TIDAK lama dulu, masyarakat di seluruh negara tersentak dengan kisah penderaan pembantu rumah yang didedahkan oleh media massa. Ramai bersimpati dengan pembantu rumah ini.
Selepas itu, banyak lagi kes berkaitan pembantu rumah dilaporkan. Sekarang isu pembantu rumah agak reda. Kita tidak lagi begitu mengambil kisah hal ini.
Tumpuan kita sekarang beralih kepada jenayah ragut. Semua pihak membuka mata apabila akhbar secara berterusan menyiarkan kisah malang mangsa ragut, termasuk membabitkan kehilangan nyawa.
Seperti biasa apabila sesuatu masalah sosial timbul, pelbagai pihak akan mengutarakan cadangan penyelesaian. Selepas beberapa ketika, kita mula tidak mengambil kisah apa yang berlaku seterusnya. Kita mudah lupa.
Sebelum ini kita ghairah bercerita isu along, gangsterisme di kalangan pelajar sekolah, penderaan kanak-kanak dan sumbang mahram – sekadar untuk menyenaraikan beberapa gejala sosial yang dihadapi masyarakat sebelum isu ragut dan pembantu rumah ini timbul.
Isu sosial ini sebenarnya berakar umbi dalam masyarakat sendiri. Seperti yang kita tahu, manusia mempunyai naluri untuk hidup bermasyarakat. Bagaimanapun, bukan mudah untuk hidup dalam suasana rukun dan damai dalam sesebuah komuniti, terutama dalam suasana persekitaran yang bersifat individualistik dewasa ini.
Persoalannya, bagaimana mungkin keharmonian ini dapat diwujudkan? Persoalan ini penting untuk dijawab kerana dengan wujudnya keharmonian, secara tidak langsung, masalah berkaitan gejala sosial dapat dihapuskan.
Oleh kerana gejala sosial ini adalah isu berkaitan integriti masyarakat, maka usaha pencegahan perlu dimulakan di mana ia bermula iaitu pada peringkat sistem sosial itu sendiri.
Dalam Islam, masalah sosial ini berpunca daripada nafsu jahat dalam diri manusia. Jenayah pertama yang berlaku di muka bumi ini iaitu pembunuhan Habil oleh Qabil (Surah al-Maidah, ayat 27-31) adalah berpunca daripada perasaan iri hati Qabil terhadap saudara kandungnya Habil.
Berlainan dengan malaikat yang hanya mempunyai akal, manusia dikurniakan Allah dengan akal dan nafsu. Kedua-dua unsur ini adalah ciri utama yang membezakan manusia dengan malaikat.
Melalui kombinasi akal dan nafsu, manusia mampu melahirkan inisiatif dan perubahan sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.
Begitu juga dengan permasalahan dihadapi oleh masyarakat sekarang. Apabila akal seseorang gagal mengawal nafsu jahatnya, maka akan terbitlah daripada perbuatan atau tingkah lakunya perkara yang boleh merosakkan keharmonian sistem masyarakat.
Jadi akal ini perlu disemai dengan nilai murni supaya dapat menerbitkan tingkah laku atau etika bermoral daripada pelakunya. Tetapi, agak sukar bagi orang dewasa untuk membiasakan diri dengan sesuatu nilai yang baru.
Oleh itu, proses ini sepatutnya dimulakan pada peringkat awal lagi iaitu ketika ahli masyarakat itu masih kecil lagi.
Di sini, ibu bapa berperanan untuk membentuk akhlak anak supaya apabila mereka dewasa kelak dan mula bercampur gaul dengan masyarakat, tidak menjadi parasit dalam masyarakat. Sebaliknya mereka menjadi ejen pengubah yang berpegang kepada prinsip ‘Al-Amr bi Al-Makruf, wa An-Nahy An Al-Mungkar’ (amar makruf, nahi mungkar).
Ibu bapa mungkin dapat mengawasi anak ketika mereka berada di rumah. Siapa pula yang patut mengawasi mereka ketika berada di luar? Tentu masyarakat sekeliling yang perlu bertanggungjawab dalam hal ini.
Justeru, konsep ‘Al-Amr bi Al-Makruf, wa An-Nahy An Al-Mungkar’ dan kerjasama serta saling nasihat menasihati perlu sebati dalam amalan seharian kita.
Kedua-dua konsep ini ada disebut dalam al-Quran iaitu dalam surah Ali-Imran, ayat 110 dan surah al-Maidah, ayat kedua.
Keharmonian masyarakat dapat direalisasikan jika setiap ahlinya menekankan aspek kerjasama ke arah kebaikan bersama dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Begitu juga apabila kita saling tegur menegur dan mengambil langkah pencegahan awal (An-Nahy An Al-Mungkar) tentu isu sosial ini tidak timbul sama sekali.
Bagaimanapun, dalam proses menegur, kita perlu berhemah agar pihak yang ditegur tidak tersinggung. Pada masa sama orang yang ditegur, perlu menerimanya dengan hati terbuka dan mempunyai iltizam untuk membaiki dirinya.
Bagi menambah keberkesanan usaha mengatasi masalah sosial ini, kita juga memerlukan undang-undang pencegahan jenayah yang berkesan. Undang-undang itu nanti mampu untuk menghalang keinginan manusia bertindak mengikut hawa nafsunya.
Hukuman yang dikenakan mesti adil dan setimpal serta boleh menjadi pengajaran kepada si pesalah daripada mengulangi perbuatan tadi.
Pada masa sama juga hukuman ini perlu mampu untuk menakutkan orang ramai daripada melakukan perkara itu pada masa depan.
Apa yang menjadi realiti dan punca kepada masalah sosial ini ialah, masyarakat meletakkan tanggungjawab mendidik kepada pihak pemerintah atau lebih tepat lagi pihak polis.
Apabila sesuatu gejala timbul, semua pihak menuding jari ke arah pihak polis. Tanggungjawab dan peranan ibu bapa dan masyarakat seolah-olah tidak wujud langsung dalam hal ini.
Dalam Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan pada April lalu, kerajaan antara lain mensasarkan peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat menjelang 2008. Melihat kepada senario semasa, mampukah kita merealisasikan Tekad 2008 ini?