KUALA LUMPUR 16 Feb. – Usaha memajukan bidang bioinformatik sangat penting kerana ia boleh membantu pakar-pakar membuat ramalan awal tentang sesuatu bencana seperti gempa bumi dan sekali gus dapat mengurangkan kadar kerosakan dan kehilangan nyawa.
Timbalan Pengarah Institut Multimedia dan Perisian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Suhaimi Napis berkata, teknologi itu akan membantu pakar-pakar menganalisis data-data ke atas kejadian bencana alam seperti aktiviti gegaran atau peningkatan suhu yang mendadak dan seterusnya membuat ramalan awal tentang risiko yang mungkin berlaku.
Beliau berkata, dengan adanya keupayaan dalam bidang itu, teknologi pemantauan dan penderiaan jarak jauh dapat digunakan untuk membuat analisis terperinci tentang keadaan alam sekitar dan ekologi dengan lebih tepat.
“Keadaan yang tidak seimbang disebabkan faktor pencemaran alam sekitar serta perubahan cuaca akan dapat dipantau dan diketahui dalam masa yang singkat dan seterusnya langkah baikpulih dan pencegahan dapat dibuat dengan cara yang lebih sistematik,” katanya.“
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, “Bioinformatik: Peranannya Sebagai Alat Dakwah Serta Membantu Umat Manusia Menjadi Khalifah Bumi Dalam Pemeliharaan Biosumber dan Alam Sekitar pada seminar “Islam Hadhari: Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu, yang berakhir hari ini.
Kira-kira 200 orang peserta menyertai seminar berkenaan.
Suhaimi berkata, apabila ramalan dapat dibuat dengan lebih awal langkah pencegahan dan tindakan kecemasan juga dapat diambil dengan lebih awal dan dapat mengurangkan kadar kerosakan dan kehilangan nyawa.
“Korban nyawa beratus-ratus ribu orang akibat tsunami yang melanda beberapa negara Disember lepas menyedarkan kita betapa pentingnya sistem amaran awal dalam ikhtiar mengurangkan kadar kematian akibat bencana alam,” katanya.
Beliau berkata, ini bermakna dengan kemajuan bioinformatik akan memudahkan tugas manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi yang bertanggungjawab untuk mengurus dan memulihara alam dan isinya.
Menurutnya, kemajuan dalam bioinformatik juga akan membantu melindungi flora dan fauna dan segala sumber alam sekitar yang menjadi harta negara daripada dirompak oleh orang luar.
“Bioinformatik membolehkan kita menyimpan, menganalisis dan mengaudit kepelbagaian data mengenai genetik flora dan fauna, sumber hutan, hidupan laut dan sumber alam sekitar, yang kesemua itu merupakan harta negara yang perlu dilindungi,” katanya.
Kata Suhaimi, kemajuan teknologi bioinformatik dapat membantu kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dan menghapus kemiskinan.
Menurutnya, teknologi bioinformatik juga telah diperluaskan dalam bidang perubatan termasuk penemuan ubat-ubatan baru serta diagnosis dan analisis penyakit manusia.
Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan pada seminar dua hari itu.
Sumber : Utusan Malaysia