Apa itu lantanida? Penulis bercadang untuk mengupas isu ini kerana dua sebab utama. Pertama, latar belakang penulis dalam bidang kimia dan pernah berkhidmat sebagai ahli kimia di dalam dan di luar negara. Kedua, penulis berasal dari Hulu Perak, iaitu satu daerah yang dikelilingi kehijauan gunung-gunung dan daerah yang kaya dengan khazanah alam semula jadi. Daerah Hulu Perak merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Perak yang terdiri daripada tiga daerah kecil iaitu Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong.
Lembah Lenggong berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa mesyuarat World Heritage Committee di Saint Petersburg, Rusia pada 30 Jun 2012. Tapak ini membekalkan siri urutan budaya mengikut kronologi bermula pada zaman Paleolitik hingga zaman Neolitik dan zaman Logam. Begitu juga dengan Taman Negeri Royal Belum dalam daerah Hulu Perak dipercayai telah wujud selama lebih daripada 130 juta tahun menjadikannya salah satu hutan hujan tertua di dunia, lebih tua berbanding Hutan Hujan Amazon dan Hutan Hujan Kongo. Inilah antara keistimewaan Hulu Perak yang kaya dengan khazanah alam.
Bagi menjawab isu perlombongan lantanida di Hulu Perak ini penulis cuba mencari apa faedahnya selain pulangan atau habuan kewangan kepada pihak-pihak yang berkepentingan sahaja. Selain imbuhan kewangan, projek ini dikatakan dapat menyediakan peluang pekerjaan.
Dari aspek peluang pekerjaan ini, satu kajian telah dijalankan untuk menyiasat pendedahan pekerja kepada unsur nadir bumi (REE) di kilang pemprosesan REE utama dari China Utara dengan menilai pendedahan luaran dan pendedahan dalaman pekerja. Kumpulan pendedahan, termasuk 50 pekerja di kilang pemprosesan dan kumpulan kawalan termasuk 50 pekerja dari kilang minuman keras yang terletak 150 km dari kumpulan pendedahan telah diambil dalam kajian itu. Data menunjukkan pencemaran yang jauh lebih tinggi di kilang pemprosesan REE berbanding dengan kumpulan kawalan, (iaitu 87.5 berbanding 0.49 μg/m3 ΣREEs). Kepekatan darah juga jauh lebih tinggi dalam kumpulan pendedahan (3.47 berbanding 2.24 μg/L ΣREEs). Data ini dengan jelas menunjukkan pencemaran lantanida yang tinggi dalam persekitaran kerja dan badan manusia berbanding dengan subjek kawalan.
Secara kimianya, lantanida merupakan siri unsur kimia yang terdiri daripada 15 unsur bermula dari lantanum (La) hingga lutetium (Lu) pada jadual berkala dengan nombor atom 57 hingga 71. Unsur Nadir Bumi (REE) atau lantanida ini ialah bahan utama teknologi moden seperti di dalam aplikasi sistem pertahanan ketenteraan, telefon pintar dan lain-lain kerana sifat magnetik, fosforus dan pemangkin yang unik.
Kawasan yang dicadangkan untuk melombong lantanida adalah seluas 5,339 ekar atau 2,161 hektar di mukim Kenering, daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan. Tapak projek ini yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong, Hutan Simpan Bintang Hijau (Hulu Perak), dan Hutan Simpan Belukar Semang.
Projek ini mencadangkan perlombongan larut resap setempat dan penjerapan ion lantanida. Proses ini melibatkan penggerudian lubang ke dalam deposit bijih. Kemudian, suntikan larutan ammonium sulfat ke dalam jasad bijih melalui lubang suntikan tersebut di bawah tekanan tertentu untuk mengekstrak mineral ini dalam bentuk ion. Larutan yang mengandungi kandungan bijih yang terlarut akan dikumpulkan untuk proses seterusnya di loji hidrometalurgi.
Telah banyak kajian yang dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa berkaitan dengan perlombongan lantanida ini. Kerajaan China telah menguatkuasakan pengharaman perlombongan larut resap in-situ (setempat) sejak Jun 2011. Oleh sebab itu, berbagai-bagai masalah yang timbul yang merosakkan alam sekitar. Berlakunya pencemaran air bawah tanah dan tanah runtuh.
Berkaitan dengan pencemaran air bawah tanah ini, satu penyelidikan telah dijalankan di China yang telah diterbitkan pada tahun 2020 mendapati selepas 12 tahun projek perlombongan ini selesai, min pH air bawah tanah dalam kawasan perlombongan adalah di antara 3.90 dan 4.87 di bahagian bawahnya. Keadaan ini disebabkan oleh kehadiran sisa bahan kimia, kepekatan nitrogen ammonia adalah 12–40 kali lebih tinggi daripada kepekatan tanah bijih mentah sebelum dilombong.
Berkaitan dengan tanah runtuh pula, dilaporkan hampir 100 kes tanah runtuh yang berlaku di Wilayah Ganzhou turut dikaitkan dengan perlombongan ini.
Kajian yang dilakukan oleh Xavier dan rakan pengkajinya dalam makah jurnal Resouces Policy 78 (2022), mendapati bahawa aktiviti perlombongan membawa kepada tekanan alam sekitar, seperti kemerosotan hutan dan air sisa. Perubahan alam sekitar akibat tekanan yang dihasilkan oleh aktiviti perlombongan adalah perubahan dalam litupan tanah dan kemerosotan habitat yang membawa kepada kehilangan biodiversiti, pencemaran udara, air dan tanah. Akibat perubahan persekitaran ini aktiviti kehidupan masyarakat juga terjejas.
Saleem H. Ali (2014), dalam makalah Social and Environmental Impact of the Rare Earth Industries pula melaporkan bahawa kebimbangan yang semakin meningkat tentang pencemaran akibat daripada melombong lantanida di China. Kajian ini juga menyentuh konflik antara sosial dengan alam sekitar yang menyelubungi pembangunan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan, Malaysia yang membawa kepada perhatian aktivis antarabangsa atas dakwaan ketidakadilan alam sekitar dan sosial.
Apa akan berlaku setelah segala hasil bumi dijarah? Lombong tersebut akan ditinggalkan dan turut mengundang masalah kepada penduduk setempat terutama kepada kanak-kanak.
Jika kita tinjau dari perspektif Islam, Allah SWT berfirman: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan taubat)” Surah Ar Rum ayat 41.
Selain isu lantanida ini di Perak, kita juga dapat melihat keadaan apabila kita sampai di Ipoh, turut disambut oleh pemandangan gunung-gunung yang ditarah dan digondol di Simpang Pulai, Perak. Keadaan ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT dalam surah An-Naba’ ayat ke 6–7, yang bermaksud:“(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi terbentang luas sebagai hamparan dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya.”
Apakah apabila Allah SWT telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasaknya maka kita pula sedang berusaha meratakan atas sebab pulangan kewangan dan peluang pekerjaan?
Akhir sekali, kehidupan di dunia ini hanya sementara begitu juga kuasa yang ada pada kita semuanya nanti akan lenyap dan akan ditanya di hadapan Allah SWT untuk menerima balasan perbuatan kita ketika berkuasa.