Allah merakamkan dalam firmanNya yang bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” [Al-Israa’ 17: 7]
Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita hulurkan akan mendatangkan kebaikan kepada kita juga. Memberi itu lebih baik daripada menerima. Soalnya, sanggupkah kita memberi di kala tidak mempunyai apa-apa untuk dihulurkan? Ramai yang menilai ‘memberi’ itu dari sudut material sahaja. Malah, jika mampu untuk memberi sekali pun, apakah turut diiringi dengan keikhlasan?
Dilema untuk memberi, adalah kemampuan. Apabila kemampuan tidak lagi menjadi kekangan, ikhlas atau tidak, mula dipersoalkan. Konsep memberi tidak hanya bertakuk kepada material dan kewangan sahaja. Ia mencakupi banyak perkara yang melibatkan kehidupan ini. Ia termasuklah masa yang berharga diperuntukkan untuk berkhidmat kepada umat, tenaga dihulurkan untuk membantu dan idea dicurahkan untuk kebaikan masyarakat. Pokok pangkalnya dalam memberi, kita terasa ada manfaatnya untuk mereka di sekeliling malah terasa indah dan nikmat dalam menghulurkannya. Hanya yang melakukannya, akan merasai kemanisan. Maka, ia juga kebaikan yang dibalas semula atas faedah memberi dengan keikhlasan.
Sebenarnya, banyak perkara yang boleh diberi. Namun, apakah ia mudah untuk dilaksanakannya? Kadangkala, ada yang menuntut masa, kita kerap beralasan sibuk. Malah ada yang meminta bantuan tenaga, penat dan lelah menjadi alasan. Jika ditagih material mahupun kewangan, kita beralasan juga masih memerlukan dan belum mencukupi. Jika diminta menghulurkan idea pula tidak berkemampuan untuk berkongsi manfaat ilmu. Apakah sentiasa ada alasan dan halangan untuk ‘memberi’ menjadi penyebab tiadanya keikhlasan?
Dalam meniti umur kedewasaan, kita bukan lagi anak-anak yang layak untuk menerima. Kita bukan menunggu untuk menerima. Malah kita dituntut untuk memberi dan berusaha untuk menjadi masyarakat pemberi meskipun dalam keterbatasan. Soal sedikit atau banyak dalam memberi bukanlah menjadi isu. Hanya memerlukan jiwa yang besar dan keyakinan untuk berada pada tahap yang lebih baik iaitu sebagai pemberi. Hati yang penuh yakin dengan mutiara yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa yang meringankan seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat dan keaiban)nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya…[Hadis riwayat Muslim].
Hadis tersebut menggambarkan keutamaan seseorang individu muslim dalam memenuhi keperluan orang lain, memberi kemanfaatan dalam bentuk bantuan harta benda, ilmu, nasihat dan pelbagai bentuk kebajikan lain kepada yang memerlukan. Ia merupakan cerminan golongan yang suka memberi. Anggaplah memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita pada saat mula memberi. Pastinya kita mahukan yang terbaik. Maka, dengan itu kita perlu jadi yang terbaik dan memberi yang terbaik kepada semua.
Barangkali berlegar-legar persoalan dalam fikiran kita sekiranya acapkali memberi, sudah pasti apa yang dimiliki akan berkurangan. Namun sifirnya bukan sebegitu. Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik semangat berdaya maju, subur dan bertambah keberkatan. Apabila kita memberi, ia memerlukan sesuatu untuk diberi. Memberi memerlukan usaha. Ia menjadi daya penggerak kepada kita untuk mencari dan memiliki sesuatu. Bagaimana mungkin untuk memberi sekiranya kita tidak memiliki apa-apa. Sekalipun ilmu untuk dikongsi, harta untuk disedekahkan malah keringat dan tenaga yang perlu dicurahkan. Jika sifat pemurah dan pemberi itu sudah sebati dalam diri, sudah pasti ia menjadi pendorong untuk kita memaksimumkan apa yang kita miliki untuk dimanfaatkan kepada orang lain. Maka, dengan sifat dermawan itu tidak sedikit pun mengurangkan apa yang kita miliki malah lebih bertambah dengan adanya unsur keberkatan.
Sering kali kita menghitung apa yang boleh kita dapat dan bukan apa yang boleh diberi. Kita kerap kali mempersoalkan apakah yang orang lain mampu hulurkan kepada kita tanpa memikirkan apakah manfaat kita kepada dunia sekeliling. Oleh itu, sewajar kita berhenti daripada bermindakan mengharapkan pemberian. Tetapi terus berusaha untuk menjadi golongan yang memberi. Ia dapat memajukan diri.
Peribadi yang paling agung iaitu Rasulullah SAW adalah qudwah yang paling ideal. Baginda SAW telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Berkorban apa sahaja yang dimiliki untuk Islam dan umatnya. Sifat memberi merupakan pakaian baginda SAW. Inilah sisi kehidupan yang wajar dicontohi daripada Rasulullah SAW. Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain. Memberi bukan kerana nama,pangkat dan pujian tetapi memberi kerana Allah. Mencontohi Allah yang bersifat al-Wahhab.
Dengan memberi kerana Allah, kehidupan akan lebih diberkati dan bermanfaat. Yang dibawa sebagai bekalan di akhirat kelak adalah nilaian pahala daripada hati yang memberi. Bukan apa yang diterima. Semangat untuk memberi adalah lambang kekayaan hati dan kebahagiaan diri. Segala pemberian hanyalah mengharapkan keredhaan Allah. Manfaat daripada pemberian itu menjadikan kita hamba yang bersyukur, qanaah dengan apa yang ada, keberkatan rezeki terus bertambah di samping peningkatan kemajuan dan produktiviti kerja. Janji Allah menerusi surah Saba’ ayat 39 wajar dijadikan inspirasi dalam usaha untuk menjadi golongan yang sentiasa memberi: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dalam kalangan hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkannya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
Ikhlas dalam memberi juga menterjemahkan kesucian hati. Ia meletakkan kita di zon ketenangan jiwa yang tidak mengharapkan apa-apa balasan selain daripada redha Allah. Betapa banyak mana pun kita memberi, walau di situasi mana pun kita berada, keikhlasan ketika menghulur itu kunci keredhaan Allah untuk memaknakan kehidupan ini. Untuk memberi, kita memerlukan sesuatu. Maka carilah ia sebanyak-banyaknya dalam hidup dan teruskanlah memberi dan menyebarkannya, bukan hanya menerima.15