APAKAH ada satu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan umat Islam di seluruh dunia apabila Iraq tumpas di tangan tentera penceroboh?
Tidak ada. Itulah jawapannya kerana amat sukar bagi kita untuk mencari satu perkataan yang tepat lagi sesuai bagi menggambarkan perasaan itu.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana negara Islam seluruh dunia tidak berdaya berbuat apa-apa akibat sekatan dan tekanan kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat.
Umat Islam seluruh dunia bagai diikat tangan mereka daripada bertindak menentang kekejaman regim tentera sekutu itu.
Hanya ucapan simpati yang mampu dihulur dari jauh.
Pada 9 April 2003, pemerintahan lebih 24 tahun regim Saddam Hussein akhirnya tumpas apabila kota Baghdad berjaya ditawan tentera sekutu.
Selang beberapa hari, bandar Tikrit, bandar kelahiran Saddam dan kubu kuat juga tumpas di tangan tentera penceroboh.
Maka dengan itu Iraq dikatakan sudah bebas daripada cengkaman kekejaman Saddam.
Patung Saddam yang tumbang dipijak-pijak dan dipecahkan. Malah, poster Saddam dikoyakkan dan dipukul-pukul dengan kasut.
Menyingkap kembali detik permulaan perang di Iraq iaitu pada tarikh 17 Mac adalah detik permulaan pencerobohan tentera sekutu.
Ketika itu, Amerika Syarikat bersama Britain serta Australia menidakkan kuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menyerang Iraq.
Banyak perkara yang dapat dilihat sejak perang bermula. Pada tentera sekutu, kekejaman yang ditonjolkan dengan menyerang dan mengebom Iraq sangat menyedihkan dan mencabar sifat kemanusiaan sejagat.
Pada masa yang sama, perang di Iraq menjadi satu pusat pameran kecanggihan peralatan perang tentera sekutu.
Ini adalah faktor utama kenapa Amerika Syarikat begitu yakin dapat menumbangkan Saddam dalam masa 48 jam saja.
Sayangnya, niat itu tidak kesampaian. Bagaimana pula di pihak Saddam dan rakyatnya?
Yang pasti, Saddam cuba menunjukkan sikap sebagai pejuang sejati.
Dengan kekuatan tentera tidak sampai 60,000 orang, Saddam tahu yang dia tidak mampu menentang musuhnya yang mempunyai kekuatan tentera seramai 250,000 orang termasuk peralatan peperangan serba canggih.
Namun, ibarat berpantang maut sebelum ajal, Saddam nampaknya mahu kalah dengan cara yang terhormat.
Hingga kini, kelibat Saddam gagal dikesan. Hilangnya ibarat batu jatuh ke laut. Yang tinggal cuma kisah pemerintahan beliau yang penuh dengan konflik, peperangan dan kekejaman.
Saddam dan kisahnya bukanlah satu-satunya perkara yang boleh dilihat akibat pencerobohan ini.
Kisah yang lebih malang perlu dilihat dari perspektif rakyat Iraq sendiri.
Kos yang perlu mereka bayar terlalu tinggi hingga tidak terlafaz dalam angka tertentu.
Kos yang dimaksudkan ini ialah dalam bentuk kehilangan nyawa, harta benda, kehidupan dan jati diri.
Dalam tempoh masa lebih 30 hari pencerobohan tentera sekutu ini, setiap hari akhbar memaparkan kisah penderitaan rakyat Iraq.
Anak-anak kecil menangis meratapi kehilangan ibu bapa. Si ibu dan ayah meraung kesedihan apabila kehilangan permata hati tercinta.
Mereka yang cedera tetapi masih berpeluang melihat dunia termenung jauh dan tidak pasti sama ada perlu gembira atau bersedih.
Apabila membaca dan melihat paparan sebegini, manusia di seluruh dunia bersama-sama berasa kesedihan terhadap penderitaan rakyat Iraq. Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan. Namun dapatkah kesengsaraan mereka diubati?
Kini, 24 juta penduduk Iraq berada dalam era pasca perang. Fasa yang lebih dikenali sebagai fasa haru-biru menyaksikan Iraq berada dalam situasi kacau-bilau.
Tanpa undang-undang kerajaan Saddam yang tersungkur, mencuri dan merampas harta benda menjadi hobi segelintir rakyat Iraq yang baru bebas.
Kegilaan kegiatan mencuri paling dirasakan di kota Basra. Di sini pencuri menggunakan kereta sorong, lori pengangkut barang malahan basikal untuk mengambil apa saja yang mampu diangkut daripada bangunan pejabat dan perniagaan.
Wajah mereka ini bukan saja tersenyum girang menunjukkan barangan yang dicuri, malah mereka seolah-olah bangga dengan perbuatan yang tidak bermoral dan dihina agama ini.
Nampaknya, kepayahan hidup dalam mengharungi peperangan menyebabkan manusia melupakan ketinggian moral dan tuntutan agama.
Banyak yang dapat dikutip dan dipelajari daripada pencerobohan ke atas Iraq.
Ia membawa kita menilai jauh ke dalam diri agar perkara sama dapat dijauhi daripada menimpa negara kita.
Satu perkara paling berharga ialah memupuk perpaduan sesama manusia agar kekuatan diri, bangsa dan negara dapat dibina untuk menentang penjajahan alaf baru sebegini.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku supaya kamu mengenali dan beramah mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” – (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Ayat ini menunjukkan bahawa dalam negara berbilang bangsa seperti negara ini, keperluan untuk bersatu padu adalah amat kritikal.
Jika kita gagal mencapainya dengan mudah negara kita boleh dijajah dan diperkotak-katikkan seperti di Iraq.
Tentu kita tidak mahu peristiwa penjajahan ratusan tahun lamanya berulang di tanah air kita.
Di samping itu, perpaduan umat Islam seluruh dunia bersama umat bukan Islam juga penting bagi menghalang tragedi di Iraq berlaku lagi. Keserasian dan satu suara amat penting untuk mencapai kedamaian sejagat.
Malangnya, keserasian inilah yang masih gagal dicapai hingga menyebabkan tangan kita bagai ditindih sesuatu yang berat, dililit dengan tali yang panjang.
Selain itu, perpaduan sesama manusia perlu dihayati dengan perasaan kasih sayang, baik sangka, bermaaf-maafan dan hormat menghormati. Tanpa mengira apa juga warna kulit manusia di bumi ini, jika kasih sayang dapat dipupuk, maka tidak ada satu faktor pun yang akan memporak-perandakan kita.