Penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa merupakan penzahiran kepada penyakit dalaman yang tersembunyi. Menangkap, mendakwa dan menghukum perasuah pada saat penyakit itu sudah berleluasa menjadi pandemik tidak akan membawa sebarang perubahan selagi mana punca sebenar penyakit itu tidak dikenal pasti, diakui dan dihapuskan. Ia ibarat mengasingkan seorang penghidap COVID-19 sedangkan virus itu sudah menjangkiti puluhan ribu orang.
Sebagaimana penyelesaian masalah pandemik memerlukan khidmat mereka yang pakar dalam berbagai-bagai disiplin yang berkaitan, begitu jugalah dengan masalah perilaku manusia. Penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa adalah masalah perilaku manusia, dan sewajarnyalah sebab atau punca timbul dan berleluasanya perilaku itu hendaklah dikenal pasti.
Manusia bukanlah semata-mata darah, daging dan tulang iaitu jasad yang zahir kelihatan pada pandangan mata tetapi juga, dan lebih-lebih lagi, adalah roh, yang tersembunyi daripada pandangan mata, akan tetapi ialah yang paling nyata wujudnya pada kesedaran. Di sinilah bermula segala khilaf dan salah faham. Berapa ramai daripada kalangan manusia yang menafikan roh ataupun meraguinya manakala yang mempercayai wujudnya pula timbul persoalan besar tentang apa yang mereka fahami dan maksudkan dengan roh itu.
Roh adalah “diri insan,” dan betapa besarnya perbezaan dalam kalangan manusia ketika menanggapi perihal dirinya sendiri. Dalam Islam, mengetahui tentang diri itu termasuk dalam ilmu fardu ain, iaitu ilmu yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim tidak kira lelaki atau perempuan. Kenapa demikian sekali pentingnya mengenali hakikat diri itu? Kerana, menurut Imam Ghazali, “diri” adalah yang paling dekat dengan seseorang dan barang siapa yang tidak kenal dirinya sendiri maka sudah tentu yang lain-lain itu lebih tidak dikenalinya. Bagaimana halnya seseorang yang tidak mengenali dirinya sedangkan kepada diri itulah ditujukan segala perintah dan larangan agama; dan diri itulah yang akan “kembali” kepada “tuan”nya bagi menjawab segala tuduhan dan dakwaan; dan diri itulah yang akan mengalami nasib akhir sama ada bahagia ataupun sengsara? Justeru, mengenal diri adalah jalan bagi mengenal Allah, sedangkan hanya yang kenal Allah akan takut dan harap kepada-Nya.
Namun, perihal kewujudan diri itu adalah suatu misteri. Walaupun wujudnya ternyata pada akal dan kesedaran tetapi tidak dapat dinyatakan tempatnya di mana. Ia tidak berada di dalam atau di luar, di atas atau di bawah, di kiri atau di kanan, kerana ia memang tidak bertempat. Bagaimana boleh dikatakan ia wujud sedangkan ia tidak bertempat? Itulah persoalan yang menyebabkan sebahagian manusia telah mengengkari kewujudan roh. Sehubungan itu, kalau wujud roh boleh dinafikan, bagaimana dapat diisbatkan wujud Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini?
Diri yang dinafikan wujudnya oleh sebahagian manusia itu adalah “diri rohani” sedangkan tiada sesiapa yang menafikan wujudnya “diri hayawani.” Walau bagaimanapun, ini hanyalah sangkaan semata-mata dan ia jauh daripada kebenaran kerana manusia bukanlah semata-mata “benda hidup” yang berhajat kepada makan-minum, membesar dan membiak, akan tetapi ia juga berfikir dan berkata-kata dan dua sifat yang akhir itulah yang membezakannya daripada haiwan. Perbezaan ini bukan merujuk kepada sifat luaran tetapi sesuatu yang bersifat dalaman dan tersembunyi dan itulah yang dimaksudkan dengan “diri rohani.” Diri yang perlu dikenali dengan sebenar-benarnya itu adalah diri rohani.
Apakah yang menyebabkan seseorang merasa gembira, sukacita dan bahagia? Apa pula yang menyebabkannya sedih, dukacita dan sengsara? Ternyata diri insan itulah yang merasai semua perasaan itu. Diri itulah yang memutuskan apa yang patut dilakukan dan apa pula yang patut dielakkan. Ia seumpama “pemandu” sedangkan tubuh-badan dan anggota yang zahir seumpama “kenderaan” yang dipandu. Maka baik atau tidak seseorang itu bergantung kepada hal keadaan diri rohani itu dan di sinilah timbulnya keperluan kepada pendidikan. Manusia yang baik perlu dihasilkan, dan jalannya adalah melalui pendidikan. Berleluasanya korupsi dan rasuah bererti kegagalan pendidikan yang sedia ada dalam menghasilkan “manusia” yang baik. Justeru perubahan dan pembetulan mesti dilakukan bermula daripada tujuan pendidikan sehinggalah kepada cara dan prosesnya.
Akar umbi korupsi dan rasuah adalah pada diri rohani itu dan di situlah sahaja dapat ditemui penyelesaian sebenar kepada masalah. Namun, ia tidaklah semudah itu. Penyelesaian ini hanya akan diterima apabila diisbatkan hakikat dan sifat insan seperti yang dinyatakan secara ringkas di atas. Di sinilah punca sebenar korupsi, iaitu korupsi ilmu berkenaan dengan hakikat semesta yang termasuk dalamnya ilmu tentang diri insan. Kerosakan ilmu tentang hakikat diri adalah punca berleluasanya masalah keraguan dan kehilangan makna diri. Bagaimanakah dapat diperbetulkan perjalanan hidup seseorang mengikuti jalan yang lurus sedangkan dia masih ragu-ragu tentang makna diri dan nasib akhirnya?