15 orang responden yang sudi untuk bekerjasama. Akibatnya, tiada generalisasi yang dapat dibuat dari penemuan tersebut melainkan sedikit pendedahan kepada ciri-ciri sukarelawati Islam yang ada di masa kini.
Hasil kajian saya menunjukkan bahawa majoriti responden berusia di antara 30 – 39 tahun; belum berkahwin dan bekerja sepenuh masa. Dari segi pendapatan pula, sukarelawati yang belum berkahwin berpendapatan di antara RM1000 – RM1999 sebulan manakala bagi yang sudah berumahtangga, pendapatan keluarganya adalah di antara RM4000 – RM7999 sebulan.
Majoriti responden menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam aktiviti sukarela ini didorong oleh motif altruistik iaitu ingin melakukan sesuatu untuk orang lain. Misalnya, ada responden yang menyebut mereka didorong oleh niat untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik, ingin menyumbang kepada masyarakat, ingin menyumbang kepada agama, kesedaran bahawa masih ramai ahli masyarakat Islam yang belum celik undang-undang dan sebagainya.
Dari segi pemilihan sesuatu organisasi pula, ia dibuat berdasarkan kepada objektif organisasi tersebut. Misalnya, ada responden yang menyebut bahawa ia menyumbang kepada Women’s Aid Organisation (WAO) kerana ingin membantu wanita yang teraniaya untuk mendapatkan hak dan keadilan. Begitu juga ada yang menyebut bahawa ia menjadi sukarelawati Yayasan Azam Wanita (YAW) kerana ingin menyumbang ilmu bagi membantu masyarakat yang kurang mampu untuk mendapatkan khidmat guaman dan nasihat.
Dari segi pengalaman menyumbangkan tenaga, majoriti dari mereka telahpun menjadi sukarelawati selama 1- 2 tahun dan menyumbangkan masa selama 5 jam atau lebih setiap minggu kepada organisasi tersebut. Dari segi kerja-kerja yang dilakukan, majoriti dari mereka menyumbang dengan melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan aktiviti organisasi tersebut, misalnya menghadiri majlis yang dianjurkan oleh organisasi itu atau menjaga golongan sasaran bila organisasi tersebut membawa mereka melawat ke sesuatu tempat.
Majoriti dari responden itu juga mengakui bahawa penglibatan mereka dalam aktiviti sukarela itu tidak menjejaskan peranan-peranan mereka yang lain seperti peranan sebagai isteri atau ibu atau pekerja. Ini adalah kerana tanggungjawab mereka tidak berat (masih bujang atau anak-anak sudah dewasa) atau mereka mengamalkan pengurusan masa yang baik atau kerana kerja-kerja itu dilakukan mengikut kesesuaian masa mereka.
Kajian tersebut juga menemukan saya dengan maklumat mengenai penglibatan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya dalam aktiviti sukarela ini. Penemuan ini boleh dianggap sebagai menggambarkan keadaan sebenar dalam masyarakat bandar kerana ia diperolehi dari statistik sembilan buah pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang ada di sekitar Lembah Klang ini. Hasil kajian ini menunjukkan:
a) Bagi organisasi yang membuka pintu kepada sukarelawan lelaki dan wanita, didapati sukarelawan wanitanya melebihi dari lelaki.
b) Penglibatan lebih ramai wanita ini diatribusikan kepada sikap mereka terhadap kerja-kerja kebajikan misalnya wanita dikatakan lebih tertarik dengan kerja-kerja seumpama ini sedangkan kaum lelaki lebih mudah menghulurkan wang, serta sikap wanita yang lebih memikirkan orang lain berbanding diri mereka sendiri.
c) Orang Melayu lebih cenderung menyumbang kepada organisasi yang dikenali dengan nama Melayu, misalnya Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Yayasan Azam Wanita (YAW) atau Yayasan Salam Malaysia (YSM) dan tidak di organisasi seperti Malaysian Humanitarian foundation (MHf) atau Women’s Aid Organization (WAO).
d) Kurangnya penglibatan orang Melayu dalam organisasi tertentu dikaitkan dengan ideologi organisasi tersebut, faktor-faktor agama (tidak mengamalkan ajaran agama) dan kurangnya aktivisme dalam diri mereka.
Menurut WAO, ideologi organisasi tersebut yang membantu wanita dalam krisis, dianggap bercanggah dengan Islam kerana memisahkan isteri dari suami-suami mereka (anggapan ini tidak semestinya betul). Organisasi itu juga seringkali dikaitkan dengan feminisme serta kelantangan mereka mengeluarkan pandangan tentang wanita. Jadi, mungkin para suami [terutamanya Melayu] tidak menggalakkan isterinya terlibat dengan organisasi ini.
Dari segi agama, wakil Rumah OZANAM (OZANAM) menyatakan bahawa kebanyakan pekerja sukarela di situ terdiri dari orang-orang Cina yang beragama Buddha. Jadi, pada pandangan beliau, mungkin ada sesuatu dalam agama itu yang mendorong penganutnya untuk menyumbang dalam kegiatan seperti ini. Kenyataan tentang agama juga dibuat oleh wakil MHf di mana mengikut pengalaman organisasi tersebut, kebanyakan sukarelawan mereka adalah orang-orang yang beragama, walaupun beliau tidak mengkhususkan kepada mana-mana agama.
Sebagaimana yang kita tahu, semua agama menuntut penganutnya untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarela ini. Tetapi, seperti kata wakil OZANAM, dalam konteks kerja sukarela ini, apa yang membezakan agama Buddha ialah lebih ramai penganutnya mengamalkan ajaran agama tersebut berbanding penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka. Jadi, mungkin ada sesuatu dalam agama Buddha yang menimbulkan kesan tersebut dalam diri penganut-penganutnya.
Dari pengalaman Persatuan Peguam Wanita Selangor dan Wilayah (Peguam Wanita) pula, wakilnya berpendapat orang-orang India memang lantang bersuara dan memiliki ciri-ciri aktivisme yang kuat. Sebaliknya, orang-orang Melayu kurang bercakap, dan ini ditelah oleh wakil tersebut mungkin berpunca dari rasa selesa dan puashati dengan kedudukan mereka dan tidak merasa hak mereka terancam.
Maklumat ketiga yang boleh diperolehi dari kajian itu ialah tentang penglibatan sukarelawati Islam dalam aktiviti ini, dari perspektif organisasi terlibat. Didapati bahawa:
a) Sukarelawati Islam dominan di organisasi-organisasi yang dikenali dengan nama Melayu.
b) Para sukarelawati melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan objektif organisasi, aktiviti organisasi dan kepakaran yang mereka miliki.
c) Dari segi komitmen, ada sukarelawati yang komited dan ada yang tidak.
d) Tiadanya komitmen di kalangan mereka adalah kerana mereka mengutamakan keluarga, mereka menganggap aktiviti ini hanyalah untuk mengisi masa lapang, mereka merasakan tidak mendapat faedah dari aktiviti tersebut dan mereka mempunyai niat yang tidak ikhlas apabila mendaftarkan diri untuk menyumbang.
Wakil WAO dan Peguam Wanita menyebut bahawa keutamaan yang diberi kepada keluarga menyebabkan para sukarelawati tidak dapat menunaikan janji untuk menyumbangkan khidmat mereka kepada organisasi. Komitmen yang kurang juga adalah kerana aktiviti ini dianggap sebagai aktiviti masa lapang. Jadi, jika tiada masa lapang atau masa lapang itu telah terisi, janji untuk menyumbang pun dilupakan. Peguam Wanita juga berpendapat kurangnya komitmen kerana sukarelawati tidak merasakan faedah dari kegiatan tersebut. WAO pula mengalami pengalaman pahit bila sukarelawatinya tidak ikhlas semasa menyumbang. Mengetahui bahawa organisasi tersebut merupakan pusat perlindungan wanita dalam krisis, sukarelawati datang seolah-olah untuk memberi khidmat tetapi niat di sebaliknya ialah untuk mencari orang gaji atau anak angkat. Bila mereka gagal mendapatkan apa yang dihajati, mereka berhenti menyumbang.
e) Secara keseluruhannya, majoriti organisasi merasakan sukar untuk mendapatkan sukarelawati.
f) Walaupun sukar untuk diperolehi, namun bila mereka menawarkan diri, organisasi-organisasi tersebut tiada masalah dalam menguruskan mereka.
Dari apa yang telah disebutkan di atas, kita dapati bahawa Islam menggalakkan kita melibatkan diri dalam aktiviti sukarela tetapi kajian ini menunjukkan 38 peratus dari organisasi yang dihubungi tidak memiliki sukarelawati Islam. Bagi organisasi yang memiliki sukarelawati Islam pula, bilangan sukarelawati tersebut adalah kecil misalnya di Persatuan Untuk Kanak-kanak Bergeliga Malaysia (PUKBM) terdapat seorang sukarelawati Melayu (Islam), di OZNAM, RACTAR dan Peguam Wanita masing-masing ada dua orang manakala di WAO ada seramai tiga orang. Jadi, soalan yang perlu difikirkan ialah ke mana perginya orang-orang Islam?
Penglibatan orang-orang Islam adalah penting berdasarkan tiga faktor utama. Pertama, penglibatan atau tiadanya penglibatan akan mencerminkan ajaran agama itu sendiri kerana ajaran sesuatu agama itu akan terpancar pada kelakuan atau tabiat penganutnya. Kedua, aktiviti seperti ini boleh dijadikan satu strategi dakwah. Sikap yang kita tonjolkan itu akan membuatkan masyarakat bukan Islam mengenali Islam dan mungkin tertarik padanya. Kita juga maklum bagaimana paderi-paderi Kristian yang begitu maju dan aktif dalam aktiviti seumpama ini telah berjaya menarik orang ramai untuk memeluk agama tersebut. Ketiganya, dengan bergiat dalam bidang-bidang seperti ini kita akan dapat memelihara kebajikan mereka yang bernasib malang, khususnya di kalangan orang Islam sendiri.
Jika hasil kajian ini benar-benar menggambarkan apa yang sedang berlalu dalam masyarakat kita, orang Islam perlu memikirkan keadaan ini dengan serius. Perlukah kita biarkan keadaan ini berterusan atau sesuatu perlu dilakukan agar keadaan yang lebih baik akan berjaya dihasilkan. Tidak perlu perancangan besar atau sumber kewangan berjuta. Kita boleh mula dengan diri kita dan keluarga kita. Soalannya ialah “Mahu atau tidak mahu?”