“Malaysia dikurniai pelbagai rahmat dan nikmat. Anda memiliki sistem kekeluargaan yang baik. Jadi peliharalah. Anda juga mengamalkan nilai mulia dalam melayani golongan berusia. Justeru kekalkanlah. Anak-anak anda menghormati ibu bapa mereka. Maka pertahankanlah. Anda juga dianugerahi rahmat terbesar, iaitu kerajaan. Meskipun banyak kelemahan, namun syukurilah nikmat ini. Kerajaan yang anda miliki membolehkan anda menikmati ketenteraman, kemudahan, dan kesejahteraan. Bersyukurlah kepada Allah. Jika nikmat tersebut tidak disyukuri, pasti kelak akan hilang dari genggaman.” Demikian antara peringatan bermakna yang diberikan Syeikh Hamzah Yusuf Hanson, sarjana Islam yang dianggap paling berpengaruh di dunia barat, dalam temu bual dengan IKIMfm pada 4 September lalu.
Pesanan serta peringatan yang diberikan presiden dan pengasas bersama Zaytuna College itu amat berharga dalam suasana kemerdekaan dan pembentukan negara ini sedang diraikan. Ternyata kesyukuran dan kegigihan untuk mempertahankan segala nikmat yang dimiliki selain kesediaan memperbaiki kelemahan merupakan asas bagi keutuhan dan kelangsungan negara tercinta ini. Begitu juga akhlak mulia atau nilai-nilai luhur yang diamalkan selama ini. Itulah teras kita. Itulah juga yang membezakan kita dengan yang lain. Sehebat mana pun kemajuan dicapai dan sejauh mana kita telah melangkah, makna diri hakiki haruslah dipertahankan. Makna diri itulah yang akan menjadi benteng yang teguh dalam menempuhi ujian zaman.
Usia kemerdekaan Malaysia yang melebihi separuh abad memperlihat negara melalui liku-liku penuh mencabar. Kelihatannya semakin bertambah usia kemerdekaan, semakin besar dugaan yang ditempuh. Ibarat seorang insan, semakin dewasa semakin rencam kehidupan. Kian banyak manusia ditemui; di dalam dan luar negeri sendiri, makin luas hubungan dan rangkaian. Justeru, seringlah pula diri mendapat manfaat dan tidak kurang juga terdedah pada mudarat. Turut terheret dalam kemelut atau terjebak dalam jerat mahupun perangkap. Demikianlah yang sedang dilalui negara bertuah ini. Sekiranya dahulu tumpuan lebih terarah pada penyelesaian ancaman atau kemelut dalaman namun kini, negara turut malah sering teruji untuk menyelesaikan konflik pada peringkat serantau mahupun antarabangsa. Di samping itu, berasaskan hakikat dunia kini tanpa sempadan, maka kita turut menerima kesan daripada sebarang perubahan, kemerosotan, mahupun konflik yang berlaku di negara-negara lain, meski jarak begitu jauh memisahkan. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana sebagaimana diungkap kepemimpinan negara, dunia kini berada dalam situasi saling berhubungan dalam pelbagai arah dan saling bergantungan.
Menyedari hakikat bahawa hubungan bersaling itu pasti mendedahkan kita pada pelbagai kemungkinan dan bahaya, maka selayaknya kita mengadakan persediaan secukupnya. Akidah ummah diperkukuh, akhlak dan adab pula diperkasa. Kecintaan pada ilmu dan ilmuwan disemarakkan, perpaduan dan kesejahteraan negara ditingkatkan. Akhir-akhir ini akidah ummah kelihatan semakin hebat diasak fahaman asing yang menyesatkan. Jika tindakan pantas dan tepat dilaksanakan, akhirnya kelak hancurlah perkara paling asas yang begitu dipentingkan oleh syarak untuk dipelihara. Apabila perkara asasi ini, iaitu akidah atau agama telah pun rosak binasa, maka sudah pasti keseluruhan struktur masyarakat akan turut runtuh.
Kehilangan adab umat Islam merupakan persoalan yang sering dibangkitkan oleh sarjana Muslim seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak sekian lama. Permasalahan ini turut ditegaskan Syeikh Hamzah Yusuf sebelum mengakhiri temu bual khas bersama beliau sehari sebelum mengakhiri kunjungan ketiganya ke negara ini. Berbicara tentang adab memerlukan kita turut membicarakan hikmah dan keadilan kerana ketiga-tiganya saling berkait. Ilmu tentang sesuatu berada di tempatnya yang tepat merupakan hikmah. Perbuatan meletakkan sesuatu di tempatnya yang tepat atau wajar ialah adab. Hasil daripada tindakan ini akhirnya membolehkan keadilan terlaksana. Kehilangan adab tidak lain tidak bukan disebabkan kekeliruan ilmu. Menurut Prof. Al-Attas, anggota masyarakat telah hilang pedoman dan keliru untuk menentukan keutamaan antara ilmu fardu ain dengan kifayah. Justeru, kedudukan yang sama diberikan misalnya kepada ilmu wahyu dan ilmu sains dan teknologi. Kedua-dua permasalahan besar ini, iaitu kecelaruan ilmu dan kehilangan adab akhirnya menyebabkan munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak layak untuk melaksanakan amanah besar kepemimpinan. Pemimpin-pemimpin seperti ini tidak memiliki akhlak, intelektual, dan spiritual tinggi, sebagaimana disyaratkan. Prof. Al-Attas turut menegaskan bahawa kemelut yang melanda masyarakat hari ini yang meliputi bidang ekonomi, siasah, dan sosial hakikatnya bukanlah permasalahan sebenar. Ia hanyalah merupakan gejala yang berlaku akibat permasalahan utama.
Kecintaan yang semakin luntur terhadap ilmu dan ilmuwan juga wajar diberikan perhatian oleh rakyat negara ini. Kecenderungan yang berlebihan terhadap seni dan hiburan bagi menggantikan kecintaan terhadap ilmu dan tradisi keilmuan selayaknya menimbulkan kebimbangan akan kesudahannya. Dalam hubungan ini, maksud pesanan Khalifah `Umar ibn `Abdil Aziz r.h. wajar dijadikan renungan, “Sekiranya kamu mampu, jadilah orang yang berilmu. Jika tidak, jadilah penuntut ilmu. Sekiranya kamu tidak mampu berbuat demikian, berkhidmatlah kepada mereka. Seandainya tidak mampu, maka kasihilah mereka. Jika kamu tidak mengasihi mereka, usah pula kamu membenci mereka.”
Perpecahan dari pelbagai aspek termasuk agama yang melanda umat negara ini juga tidak harus dibiarkan berlanjutan. Memetik nasihat berguna Syeikh Hamzah yang memilih untuk memeluk Islam 37 tahun yang lalu, agama bertujuan mengikat hati hamba dengan Penciptanya dan antara sesama hamba. Justeru, tindakan memperkenalkan amalan yang berbeza, bukan sebagaimana yang dilakukan sejak zaman-berzaman oleh generasi terdahulu lalu menyebabkan timbulnya perpecahan wajar dielakkan sama sekali. Fiqh Mazhab Maliki menjelaskan bahawa paksaan tidak boleh dikenakan atas masyarakat yang untuk menghentikan sesuatu amalan yang disandarkan pada dalil yang lemah, iaitu ketika terdapat dalil yang lebih kuat. Hal ini khususnya jika paksaan tersebut menyebabkan timbulnya fitnah dan ketegangan.
Peringatan yang diberikan oleh ilmuwan sanjungan dunia Islam itu terhadap asas teguh agama Islam di negara ini membungakan limpahan harapan. Bahawa masih ada ruang untuk memastikan agama Islam terus kekal berdaulat. Justeru, setiap kita harus bermuhasabah, memperbaiki segala kesilapan atau kecelaruan dan mengatasi kelemahan, melaksanakan pembaharuan (tajdid) yang diperlukan. Usaha mulia ini tiada lain melainkan sebagai tanda mensyukuri limpahan nikmat yang dikurniakan kepada kita, khususnya kemerdekaan dan ketenteraman awam. Kedua-duanya begitu bermakna dalam situasi saudara-saudara kita di beberapa buah negara kini kehilangan nikmat kemerdekaan mahupun ketenteraman akibat dilanda pelbagai kemelut termasuk peperangan saudara dan ledakan eksterisme. Ingatlah kita sekalian akan janji Allah bahawa balasan yang disediakan-Nya bagi nikmat yang disyukuri ialah bukan sahaja pengekalan bahkan gandaan nikmat dan rahmat daripada-Nya. Al-Qur’an merakamkan, “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu, ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat-Ku kepadamu….” (Surah Ibrahim 14 : 7)