Kita mungkin biasa mendengar mengenai Revolusi Industri 4.0 tetapi jarang kita mendengar mengenai Masyarakat 5.0 atau Society 5.0. Apakah yang dimaksudkan dengan Masyarakat 5.0?
Beberapa persoalan mungkin bermain di fikiran kita. Apakah Masyarakat 5.0 ini sama seperti Masyarakat Madani atau Civil Society yang pernah dipopularkan satu ketika dahulu iaitu sebagai satu masyarakat yang beradab dalam membangun, menjalani dan memaknai kehidupan? Menurut kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi madani ialah maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Masyarakat 5.0 atau Society 5.0 dicetuskan di negara Jepun. Masyarakat 5.0 menggambarkan generasi ke-5 trend masyarakat dalam sejarah dunia berdasarkan kronologi bermula daripada masyarakat perburuan atau hunting society (Society 1.0), masyarakat pertanian atau agrarian society (Society 2.0), masyarakat industri atau industrial society (Society 3.0), masyarakat informasi atau information society (Society 4.0). Manakala, Masyarakat 5.0 menciptakan layanan, nilai-nilai dan cara baharu dalam kehidupan.
Secara lebih spesifik lagi, Masyarakat 5.0 ialah sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal. Jika Masyarakat 4.0 hanya mampu mengakses maklumat atau berbagai-bagai bentuk informasi di alam maya tetapi Masyarakat 5.0 ini dapat menganalisa maklumat tersebut menggunakan “Kecerdasan Buatan” atau Artificial Intelligent (AI), dan hasil tersebut dikembalikan kepada manusia di ruang nyata dalam berbagai-bagai bentuk yang mengatasi kemampuan manusia. Kesannya, proses ini akan memberikan nilai baharu kepada industri dan masyarakat yang sebelum ini adalah mustahil dilakukan oleh manusia.
Jadi, perlu diwujudkan di negara ini persediaan bagi masyarakat kita menghadapi kelajuan dan perubahan pesat yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sebelum ini tumpuan kita hanya kepada Revolusi Industri 4.0 atau lebih tepat lagi memberi tumpuan kepada teknologi tersebut. Namun, bagaimana kita hendak mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan ini? Hakikatnya, kejayaan Revolusi Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 perlu seiring agar pembangunan yang dikecapi bersifat menyeluruh iaitu agar kita dapat membina dan mengembangkan persekitaran lestari masyarakat keseluruhan.
.
Masyarakat 5.0 ialah masyarakat pintar yang memberi penekanan integrasi teknologi pintar dan manusia. Masyarakat ini dikenali sebagai “mesin yang berjiwa” yang memberi penekanan kepada teknologi dan manusia berasaskan kepada teras-teras yang dikaitkan dengan Revolusi Industri 4.0 seperti Teknologi Pemprosesan Awan atau cloud dalam penyimpanan dan pemprosesan data, Internet of Things (IoT) yang menghubungkan deria pintar pada peralatan dengan sambungan internet, Sekuriti Siber bagi melindungi data dan meminimumkan risiko, dan Cetakan 3D atau 3D Printer yang memudahkan pembangunan prototaip, teknologi Drone, Kecerdasan Buatan (AI), Robotik, Intergrasi Sistem , Data Raya serta sebagainya.
Selain itu, ia “realiti berperantara” yang dapat mengabungkan dunia fizikal dengan dunia maya serta dapat menganalisis data raya perkhidmatan dan melakukan unjuran yang lebih tepat atau semakin menghampiri kebenaran. Dengan kata lain, setiap ramalan yang dihasilkan oleh AI semakin hari semakin tepat.
Perubahan pesat dalam industri memerlukan masyarakat menjadi penggerak dalam Revolusi Industri 4.0, justeru itu, mereka harus turut berubah. Masyarakat tidak harus terus kekal dengan cara lama kerana teknologi itu sedikit demi sedikit akan meninggalkan kita.
Di sini saya berikan beberapa contoh. Perkara yang berlaku satu ketika dahulu ialah apabila aplikasi teksi e-hailing diperkenalkan di seluruh dunia, masyarakat atau pemandu-pemandu teksi di Malaysia tidak dapat menerima perubahan ini. Mereka mengadakan demonstrasi dan mendesak kerajaan untuk campur tangan dalam hal ini. Ia adalah kerana gaya berfikir mereka masih lagi terikat dengan cara lama dan tidak lagi dapat menerima perubahan dalam sains dan teknologi.
Begitu juga jika kita lihat, restoran pada hari ini tidak hanya bergantung kepada pelanggan yang berbentuk fizikal semata-mata tetapi pelanggan maya yang begitu ramai. Mana-mana restoran yang tidak menggunakan aplikasi untuk memesan makanan akan ketinggalan. Pelanggan akan lebih selesa untuk memesan makanan menggunakan aplikasi dan makanan akan segera dihantar ke rumah hingga ke depan pintu. Mereka tidak lagi perlu memandu ke restoran tersebut, menunggu dan mencari tempat parkir hanya semata-mata untuk memesan makanan.
Sistem pendidikan di universiti juga turut berubah. Saya masih ingat ketika saya mengambil pengkhususan bidang kimia di salah sebuah universiti tempatan, penuntut jurusan kimia ini “diwajibkan” untuk mengambil subjek-subjek wajib yang telah ditentukan oleh pihak universiti. Subjek-subjek tersebut seperti matematik, statistik, sains nuklear, geologi dan sebagainya. Jadi, subjek-subjek wajib ini yang akan menjadi gangguan kepada penuntut berkenaan kerana mereka tidak meminati langsung bidang tersebut.
Namun, kini suasana telah berubah. Pembelajaran di universiti pada masa akan datang dikenali sebagai pembelajaran “Juke Box” iaitu penuntut boleh memilih mana-mana subjek yang mereka minat daripada mana-mana universiti atau daripada mana-mana pensyarah yang mereka suka.
Sebagai contoh, jika penuntut ini telah merancang kerjaya sebagai usahawan dalam bidang keselamatan siber, penuntut ini hanya perlu mengambil subjek yang berkaitan dengan keselamatan siber, subjek-subjek keusahawanan dan seterusnya subjek-subjek yang berkaitan dengan akaun atau urusan kewangan syarikat. Subjek-subjek ini boleh diambil daripada satu universiti sahaja atau daripada pelbagai universiti dan yang menariknya mereka boleh memilih pensyarah atau”guru” yang mereka suka atau sesuai dengan mereka.
Satu ketika dahulu, hampir semua pelajar dalam aliran sains terutama daripada matrikulasi sains tidak berpeluang belajar mengenai perakaunan. Jadi, apabila mereka ingin menjadi usahawan atau menjalankan perniagaan sendiri masalah utama yang mereka hadapi ialah tidak memiliki asas perakauan untuk menguruskan akaun syarikat. Apabila mereka berkhidmat sebagai ketua di mana-mana organisasi pula, mereka juga tidak mempunyai asas perakauan atau asas ekonomi. Maka, berlakulah ketirisan kewangan yang tidak diketahui.
Pemerintah Jepun telah mengambil selangkah ke hadapan untuk mempersiapkan masyarakat mereka bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0. Mereka percaya bahawa untuk mencapai transformasi yang lebih mampan, mereka perlu bangunkan modal insan atau masyarakat Jepun itu dahulu melalui agenda transformasi 5.0. Akhir sekali, penentuan hala tuju masyarakat yang hendak dibawa, agar dapat memenuhi aspirasi konsep peradaban masa depan.