Setiap agama itu dikatakan mempunyai akhlak terasnya. Akhlak teras bagi agama Islam ialah “malu” (al-haya’). Islam meletakkan sifat malu sebagai suatu sifat terpuji dan banyak hadis Nabi SAW yang menjurus kepada itu, antaranya termasuklah sirah dan teladan yang ditunjukkan oleh mereka yang soleh. Malu boleh dilihat dalam beberapa aspek kehidupan manusia. Malu dari aspek menyalahi sosial dan norma masyarakat setempat atau malu kerana bertentangan dengan nilai agama dan juga malu dari aspek kerana menyalahi undang-undang negara.
Dalam masyarakat yang sekular terhadap era pasca modernisme seperti hari ini, sifat “malu” merupakan sifat mulia yang diwarisi secara tradisinya sejak zaman-berzaman, cuba dihapuskan kerana begitulah sifatnya ledakan gelombang pasca modernisme yang merungkai dan meruntuhkan (deconstructionism) sekalian pegangan, nilai dan budaya tradisi silam yang dianuti dan dipegang oleh sesebuah masyarakat.
Slogan yang mengajak untuk “jangan bersifat malu” atau aksi-aksi dan perlakuan yang keterlaluan hingga langsung jelas ketiadaan perasaan malu sebenarnya bertentangan dengan prinsip akhlak anjuran Islam. Apabila hilangnya sifat malu, maka apa sahaja bentuk kemungkaran akan berleluasa. Lelaki berpakaian wanita, misalnya yang semakin rancak ditonjolkan oleh golongan LGBT jelas sekali menyalahi norma kehidupan masyakarat Melayu Islam sejak zaman-berzaman merupakan antara contoh hilangnya sifat malu daripada kalangan segelintir manusia.
Malu merupakan sebahagian daripada iman seperti mana sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda, mafhumnya: “Iman itu memiliki lebih daripada enam puluh cabang, dan malu itu adalah sebahagian daripada salah satu cabang iman” (HR Bukhari).
Keimanan itulah yang menyekat seseorang daripada melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan. Jika seseorang itu sanggup melakukan sesuatu dosa dan maksiat secara terang-terangan, maka itu petanda dirinya tidak memiliki iman atau nipis imannya. Pada akhir zaman kelak ketika hampir datangnya Kiamat, dikatakan maksiat zina berlaku secara berleluasa dan terang-terangan kerana pada ketika itu tiada lagi manusia yang mempunyai iman dan sekaligus sifat malu juga sudah hilang.
Hal ini demikian sebenarnya selari dengan yang disebutkan oleh Baginda SAW apabila manusia hilang malu. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri RA menyebut bahawa Baginda SAW pernah bersabda, mafhumnya: “Di antara perkara yang ditemui dalam kata-kata para nabi silam ialah “sekiranya engkau tiada lagi malu, maka lakukanlah apa saja yang kau inginkan” (HR Bukhari: 3483).
Al-haya’ (malu) dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan “al-hayah” yang bermaksud hidup. Kalimah malu dalam bersalah atau “guilt culture” berbanding budaya malu “shame culture”. Dalam masyarakat Barat, yang menghalang mereka daripada melakukan kejahatan atau kerosakan adalah kerana mengelak atau tidak mahu rasa bersalah, tetapi dalam masyarakat Timur faktor penghalangnya lebih kepada mengelakkan tidak mahu berasa malu.
Malu dalam Islam terbahagi kepada beberapa darjat. Yang paling rendah ialah malu dengan manusia lain di sekeliling kita. Seseorang itu tidak akan melakukan sesuatu yang masyarakatnya memandang serong dan tidak baik terhadap perbuatan tersebut. Hal ini demikian dikatakan pengaruh persekitaran (‘urf) mendidik seseorang itu untuk berasa malu. Kebanyakan negara Arab misalnya, memakai kain sarung atau seumpamanya di luar rumah adalah sesuatu yang tidak senonoh atau “taboo”, kerana pakaian sebegitu hanya sesuai di bilik tidur sahaja. Justeru, pelajar Malaysia yang belajar di negara Arab biasanya mengelak memakai kain sarung di luar rumah. Ini berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang pernah menuntut di Sudan suatu ketika dahulu.
Dalam masyarakat Jepun pula, budaya malu yang disebut “haji” sangat menebal dan berakar umbi. Setiap anak kecil dididik agar memiliki sifat malu ini sejak kecil lagi. Malu untuk melakukan sesuatu yang dipandang tidak elok oleh masyarakat. Malu dalam kalangan masyarakat mereka merupakan sifat peribadi yang sudah tertanam sejak kecil lagi dan menjadi budaya yang berakar umbi dan bukan dibuat-buat atau takutkan undang-undang dan tindakannya. Mereka ditanam dengan perasaan agar malu dengan diri sendiri melalui slogan Kunshi wa hitori o tsutsushimu – “apabila sendirian, orang hebat akan menjaga dirinya sendiri (daripada melakukan tidak beretika)”. Sehingga dalam kalangan pahlawan samurai zaman silam mereka, jika mereka gagal atau melakukan kesalahan dan telah memalukan budaya masyarakat mereka, maka hukumannya ialah bunuh diri sendiri atau disebut “seppuku” atau “hara-kiri”. Di Jepun juga, sebuah negara yang tersohor di dunia kerana kebersihannya dan masyarakatnya memiliki budaya “malu” (dan benci) dengan kekotoran. Sungai-sungai di sana cukup bersih kerana masyarakat mereka tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana menganggap perbuatan tersebut memalukan. Bahkan, longkang-longkang di Jepun juga bersih. Mereka mempunyai disiplin diri yang tinggi kerana orang hebat ialah orang yang boleh mengawal dirinya.
Masyarakat Melayu kita juga terkenal dengan masyarakat yang memiliki sifat malu suatu ketika dahulu. Istilah seperti “menjaga air muka”, “malu alah” atau seumpamanya begitu sebati dengan masyarakat kita sejak dahulu lagi namun hari ini semakin pudar. Slogan “lantaklah orang nak kata apa” atau “malu apa…” sebagai contoh semakin kuat mendominasi masyarakat kita hari ini yang jelas berlawanan dengan fitrah malu masyarakat Melayu Islam silam.
Gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita juga adalah petanda masyarakat sudah semakin pudar perasaan malunya. Malu kepada Allah SWT kerana melakukan dosa memakan rasuah yang dilaknat Allah SWT, dan juga dibenci masyarakat. Walaupun jelas melakukan kesalahan memakan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, ada dalam kalangan mereka ini masih tiada perasaan malu atau segan silu menegakkan benang yang basah. Jika dahulu, mereka seperti ini sudah pasti mengasingkan diri, bersembunyi daripada masyarakat kerana malu dengan perlakuan mereka yang telah didedahkan. Namun hari ini, tidak lagi sebegitu sebaliknya bermain kononnya “mangsa” (play victim).
Dalam satu riwayat disebutkan baginda SAW berada di rumah Aishah RA. Ketika itu Rasulullah sedang berbaring manakala kain baginda sedikit terselak dan menampakkan betis suci baginda SAW. Kemudian datang Saidina Abu Bakar RA memohon izin untuk masuk, lalu masuk dan Nabi SAW tidak membetulkan kedudukan baginda dan juga keadaan kainnya yang tersingkap. Perkara yang sama berlaku apabila Saidina Umar RA juga memohon izin untuk masuk dan duduk berbual dengan baginda SAW. Kemudian terdengar Saidina Uthman bin Affan memberi salam dan ingin masuk, lalu baginda SAW segera duduk (daripada berbaring) dan merapikan kain baginda SAW agar tertutup lebih sempurna. Setelah selesai dan semua sahabat tersebut pulang, Saidatina Aishah RA bertanyakan baginda SAW perihal perbezaan perlakuan baginda SAW apabila Saidina Uthman masuk tadi. Lalu baginda SAW menjawab, bahawa sekiranya Uthman masuk dalam keadaan kain baginda SAW terselak itu tadi, nescaya Uthman akan tersipu malu dan tidak selesa. Bahkan baginda SAW berasa malu dengan orang yang malaikat pun malu dengannya. Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya:
Bukankah aku sepatutnya berasa malu dengan orang yang malaikat pun malu dengannya (HR Muslim) Dalam mazhab Shafii juga dinukilkan tentang keharusan untuk mandi tanpa seurat benang (telanjang) sekiranya ia perlu dan selamat daripada dilihat oleh orang lain, walau bagaimanapun lebih afdal adalah menutup auratnya kerana segan dan malu dengan Allah SWT (Mirqat al-Mafatih Sharh li Mishkat al-Masabih, Jil. 2, 368).
Yang perlu dilakukan hari ini ialah menyuburkan kembali perasaan malu dalam diri anak-anak sejak kecil lagi melalui pendidikan di rumah dan di sekolah agar mereka berasa malu untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh masyarakat, malu melanggar undang-undang dan yang lebih besar lagi ialah malu kepada Allah SWT untuk melakukan maksiat.