Perbuatan membunuh diri kini telah dianggap sebagai satu gejala kesihatan di seluruh dunia. Ia berpotensi untuk menjadi satu epidemik secara senyap dan tersembunyi. Setiap kejadian bunuh diri yang berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan kestabilan ahli keluarga, keharmonian masyarakat dan kekuatan ekonomi kerana kehilangan sumber kebergantungan terhadap tenaga manusia.
Perbincangan berkaitan gejala membunuh diri yang selama ini dianggap sebagai amat sensitif, namun perlu dilakukan dengan lebih terbuka dan lebih fokus. Tumpuannya adalah untuk mendidik masyarakat awam bahawa gejala bunuh diri boleh dicegah. Ia boleh dicegah dari berlaku pada peringkat awal lagi sebelum menjadi satu wabak yang tidak terkawal di kemudian hari.
Bertepatan dengan hasrat ini juga, satu kempen kesedaran bahawa perbuatan dan gejala membunuh diri sendiri itu sebenarnya boleh dicegah dan dikawal telah diwujudkan sejak tahun 2003 yang bermula di Stockholm. Satu kempen khusus tentang kesedaran berkaitan pencegahan bunuh diri telah diangkat sebagai tema kempen pada peringkat global dengan hasrat meningkatkan kesedaran masyarakat awam untuk menghalang kejadian yang tidak diingini itu. Kempen ini berlaku pada setiap tahun menjelang 10 September dan diadakan di seluruh dunia.
Kempen kesedaran peringkat global berkaitan perkara ini amat perlu dan ia bersifat umum tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa, kerana perbuatan tersebut berlaku kepada setiap ahli keluarga tanpa mengira status agama dan kepercayaan mereka. Namun, sumbangan pendekatan agama dan kepercayaan spiritual seseorang individu terhadap larangan membunuh diri itu sebenarnya sudah sekian lama terjalin. Malah, kepercayaan spiritual lebih dekat dengan individu dalam menangani sebarang kesulitan berkaitan urusan kehidupan mereka. Lantaran itu, keutuhan pegangan agama dalam pencegahan bunuh diri wajar diteruskan daripada generasi kepada generasi.
Bagi umat Islam khususnya, larangan bunuh diri telah lama wujud, kerana perbuatan tersebut amat dilarang oleh agama Islam, dan secara tidak langsung, ia menyumbang kepada aspek pencegahan bunuh diri dalam kalangan mereka. Terdapat ayat di dalam al Quran dan juga Hadis Rasulullah S.A.W yang melarang umat Islam membunuh diri. Contohnya, dalam surah an Nisa, ayat 29, Allah berfirman yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu’. Manakala ada beberapa buah hadis juga berkaitan perkara ini.
Satu contoh di dalam sebuah hadis, diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud ‘Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan disiksa dengan cara itu pula’. Dalam sebuah hadis lain adalah apabila Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud ‘Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dalam dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti’. (Riwayat Muslim).
Ajaran Islam menuntut umatnya untuk bukan sahaja menjauhkan diri dari perbuatan membunuh atau membinasakan ataupun merosakkan diri mereka, sama ada secara fizikal, psikologi, mahupun sosial dan spiritual, tetapi juga memperbaiki status kesihatan dan kesejahteraan diri mereka pada setiap masa. Mereka diminta untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, dan mengelakkan diri daripada terkena sebarang kemudharatan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, Allah berfirman di dalam al Quran, surah al Baqarah, ayat 195 yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan’. Dari segi syara’, seluruh umat Islam diwajibkan untuk memelihara kemaslahatan nyawa dan keturunan, memelihara aqal, agama dan harta mereka. Mencegah sebarang kemudharatan dan mafsadah dari terus berlaku adalah juga satu maslahah.
Berhubung dengan pencegahan bunuh diri ini pula, ia sebenarnya ialah satu tanggungjawab dan kewajipan setiap umat Islam untuk mencegahnya. Pencegahan boleh dilaksanakan pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya, tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 110 yang bermaksud ‘Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.
Dari segi fenomenologi pula, tren perbuatan bunuh diri yang berlaku pada masa sekarang menunjukkan peningkatan kes yang semakin membimbangkan dengan pelbagai puncanya. Malah, bunuh diri adalah satu di antara 10 penyebab utama kematian di seluruh dunia, selain penyakit jantung dan kemalangan jalan raya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga melaporkan terdapat lebih dari 703, 000 kematian yang berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun adalah akibat bunuh diri. Tren yang sama turut berlaku di negara ini apabila terdapat peningkatan kes bunuh diri berlaku pada setiap tahun. Seperti yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia, terdapat sebanyak 1142 kes bunuh diri pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada tahun 2020.
Lebih membimbangkan ialah perbuatan bunuh diri dalam kalangan generasi muda berusia antara 10 hingga 24 tahun. Data yang ada menunjukkan kejadian bunuh diri merupakan penyebab utama kedua kematian golongan remaja berusia antara 10 hingga 14 tahun berbanding generasi dewasa (Center for Disease Control and Prevention, US, 2022). Satu dapatan lain yang turut membimbangkan apabila terdapat kaitan kukuh antara penggunaan media sosial dan gajet elektronik dengan idea dan cubaan bunuh diri dalam kalangan mereka yang menggunakan media elektronik selama 5 jam lebih berisiko sebanyak 70% mempunyai perasaan berkaitan idea dan keinginan bunuh diri (Clinical Psychological Science, 2019).
Walaupun punca kejadian bunuh diri itu pelbagai, namun penggunaan media sosial berpotensi meningkatkan cabaran golongan remaja untuk mengendalikan emosi mereka secara lebih berkesan apabila berdepan dengan tekanan, dan ia adalah berbahaya jika tiada pemantauan oleh golongan dewasa. Apatah lagi apabila terdapat data yang menunjukkan bahawa gangguan emosi (mood disorders) merupakan punca utama kepada kejadian bunuh diri yang berlaku, berbanding ganguan lain dalam kategori gangguan penyakit psikiatri (Lu DY, 2016, Metabolomics).
Kesimpulannya, perbuatan bunuh diri mempunyai pelbagai jenis punca dan penyakit mental bukan satu-satunya punca kes bunuh diri. Ia boleh dicegah pada peringkat awal. Pemantauan oleh ahli keluarga dan golongan masyarakat boleh menghalang kejadian bunuh diri dan mampu menyelamatkan nyawa.