“Ya! Teruskan Gaya Hidup Lestari” merupakan tema sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada minggu lepas. Sambutan ini saban tahun diraikan adalah bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan untuk menjaga dan memelihara alam sekitar.
Namun demikian, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari tentang sambutan ini dan mengambil peluang untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan terutamanya bagi menambah ilmu pengetahuan berkaitan alam sekitar dan juga memahami tanggungjawab masing-masing terhadap aspek pelestarian alam sekitar?
Sambutan-sambutan sebegini seharusnya diberi perhatian sewajarnya oleh rata-rata kita kerana ia merupakan medium terbaik untuk memberi pendedahan dan melahirkan keprihatinan terhadap isu-isu alam sekitar yang berlaku pada hari ini. Malah, setiap daripada kita perlu menyedari bahawa tanpa alam sekitar yang sihat, maka kelangsungan hidup di atas muka bumi juga akan pincang.
Hal ini dapat dilihat apabila seringkali berlakunya pelbagai kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, jerebu dan sebagainya yang kesemuanya adalah bertitik tolak ekoran sikap salah laku segelintir daripada kita yang secara nyata telah mengkhianati amanah Allah SWT agar sentiasa berlaku adil dan ihsan terhadap alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya.
Malah, kerakusan terhadap alam sekitar yang berlaku pada hari ini seolah-olah tiada penghujungnya. Buktinya, hampir saban hari pelbagai isu berkaitan alam sekitar dilaporkan diakhbar-akhbar tempatan yang secara jelas mencerminkan bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek pelestarian alam sekitar masih lagi rendah.
Misalnya, sejak kebelakangan ini kerap kali dilaporkan tentang isu pembalakan haram yang berlaku secara berleluasa. Antaranya, yang terbaru adalah tentang isu pembalakan haram yang berlaku di Taman Rimba Kenong, Pahang dan juga di Sarawak. Apa yang menyedihkan ialah apabila aktiviti pembalakan haram ini berlaku secara sewenang-wenangnya dalam kawasan hutan simpan seperti Taman Rimba Kenong yang pastinya menjadi gedung kepada pelbagai khazanah biodiversiti yang berharga.
Aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan seumpama itu tidak seharusnya berlaku. Sebaliknya, Taman Rimba Kenong yang telah berusia lebih 130 juta tahun itu sewajarnya dipulihara dengan sebaik mungkin agar tidak merosakkan kekayaan khazanah biodiversiti yang cukup signifikan kepada pembangunan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Oleh yang demikian, ia perlu dibanteras dan dihentikan segera agar tidak memusnahkan flora dan fauna yang unik yang jarang terdapat di tempat lain terutamanya yang menjadi tumpuan bagi melakukan pelbagai kajian dan pembangunan penyelidikan oleh para penyelidik dan juga institusi-institusi pengajian tinggi awam tempatan.
Malah, aktiviti pembalakan haram yang berlaku secara berleluasa pada hari ini perlu dibendung sehingga ke akar umbi bagi mengelakkan berlakunya kepupusan terhadap khazanah biodiversiti, selain menyebabkan berlakunya kemusnahan terhadap ekologi hutan yang boleh membawa kepada perubahan suhu setempat dan juga mengundang berlakunya pelbagai kejadian bencana alam yang tidak diingini. Selain itu, ia perlu dikawal bagi mengelakkan berlakunya kemusnahan terhadap ekosistem hutan yang mana memerlukan masa kira-kira selama 40 tahun untuk pulih semula.
Oleh yang demikian, pelbagai langkah perlu digiatkan bagi mengatasi masalah kemusnahan hutan yang berlaku pada hari ini. Antaranya, melalui penghutanan semula yang perlu dilakukan secara terancang dan sistematik di kawasan-kawasan pokok balak yang telah ditebang bagi memastikan spesies pokok tidak pupus. Selain itu, penghutanan semula juga dapat membantu mengekalkan kualiti alam sekitar, memulihara tanah dan sumber air, mengekalkan habitat flora dan fauna, dan membantu mengekalkan warisan hutan.
Kedua, penguatkuasaan akta-akta sedia ada perlu diperkasa dan diperhebatkan lagi. Dalam konteks ini, pihak kerajaan dan bukan kerajaan harus menjalinkan kerjasama yang erat dan berterusan dalam usaha membanteras kegiatan pembalakan haram sehingga ke akar umbi agar ia lebih berkesan dalam usaha menyelamatkan kahazanah hutan kita.
Ketiga, pendidikan alam sekitar melalui kurikulum. Jika diimbas kembali, pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), khususnya dalam mata pelajaran alam dan manusia. Seterusnya, pada peringkat menengah pula ialah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), iaitu dalam mata pelajaran sains seperti Biologi. Manakala, diperingkat terakhir ialah di institusi pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.
Namun demikian, ia seolah-olah kurang memberi impak kepada tahap kesedaran alam sekitar. Perkara ini mungkin perlu diperhalusi semula agar penambahbaikan dapat dilakukan bagi memantapkan lagi kurikulum pendidikan sedia ada supaya ia lebih berkesan dalam usaha memupuk kesedaran terhadap aspek penjagaan alam sekitar.
Keempat, media massa seperti surat khabar, majalah, televisyen dan radio perlu memainkan peranan proaktif dalam membentuk cara pemikiran anggota masyarakat. Misalnya, pendedahan berkaitan isu pembalakan dan pelbagai isu alam sekitar yang lain perlu sentiasa dilakukan agar masyarakat lebih peka terhadap alam sekitar, seterusnya dapat memupuk kesedaran dalam kalangan mereka tentang kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar kepada kehidupan sejagat.
Dalam konteks ekosistem hutan, masyarakat perlu disedarkan bahawa tanpa kelangsungannya kita tidak akan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna terutamanya dalam mendapatkan bekalan udara bersih yang kita hirup setiap hari.
Ini tidaklah bermakna kita langsung tidak boleh meneroka hutan, namun ia perlulah dilakukan secara berhemah dan sekadar untuk memenuhi keperluan hidup. Sebagai contoh, untuk tujuan pembinaan rumah sebagai tempat berlindung, bercucuk tanam bagi memperoleh bekalan makanan, dan juga menjana sumber ekonomi.
Walau bagaimanapun, ia perlulah dilakukan dengan bersyarat yakni keseluruhan persekitaran semula jadi tidak menerima kesan negatif yang teruk dan ia dijalankan secara terancang serta tidak mengabaikan aspek penjagaan dan pelestarian alam sekitar.
Malah, dalam menghadapi isu alam sekitar, antara perkara yang perlu dipatuhi ialah menerima hakikat bahawa kita dan alam sekitar saling memerlukan antara satu sama lain yakni “manusia memerlukan alam sekitar untuk kelangsungan hidup dan alam sekitar pula memerlukan perlindungan daripada manusia untuk meneruskan hayat bagi membekalkan segala keperluan hidup kepada manusia”.
Justeru, jika kita dapat fahami titik pertemuan kedua-duanya, nescaya bumi akan terus menjadi planet yang sihat dan selamat untuk semua hidupan, terutamanya manusia sebagai khalifah dalam konteks ubudiyyah dan mencari keredhaan Allah baik di dunia mahupun akhirat.15