BBC News juga telah menjalankan satu kajian yang hampir sama, dan hasilnya menunjukkan bahawa 81 peratus daripada penduduk di United Kingdom percaya bahawa kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk membuatkan rakyat lebih gembira berbanding lebih kaya.
Berdasarkan kenyataan ini, apakah yang membuatkan penduduk sesebuah negara berasa gembira tinggal di negara itu? Bagaimanakah pula kegembiraan itu diukur? Ini kerana hakikatnya kegembiraan mempunyai makna yang berbeza dari satu insan ke insan yang lain.
Bagi memahami makna kegembiraan itu, elok juga diterangkan sedikit makna kegembiraan sepertimana yang dirujuk di dalam kajian di atas. Kegembiraan yang dimaksudkan dalam kajian tadi merujuk kepada tahap kepuasan penduduk sesebuah negara terhadap kehidupannya di negara itu. Dalam hal ini, penduduk di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang baik, mencatatkan keluaran negara kasar (KNK) yang tinggi dan peluang pendidikan yang luas, yang biasanya menunjukkan tahap kegembiraan yang tinggi.
Walaupun banyak perkara yang boleh dipertikaikan dari kajian ini, terutamanya dalam mentafsirkan makna kegembiraan, namun sedikit sebanyak, hasil kajian ini memberikan kita beberapa pengajaran. Bagi penulis, pengajaran paling utama adalah kajian ini setidak-tidaknya menunjukkan serba sedikit apa yang diinginkan oleh penduduk sesebuah negara agar mereka boleh mendabik dada dan berasa bangga serta gembira tinggal di negara tersebut.
Denmark misalnya, mendapat tempat pertama kerana beberapa sebab. Kemenangan Denmark dipengaruhi oleh unsur kekayaan negara itu, keindahan alam semulajadinya, saiznya yang kecil, sistem pendidikan yang bermutu dan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang baik. Sebagai perbandingan, negara Amerika Syarikat mencatat kedudukan di tangga ke-23 kerana dipengaruhi oleh masalah kemiskinan (akibat pengangguran) dan perkhidmatan kesihatan yang kurang bermutu.
Dalam hal ini, penulis ingin memberikan perhatian kepada dua sebab penting yang disebutkan di atas iaitu pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Sebab-sebab kekayaan tidak akan disentuh adalah kerana keyakinan penulis bahawa kekayaan tidak menjamin kebahagiaan walaupun penulis tidak menolak hakikat bahawa kekayaan meningkatkan peluang kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih bermutu.
Bersesuaian pula dengan keadaan semasa dalam negara kini, pilihanraya 2008 baru sahaja berakhir. Mungkin, apa yang dicatatkan dalam makalah ringkas ini dapat memberikan bayangan dan peringatan kepada para pemimpin yang menang bahawa inilah yang diinginkan rakyat dan kini, bekerja kuatlah untuk memenuhi keinginan itu.
Rakyat dahagakan satu sistem pendidikan yang mampu menghasilkan orang yang berakal. Orang yang berakal ini pula bukan semestinya memiliki gulungan ijazah yang berjela. Mereka ini, seperti kata Prof. Dr. Syed Hussien Alatas, adalah insan yang menghambakan dirinya untuk memikirkan buah fikiran (idea) dan masalah dalam masyarakat dengan menggunakan kemampuan akliahnya.
Pada ketika ini, berapa ramaikah pelajar sekolah mahupun lepasan universiti yang benar-benar menggunakan akal mereka dalam menjalani hidup seharian? Apatah lagi, adakah akal itu digunakan untuk membantu membangunkan masyarakat? Sayang sekali, anugerah paling berkuasa yang diberikan kepada manusia ini tidak dapat dimanfaatkan setinggi mungkin ke jalan yang baik. Kegagalan memanfaatkan akal ini pasti ada kaitannya dengan corak pendidikan yang diterima.
Perkhidmatan kesihatan yang bermutu memang didambakan semua orang. Bermutu di sini bukan semata-mata merujuk kepada nisbah doktor-pesakit yang sesuai, teknologi canggih yang digunakan atau cantiknya hospital yang ada itu. Pernahkah anda mendengar orang berkata bahawa satu senyuman yang indah kadang kala sudah cukup untuk mengubat segala penyakit. Oleh itu, senyuman yang mesra serta disokong pula dengan layanan yang cekap juga adalah disifatkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan bermutu.
Salah satu rungutan yang kerap didengar berkait dengan perkhidmatan kesihatan negara ini adalah dari segi kos. Kos yang berbeza memberi petunjuk kepada perkhidmatan yang berbeza. Perkhidmatan yang murah (biasanya disediakan kerajaan) memang baik tetapi mutunya (terutama layanan) amat menghampakan. Manakala, perkhidmatan mahal yang disediakan di hospital swasta mahupun di private wings hospital kerajaan tidak semua mampu merasainya. Jadi, selama-lamanyakah mereka yang miskin tidak boleh merasa perkhidmatan kesihatan lima bintang itu?
Selain pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki bagi menjamin kegembiraan rakyat. Masalah alam sekitar, kenaikan harga barang, kemudahan awam untuk semua termasuk OKU, masalah keselamatan dan banyak lagi, adalah antara perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam agenda membahagiakan rakyat.
Berdasarkan penerangan di atas, nyatalah bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan rakyat Malaysia ‘gembira’. Untuk memulakan langkah pertama, semua wakil mesti memperuntukan sedikit masa untuk memikirkan apa yang sebenarnya dimahukan rakyat. Cuba-cubalah meletakkan diri sendiri dalam keadaan atau hidup rakyat. Mungkin dengan cara itu, semua wakil terpilih dapat merasai kesusahan rakyat di kawasan masing-masing.
Akhir kata, kini adalah masanya untuk wakil-wakil yang telah dipilih dalam pilihanraya yang lepas menunaikan janji ‘membahagiakan’ rakyat. Tunaikanlah janji anda. Jangan hanya menjadi juara di gelanggang pilihanraya tetapi tersungkur ketika melaksanakan tanggungjawab.