MASJID menjadi pusat tumpuan segala kegiatan umat Islam seawal pengembangan agama Islam. Sejak pembinaan masjid pertama oleh Rasulullah SAW, Masjid Quba di kota Madinah al-Munawwarah, institusi masjid berperanan berabad-abad lamanya sebagai pusat pentadbiran, muamalah dan kebajikan. Ia juga menjadi markas pertahanan serta baitulmal. Malah masjid menjadi nadi dan tunjang utama kegiatan kemasyarakatan umat Islam di seluruh dunia.
Selain sebagai pusat tumpuan segala kegiatan, masjid melambangkan ketinggian syiar dan kekuatan umat Islam di seluruh wilayah yang dikuasainya.
Selepas Khalifah Uthmaniah menguasai kota Constantinople (Istanbul), Sultan Ahmet I mendirikan sebuah masjid di atas tapak Istana Agung Byzantium. Ia melambangkan penguasaan Islam ke atas sempadan benua Eropah yang sebelumnya dikuasai oleh Kerajaan Rom Byzantine.
Kemasyhuran Masjid Biru di kota Istanbul, Turki terus kekal hingga ke hari ini, menyaingi kemegahan Hagia Sophia yang sangat terkenal sebelumnya. Masjid juga adalah mercu tanda dan pencorak identity kota-kota besar sepanjang sejarah peradaban Islam.
Rata-rata di seluruh dunia hari ini, masyarakat Islam menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan beribadah, terutama pada hari kebesaran Islam yang disambut secara beramai-ramai seperti solat sunat Aidiladha dan Aidilfitri.
Kedudukan institusi unggul dalam masyarakat Islam ini seolah-olah kian terpinggir, hingga semakin dilupakan oleh generasi hari ini, terutama bagi sesetengah golongan muda.
Kenapakah berlakunya hal ini di tengah-tengah pembangunan masyarakat yang kian pesat dan serba canggih, terutama pada zaman ledakan teknologi ini? Adakah generasi hari ini akan terus memandang sepi kepentingan dan peranan institusi masjid yang hanya dikunjungi seminggu sekali setiap Jumaat. Itu pun kalau bukan setahun sekali setiap Aidilfitri. Atau lebih menyedihkan lagi seumur hidup sekali sewaktu majlis akad nikah atau memang hanya sekali setelah menyahut panggilan Ilahi sewaktu jenazah disempurnakan? Apakah institusi masjid tidak relevan dengan kehidupan harian kita lagi?
Hal itu berlaku sebahagiannya dicetuskan oleh pemahaman kita yang terbatas terhadap fungsi dan peranan masjid yang sebenarnya. Kita hanya melihat masjid sebagai tempat tumpuan ibadat khusus atau fardu ain semata-mata, terutama dalam hal berkaitan Rukun Islam.
Pandangan yang sempit ini juga sebahagiannya tercetus akibat pemisahan antara urusan agama dengan ‘keduniaan’ lain yang diperkenalkan pada zaman penjajahan di negara ini.
Natijahnya, fungsi dan peranan masjid dilihat semakin terbatas pada pandangan umat Islam sendiri yang kurang memahami.
Konsep pasar raya besar sebagai pusat sehenti bagi mendapatkan semua barang keperluan pengguna boleh dijadikan contoh agar kompleks masjid tidak sekadar hebat dari segi struktur binaan dan keindahan seni binanya semata-mata. Ia perlu dipenuhi dengan kegiatan kemasyarakatan sehingga mampu dilihat sebagai wadah penyatuan umat Islam.
Di Malaysia, banyak masjid dibina tersergam indah dengan kemudahan serba moden di kawasan luas. Malangnya, jemaah yang memakmurkannya kadang kala sangat sedikit, terutama masjid baru yang dibina agak berjauhan dari kawasan kediaman umat Islam.
Untuk itu, kompleks masjid yang lebih bersepadu harus dirancang dengan teliti yang menyediakan kemudahan untuk umat Islam menjalankan urusan seharian. Selain dewan solat utama, perpustakaan serta dewan ceramah dan syarahan, kompleks masjid bersepadu ini boleh menempatkan ruang niaga untuk pengguna Muslim mendapatkan keperluan harian mereka.
Pasar raya yang berkonsepkan ‘halal mart’, cawangan perbankan Islam dan klinik boleh didirikan di perkarangan masjid. Begitu juga kemudahan untuk beriadah bagi seisi keluarga seperti kolam memancing ikan, padang permainan dan taman rekreasi.
Peranan masjid juga harus diperluaskan sebagai pusat penyelidikan dan sumber maklumat masyarakat setempat.
Konsep ini walaupun bukanlah sesuatu yang baru, ia mungkin sedikit asing bagi masyarakat Islam di negara ini. Namun contoh seumpama banyak di seluruh dunia. Masjid Umayyah di Damsyik (Syria), misalnya, menjadi tempat anak-anak bermain bola sepak. Mereka bermain di kawasan lapang di tengah-tengahnya di luar waktu solat. Masjid Irving di Texas, Amerika Syarikat juga menjadi tumpuan anak muda bermain bola keranjang, bola tampar dan American Football, selain berfungsi sebagai Pusat Islam bagi masyarakat setempat.
Di Malaysia, Masjid Putra, menjadi tumpuan pelancong ke Putrajaya, selain mempunyai tarikan pengunjung tersendiri seperti souk dan tempat makan minum bersebelahan.
Selain itu, pihak pentadbiran masjid perlu membawa institusi masjid ke tengah-tengah masyarakat dengan menganjurkan pelbagai kegiatan bagi menarik minat orang ramai mengunjunginya. Program kembara masjid boleh dianjurkan, selain acara yang berorientasikan keluarga.
Dengan ini, masyarakat bukan saja akan dapat mendekatkan diri dengan institusi masjid, malah segala aktiviti kemasyarakatan umat Islam akan dapat diadakan dalam lingkungan batas diizinkan syarak.