Perbuatan merokok itu hukumnya adalah haram. Inilah keputusan muktamad yang telah difatwakan secara bersama oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia di dalam muzakarah mereka pada kali yang ke 37 pada 23 Mac 1995. Keputusan ini telah disepakati sebagai haram dan dilarang atas beberapa alasan iaitu perbuatan merokok itu mendatangkan kemudharatan kepada perokok dan juga kepada orang lain yang berada di sekeliling perokok, di samping memberi kesan kemudharatan kepada alamm sekitar. Keputusan ini juga adalah berdasarkan kepada ajaran agama Islam bahawa adalah satu kewajipan bagi seluruh umat Islam untuk menghindari segala bentuk kemudharatan di dalam kehidupan mereka, sama ada dari segi perbuatan dan tingkahlaku, percakapan dan pertuturan, atau sebagainya. Asasnya ialah menjadi satu kewajipan bagi mereka untuk mengelak dan menjauhi segala perbuatan yang mengundang kemudharatan dari berlaku, dan juga satu kewajipan bagi mereka untuk menghalang perbuatan tersebut dari terus berlaku sebelum ia menjadi semakin berleluasa. Di dalam konteks gejala merokok ini, kewajipan tersebut berlaku di dalam bentuk pendidikan pencegahan dan juga penguatkuasaan.
Oleh yang demikian, bermula 1 Januari 2020, kegiatan merokok di semua premis makanan awam akan menjadi satu kesalahan besar, menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun. Ini berikutan daripada penguatkuasaan sepenuhnya larangan tersebut selepas semua tempat makan awam diwartakan sebagai kawasan larangan merokok seperti mana yang telah diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan 2018), Akta Makanan 1983. Ini merupakan satu tindakan yang boleh dikatakan sebagai drastik, namun berani serta mewakili majoriti besar suara dan keinginan rakyat Malaysia yang mahukan persekitaran yang bersih dan sihat serta selamat, untuk dinikmati bersama, terutamanya oleh kanak-kanak, wanita mengandung dan golongan warga emas, lebih-lebih lagi jika seseorang individu itu mempunyai masalah kesihatan yang kronik, seperti penyakit berkaitan pernafasan, jantung dan sebagainya.
Larangan dan penguatkuasaan ini diharap tidak terlambat, dan ia menunjukkan satu komitmen tinggi pihak kerajaan yang memiliki integriti yang ikhlas terhadap penjagaan pemuliharaan kesihatan rakyat dan keselamatan mereka. Justeru, ia satu tindakan yang amat baik, dan wajar disokong oleh seluruh rakyat, kerana ia menyeru kepada kebaikan dan sudah pasti ia mendatangkan hasil yang baik. Malahan, rata-rata golongan masyarakat telah dapat menerima arahan penguatkuasaan ini, dan patuh serta akur kepada larangannya, memandangkan mereka semua telah dididik selama setahun sebelum itu untuk bersedia dan menerima arahan dan peraturan yang baharu ini.
Dalam Islam, menyeru kepada perbuatan yang elok bagi mendapatkan hasil dan matlamat yang baik melalui cara yang betul dan sahih amat dituntut dan digalakkan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 104, yang bermaksud, “Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan manusia yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kejahatan, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” Menurut Tafsir Ibn Katsir, segolongan individu manusia itu adalah segelintir kaum ulama, pemimpin dan para mujahidin yang perlu muncul dalam usaha memelihara kemaslahatan ummah dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan.
Dalam konteks ini, satu pendekatan yang bersungguh-sungguh melibatkan keputusan di peringkat kepemimpinan bertaraf politik merupakan pendekatan yang paling agresif tetapi mujarab, cepat dan berpengaruh dalam membimbing atau memandu ummah ke arah kesejahteraan. Walaupun ia adalah yang paling efektif, namun pada hakikatnya, ia amat sukar untuk diperolehi, melainkan jika ada keberanian dan kesungguhan yang betul-betul ikhlas. Malahan, tindakan ini sebenarnya satu keperluan dan ia perlu dilakukan, iaitu menggalakkan rakyat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan tidak merokok.
Walaupun gejala merokok itu bersifat peribadi, dan bagi memenuhi tuntutan naluri peribadi semata-mata, tetapi ia telah menjadi satu budaya baharu atau satu gaya hidup yang diterima oleh masyarakat, namun pada akhirnya ia memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya. Dari segi etika dan moral, tabiat merokok tidak pernah dijulang sebagai satu amalan gaya hidup sihat, atau satu daripada mana-mana amalan yang murni. Malah, secara saintifiknya, tabiat merokok juga telah diiktiraf sebagai satu tabiat yang memiliki lebih banyak kemudaratan kepada kesihatan dan kehidupan serta kewangan, berbanding kebaikannya. Apa kelebihan yang ia ada? Satu jenis keburukan yang pasti akan muncul akibat daripada tabiat merokok ini ialah ketagihan, iaitu satu perbuatan yang menjadikan perokok itu saban hari akan semakin setia kepada rokoknya.
Malahan, kesetiaan si perokok kepada rokoknya memang tidak pernah luput dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini semua angkara ketagihan yang telah tercetus dan dipupuk itu. Lebih menyedihkan lagi ialah apabila tabiat yang dipupuk sejak sekian lama itu bermula seawal usia kanak-kanak dan remaja. Sebanyak 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Malah, hubung kait dapat ditemukan iaitu semakin awal seseorang individu itu merokok, semakin pendek kadar jangka hayatnya, kerana sepanjang hidupnya akan dihantui pelbagai kesan negatif tabiat merokok dan juga dibebani pelbagai gejala asap rokok yang lain.
Lihatlah kepada angka iaitu sebanyak 27,000 kes kematian akibat asap rokok berlaku setiap tahun. Inilah rekod yang ada seperti yang telah dinyatakan oleh kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015. Kematian yang berpunca daripada asap rokok yang boleh diperolehi di mana-mana, malah di dalam rumah, di sekitar kejiranan, dan juga di pusat-pusat membeli belah dan di taman-taman rekreasi awam. Gejala buruk rokok dan asap rokok bukan hanya berlaku dalam kalangan perokok, tetapi juga memberi kesan dahsyat itu kepada bukan perokok, khususnya kepada golongan kanak-kanak dan wanita mengandung. Ini tidak adil dan sewajarnya tidak berlaku.
Justeru, tindakan pengharaman merokok di tempat makan awam merupakan satu permulaan yang wajar. Ia lebih kepada usaha yang berbentuk pencegahan dan pendidikan. Ia mencegah rakyat daripada terus dibelenggu oleh gejala ketagihan rokok, dan juga mendidik mereka untuk menjauhi terus tabiat buruk ini selama-lamanya, dan pada masa yang sama terus menjadikan gaya hidup sihat yang bebas asap rokok sebagai satu amalan hidup mereka. Ia juga sejajar dengan tuntutan Islam yang menganjurkan pendekatan berbentuk pendidikan dan pencegahan adalah asas kepada pembentukan akhlak dan sikap yang baik dalam kalangan ummah. Menghalang sebarang bentuk kemudaratan daripada terus berlaku adalah sebenarnya membuka lebih banyak ruang-ruang kemanfaatan dan kebaikan untuk menjelma dan inilah permulaan kepada asas yang baik dalam kehidupan.