Kepelbagaian bangsa, agama dan adat resam merupakan suatu hikmah besar kepada umat manusia. Kepelbagaian ini membolehkan manusia memperlajari dan mengenali antara satu sama lain keunikan serta manfaat yang wujud darinya. Firman Allah dalam surah al-Hujrat (49) ayat ke 13 secara khusus meletakkan asas pluraliti global dan kepelbagaian manusia yang merangsang serta menggalakkan berlakunya pertalian universal, kerjasama serta saling melengkapi, pertumbuhan tamadun dan bukannya kemelut.
Bahkan kepelbagaian ini dijelaskan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ruum (30) ayat ke 22 yang menerangkan kepelbagaian pertuturan/bahasa serta warna kulit sesuatu bangsa itu merupakan satu rahmat untuk manusia mengembangkan ilmu pengetahuan dan belajar dari kalangan mereka apa sahaja yang dapat memberikan kebaikan kepada manusia. Oleh itu, pengajaran yang mesti kita ambil ialah peluang untuk belajar (menimba ilmu) dan semangat saling kenal-mengenali antara satu sama lain perlu dikayakan kerana dengan cara ini masyarakat akan dapat memperkaya ilmu pengetahuan dan mengaut sebanyak mungkin manfaat dari pengetahuan itu untuk memperbaiki kekuatan, kelemahan, bakat dan keistimewaan.
Matlamat hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan tenteram hanya tercapai dicapai apabila ada keterbukaan dan kesediaan setiap anggota masyarakat untuk belajar dan mengenal di antara mereka. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, sudah wujud pelbagai kaum dan bangsa. Dalam ruang lingkup bangsa Melayu pun, terdapat banyak kaum dan suku puak di dalamnya seperti Minang, Bugis, Banjar, Minang, Mendeleng. Begitu juga dengan bangsa Cina yang terdiri dari Canton, Hakka, Hokkien, Fuchew dan sebagainya.
Kebanyakan penduduk Melayu beragama Islam secara tidak langsung telah menerapkan amalan Islam dalam faham hidup bermasyarakat di negara ini. Penerapan yang berlaku ini telah membudayakan kehidupan masyarakat di negara ini mengikut acuan Islam yang sifatnya sejagat (universal). Masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini dapat hidup aman tenteram kerana kefahaman mereka terhadap perbezaan fundamental (kepercayaan) di antara mereka tidak dijadikan isu pokok, tetapi mengambil iktibar nilai-nilai sejagat (universal values) yang ada dalam ajaran agama Islam. Nilai-nilai sejagat ini dapat diterima-pakai sejak dulu lagi.
Satu perubahan yang menyeluruh amat diperlukan dalam dunia Islam hari ini. Pendekatan Islam Hadhari yang digagaskan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia merupakan satu wadah dan gagasan siasah untuk memacu umat Islam berubah kepada satu dunia yang progresif dan maju. Pendekatan ini bukan agama baru tetapi satu pendekatan siasah. Ianya satu cara mencapai kebaikan yang berteraskan ajaran sederhana Islam. Semua ini membawa umat mencuba satu pendekatan baru semasa untuk membawa satu perubahan besar dalam arus pembangunan.
Hakikatnya, dunia Islam memerlukan satu perubahan yang menyeluruh untuk meletakkannya dalam keadaan dan kedudukan yang baik di persada antarabangsa. Dunia Islam tertindas dan terkebelakang kerana tidak ada kesatuan yang kukuh. Syukur, negara kita boleh berbangga dengan kedudukannya sekarang kerana negara-negara Barat sudang memandang tinggi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang wajar dicontohi. Hasil kemampuan kita, setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, mengekalkan kepelbagaian kaum sekaligus melaksanakan dasar-dasar Islam tanpa membelakangkan kaum dan agama lain.
Malaysia selaku Pengerusi kepada Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) memerlukan satu lonjakan istilah untuk mengajak negara-negara lain bersama-sama menzahirkan hasrat pelaksanaan Islam sebagai agama penyatu dan kerangka untuk melaksanakan hala tuju pentadbiran, pembangunan dan pemodenan negara.
Pembangunan untuk semua kaum dan nilai agama merupakan dua unsur penting yang mendasari perencanaan kerajaan Malaysia. Usaha yang dibawa oleh kerajaan menampakkan hala tuju yang memupuk kepentingan pembangunan negara berteraskan agama Islam, tetapi sedikit sebanyak perubahan yang dibawa memerlukan masa dan keadaan sehingga ianya boleh digarap sepenuhnya dengan kehendak agama Islam. Pada masa yang sama kita perlu akur bahawa kepelbagaian kaum dan agama perlu diurus dengan baik melalui penjagaan maruah kaum daripada disalah tafsir oleh pihak tertentu. Islam sebagai agama rasmi negara tidak pula menidakkan agama lain dari terus diamalkan secara aman dan bebas.
Tidak ada paksaan dalam agama Islam. Agama Islam itu hadir melalui hati naluri (hidayah) bukannya tuturan bahasa dan paksaan. Islam mengiktiraf kewujudan agama lain dalam rangka kepelbagaian masyarakat seperti mana firman Allah dalam surah al-Kafirun (109) ayat ke 6. Isu memaksa dan menindas seseorang itu untuk menerima Islam sebagai agamanya tidak wujud. Kalau adapun Islam yang diterima adalah tidak sah di sisi Allah s.w.t. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t telah memberi amaran keras terhadap pemaksaan dalam agama terhadap orang lain yang bukan beragama Islam.
Dalam kehidupan seorang muslim soal pemaksaan tidak akan timbul kerana keimanan dan kefahaman seseorang itu tentang Islam mengatasi persoalan yang mungkin timbul. Ini dipengaruhi oleh ketinggian iman dan takwa seseorang terhadap Allah. Tidak dapat dinafikan bahawa agama memainkan peranan penting dalam sebuah masyarakat itu. Nilai kemanusiaan yang dibawa oleh agama mewujudkan satu kerangka pemikiran dan kepercayaan yang mempengaruhi tingkah laku seseorang itu. Sesebuah masyarakat itu akan tinggi nilai kemanusiaan nilai dan ajaran agama diamalkan dengan penuh keyakinan.
Pendekatan Islam adalah syumul dan menyeluruh yang boleh diterimapakai dalam semua keadaan. Penerapannya hanya akan dapat dibukti kemampuan apabila ia dapat mengeratkan hubungan di antara umat Islam dan bukan Islam. Sekiranya masyarakat pelbagai kaum gagal diintegrasikan berlandaskan agenda nasioanl sudah tentu pihak pemerintah tidak akan dapat melaksanakan dasar dan hala tuju pembangunan negara berteraskan Islam di masa hadapan.
Apa yang penting dalam pada negara ini ialah sikap dan sifat keterbukaan kita dalam memahami isu-isu semasa berkaitan agama dan perkauman mestilah ditunjangkan dengan rasa hotmat hidup bermasyarakat agar perpaduan negara dapat dikekalkan. Masyarakat bukan Islam juga harus peka dan bertimbang rasa terhadap keperluan majoriti masyarakat Islam dalam memenuhi tanggugjawab agama yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Sesungguhnya banyak lagi perkara penting perlu dilaksanakan daripada dibantutkan oleh perbalahan berkaitan soal hak dan sebagainya yang berbau perkauman.
Dasar yang dirangka oleh kerajaan sama seperti sebuah lebuh raya. Sesuatu destinasi yang hendak dituju dengan selamat ditentukan oleh sistem dan kemudahan yang mereka gunakan. Etika dan sikap pemanduan yang berhemah menjamin keselamatan mereka semasa di lebuhraya. Tujuannya ialah untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju, suatu destinasi yang baik. Maka, pengunnaan kemudahan lebuh raya mestilah disertakan dengan amalan yang baik. Sama seperti pendekatan Islam Hadhari yang digunapakai di negara ini, ia mengambil kira kepentingan agama dalam membina sebuah negara yang maju dengan ciri rakyat berakhlak dan beretika tinggi. Matlamatnya adalah murni dan sudah tentu perlu disokong dengan pengisian yang baik yang sudah tentu hanya dapat dilaksanakan oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.