KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang ditubuhkan pada 18 Februari 1992 adalah sebuah institusi pemikir yang berfungsi untuk meningkatkan kefahaman Islam di kalangan umat Islam dan bukan Islam.
Selaku Ketua Pengarah IKIM yang ketiga, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas meneruskan usaha untuk melonjakkan lagi integriti dan kredibiliti IKIM termasuk di arena antarabangsa.
Dalam wawancara dengan wartawan BERNAMA, Dr Syed Ali mengupas pelbagai isu semasa, antaranya ialah pendekatan Islam Hadhari dan usaha IKIM menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar kepada orang ramai.
1. DR PERNAH MENJELASKAN BAHAWA PENDEKATAN ISLAM HADHARI ADALAH PENDEKATAN POLITIK SEMATA-MATA. BOLEH HURAIKAN?
Islam Hadhari sebenarnya satu pendekatan politik. Pada pendapat saya, jika dilihat pada pelopor idea ini iaitu Perdana Menteri (PM), beliaulah Pentadbir utama negara.
Oleh itu jika kita merujuk dan menghalusi takrif pentadbiran, ia lebih menjurus atau melihat matlamat di penghujung. PM memandang lebih jauh. Sudah tentu pada matlamatnya iaitu kebaikan.
Justeru kita perlu bertanya apakah matlamat itu. Dari awal lagi, PM telah menjelaskan dengan terperinci mengenai matlamatnya dalam mana-mana ucapan di persidangan-persidangan peringkat nasional dan antarabangsa.
Apa yang boleh saya rumuskan, beliau mempunyai tiga elemen.
Pertama ialah ilmu pengetahuan di mana beliau berusaha memantapkan semula tradisi intelektual.
Kedua ialah pembangunan keupayaan insan dan ketiga, faktor ekonomi. Tetapi, yang kedua dan ketiga bergantung pada yang pertama iaitu tradisi intelektual dan dinamik.
Maka jika kita tahu apa matlamat itu, soalan seterusnya ialah apakah jalan yang menjurus ke matlamat itu atau bagaimana untuk mencapai matlamat itu. Jawapannya ialah melalui pendekatan Islam Hadhari.
Terpulang kepada kerajaan untuk mendefinisikan Islam Hadhari ini.
Islam Hadhari adalah seperti sebuah peta. Jika peta itu tidak ditulis dengan jelas atau dalam bahasa yang sukar difahami, bagaimana kita jangkakan orang untuk memahaminya.
Atas alasan ini, Islam Hadhari bukan perkara lain tetapi satu pendekatan politik. Kita memang tahu matlamat dan pendekatan politik ini adalah untuk kerajaan. Ia merujuk kepada tadbir urus yang baik. Satu bentuk pentadbiran yang beradab.
PM menjelaskan bahawa ini pendekatan siasah untuk Malaysia dan ia boleh disebarluaskan terutama kepada negara-negara dunia ketiga.
Ini kerana pendekatan Islam Hadhari merujuk kepada soal memahami dan menyelesaikan masalah-masalah masa kini menurut kerangka pandangan hidup Islam, jadi apa salahnya kalau ada negara-negara lain termasuk yang bukan Islam menerima pendekatan Islam untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah dalam suasana politik mereka.
Lantaran orang Islam percaya bahawa Islam itu syumul dan sempurna, apa jua permasalahan, jawapannya boleh didapati sama ada dalam Al-Quran, Sunnah atau sejarah Islam.
Itulah sebabnya, IKIM telah menjelaskan bahawa Islam Hadhari sebagai usaha untuk mengenali masalah yang nyata dan mencari jalan penyelesaian menurut kerangka pandangan hidup Islam.
PM telah menyokong kefahaman kita tentang pendekatan Islam Hadhari.
Jadi, jika ada sesiapa yang mendakwa bahawa PM telah hilang kawalan, itu bukan hakikat yang sebenar. Kita sedang melihat pada jalan, dan PM bukanlah pengurus mikro yang boleh berada di merata tempat pada sesuatu masa.
Justeru, Islam Hadhari tidak boleh menjadi pendekatan agama. Islam adalah Islam. Tidak ada Islam liberal atau Islam moden berbanding Islam lama. Islam adalah satu realiti.
Pendekatan Islam Hadhari sebenarnya merujuk kepada orang Islam dan bukan kepada agama. Dalam erti kata lain, ia lebih merujuk kepada kemajuan penganut-penganut agama itu dan bukan merujuk kepada agama.
Ramai yang keliru. Malah ada yang menempelak, mana ada Islam Hadhari.
Memang betul kerana Islam tidak ada jenis. Islam hanya satu. Dan inilah yang cuba diterangkan oleh IKIM.
2. APAKAH KEGIATAN UTAMA IKIM DALAM MENJELASKAN PENDEKATAN ISLAM HADHARI KEPADA ORANG RAMAI?
Kita melihat kepada isu-isu yang ada iaitu masalah yang nyata dan mencadangkan jalan penyelesaian menurut kerangka pandangan Islam, dalam skop ilmu pengetahuan. Jika kita kurang arif, kita akan rujuk kepada mereka yang lebih tahu.
3. ADAKAH DR BERPUAS HATI DENGAN PERANAN IKIM DALAM MENJELASKAN TENTANG PENDEKATAN ISLAM HADHARI?
Ya, saya berpuas hati dengan peranan IKIM selama ini. Selama satu setengah tahun saya berpuas hati menjelaskan pendekatan Islam Hadhari dan separuh kedua tahun 2005 juga digunakan untuk menjelaskan pendekatan Islam Hadhari.
Pada tahun 2006, kami melakukan peranan yang sama. Kita telah menerangkan dengan secukupnya. Terpulanglah kepada mereka yang ditugaskan menulis dan “mencarta” peta ini — sama ada mahu menerima atau menolak kesimpulan kami.
Kami telah menjalankan kewajipan kami. Jika mereka menolak juga, mereka perlu menjelaskan sebabnya.
4. SEJAUH MANAKAH DR MELIHAT PENCAPAIAN IKIM DALAM PERKARA INI?
Oleh kerana pendekatan ini tidak khusus kepada satu masalah, ia lebih menjurus kepada masalah yang nyata. Maka IKIM lebih menitikberatkan kepada masalah yang nyata. Kita tidak mahu mencari ‘kuman di seberang lautan walhal gajah di depan mata’ kita abaikan. Kita tidak melakukan sedemikian.
5. APAKAH USAHA IKIM UNTUK MEMBETULKAN TANGGAPAN TENTANG AGAMA ISLAM?
Sebenarnya saya rasa bagi orang bukan Islam, mereka sebenarnya tidak keliru tentang Islam. Orang Islam yang sebenarnya menyebabkan bukan Islam keliru. Saya tidak fikir orang bukan Islam ada masalah dengan agama Islam.
Kebanyakan isu yang timbul seperti isu A. Rayappan, ia tidak menjurus kepada soal agama. Isu yang timbul lebih menjurus kepada soal pentadbiran dan pengurusan masyarakat Islam.
6. USAHA MENINGKATKAN KEFAHAMAN ISLAM INI PERLU JUGA DILAKUKAN TERHADAP ORANG ISLAM SENDIRI DAN BUKAN HANYA KEPADA ORANG BUKAN ISLAM. APAKAH KOMEN DR?
Saya bersetuju malah apa yang perlu ditekankan ialah kefahaman Islam kepada umat Islam sendiri.
Apa yang saya lihat sekarang ialah kita menimbulkan isu daripada semua hal. Tengok isu halal. Mengapa sekarang isu ini menjadi begitu rumit. Malah orang yang tidak arif tentang hukum halal haram turut diberi ruang dan peluang untuk meluahkan pandangan.
Misalnya, ada yang berkata bahawa jika rasanya macam daging babi, maka ia adalah haram. Ini tidak masuk akal langsung. Pandangan ini bukan sahaja sempit malah merupakan satu kejahilan. Macam mana boleh kita simpulkan sedemikian. Sebarang kesimpulan atau penghakiman harus berasaskan pengalaman dan ilmu pengetahuan, bukan secara membuta tuli.
Mereka menyalahtafsir dan menyempitkan fahaman agama sehingga semuanya disimpulkan di bawah halal dan haram. Islam itu universal. Ia bukan hanya untuk semua umat manusia malah apa sahaja yang perlu kita ketahui tentang hubungan antara manusia dengan Allah serta hubungan antara manusia dengan alam.
Kalau Islam ini hanya dalam lingkungan halal dan haram ertinya kita sudah menyempitkan fahaman agama. Tidak boleh, itu bukan matlamat Islam. Islam ialah untuk meluaskan ilmu seseorang bukannya menyempitkan.
Begitu juga dalam soal menguasai pasaran halal. Usah biarkan orang bukan Islam menguruskannya kerana mereka hanya pentingkan soal keuntungan. Matlamat utama mereka adalah untuk mengaut keuntungan.
Sebagai sebuah institusi kefahaman Islam, tugas kita ialah untuk memberi dan meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat. Wajar Islam itu dihuraikan dengan kefahaman yang betul dan tepat supaya kita tidak mudah dipengaruhi oleh perkara-perkara yang remeh-temeh seperti yang sering dibahaskan oleh sesetengah pihak.
IKIM hendak membantu pihak agensi kerajaan dan bukan tujuan kita hendak memperlekehkan atau mengatakan mereka tidak faham dan sebagainya.
7. APAKAH MASALAH BESAR UMAT ISLAM SEKARANG DAN BAGAIMANA HENDAK MENCARI JALAN PENYELESAIANNYA?
Masalah utama ialah korupsi atau tidak amanah dalam ilmu pengetahuan. Dalam konteks yang lebih besar, umpamanya, kita ada individu yang telah membentuk satu tradisi intelektual dan bayangkan kita tegur, hina dan membuat beliau marah dan kita langsung tidak mengendahkan tradisi intelek, apa yang terjadi ialah orang ramai tidak akan tahu sumbangan beliau kerana kita membiarkan pengetahuan itu tertimbus begitu sahaja.
Bila anda melakukan sedemikian, anda sebenarnya melakukan dosa besar dalam Islam dan balasannya amat berat. Korupsi ilmu pengetahuan berlaku di negara ini. Individu yang membawa kebenaran, kejelasan, ketetapan, anda ketepikan dan anda bawa orang lain yang menyebabkan berlakunya pendustaan, korupsi dan kekeliruan.
Jalan penyelesaian kepada masalah ini ialah kita perlu menjelaskan kebenaran dengan mengikuti jalan yang benar bersandarkan pernyataan berasas, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.
8. APAKAH TUMPUAN IKIM UNTUK TAHUN INI?
IKIM menggariskan beberapa program kerja. Ia meliputi 12 buah seminar mencakupi pelbagai sudut kehidupan seperti sains dan teknologi, pemakanan, alam sekitar serta isu fatwa dan mufti serta modal insan.
Turut menjadi fokus ialah tiga buah bengkel yang akan dikendalikan oleh Pusat Perundingan dan Latihan IKIM.
9. APAKAH HARAPAN DR?
Sekali lagi, kita harus mencontohi tradisi pembelajaran yang menjadi kebanggaan peradaban Islam dan dunia Islam secara amnya. Kita perlu tonjolkan apa yang telah disumbangkan oleh mereka yang membawa kebenaran dan kejelasan. Kita tahu apa itu maksud amanah, kepercayaan yang diamanahkan akan membawa kepada kebenaran.
Tugas kami tidaklah mudah. Kami berdepan dengan ramai yang mungkin tidak bersetuju dengan apa yang kami kata. Sesetengahnya mendakwa kami terlalu kasar. Saya tidak fikir kami kasar. Hanya mereka yang sensitif sahaja yang berpendapat sedemikian.
— BERNAMA