Mungkin ramai yang tidak maklum apakah tajuk pertama buku Prof. Ahmad Ibrahim. Ini kerana umum mengenali beliau sebagai seorang tokoh perundangan yang sangat disegani di negara ini. Beliau sangat dikenali sebagai pemikir perundangan yang begitu ulung kerana sangat menguasai bidang perundangan barat dan Undang-undang Islam yang diamalkan di Malaysia. Tulisan-tulisan beliau menjadi rujukan sesiapa sahaja yang mahu mendalami perkembangan undang-undang di Malaysia ataupun yang mahu melakukan apa-apa tindakan yang mempunyai nilai di sisi perundangan Malaysia.
Sebelum beliau menghasilkan buku pertama beliau, sebenarnya beliau telahpun menghasilkan artikel-artikel yang dimuatkan ke dalam majalah dan jurnal. Seawal tahun 1937, artikel beliau telahpun termuat di dalam Majalah Genuine Islam (18) yang bertajuk, “Islam and the Political World of Today”. Beliau telah mula begitu aktif sejak awal 40-an dengan menulis dan menyumbang idea-idea beliau yang bukan sahaja berbentuk perundangan, malahan juga persoalan-persoalan mengenai agama secara umum yang bersangkutan dengan maslahat umat Islam. Pada tahun 1941, beliau memuatkan tajuk, “Harta Sepencarian” di Malayan Law Journal vi selain “Proof of Muslim Law in the F.M.S.” di Malayan Law Journal ix pada tahun yang sama. Dan begitulah seterusnya.
“Melalui Dua Simpang Jalan” adalah buku pertama beliau yang diterbitkan pada November 1948 oleh K.B. Press, Singapura. Ia sebenarnya ulasan beliau mengenai buku karangan Muhammad Asad yang bertajuk “Islam At The Crossroad”.
Berdasarkan kepada buku beliau ini, didapati bahawa Prof. Ahmad memilih kitab Muhammad Asad setelah membuat kajian dan perbandingan dengan kitab lain yang dikarang oleh bangsa India Muslim. Beliau lebih tertarik dengan “Islam At The Crossroad” kerana Muhammad Asad dapat menilai bahawa Islam itu memiliki kebudayaannya sendiri dan berada pada kedudukan yang sangat tinggi. Berbanding dengan tulisan-tulisan lain bahawa Islam itu tidak jauh beza dengan tamadun dengan kebudayaan barat. Perbandingan sebegini sekiranya dilihat sepintas lalu, tentulah seolah-olahnya tidak memberi implikasi yang besar, akan tetapi sekiranya diamat-amati secara teliti, ia memberi suatu kesimpulan bahawa Islam itu berada pada darjah yang sama dengan pemikiran-pemikiran lain seperti barat. Malah menurut Prof. Ahmad, sesetengah penulisan mereka menggambarkan bahawa Islam atau tamadun Islam itu memerlukan pembaikan agar ia setaraf dengan tamadun barat.
Walaupun “Melalui Dua Simpang Jalan” lebih berbentuk ulasan akan tetapi, ia bukan sekadar ulasan biasa kerana ia diterbitkan dengan tujuan memberi nasihat kepada belia-belia Melayu yang berpelajaran barat, iaitu dengan memberi penerangan mengenai pengajaran dan akhlak Islam.
Faktor lain yang menjadikan buku Muhammad Asad sebagai sandaran idea beliau adalah kerana latar belakang permasalahan masyarakat yang diketengahkan oleh Muhammad Asad pada ketika itu. Masyarakat Islam di India pada masa itu telah mengalami perubahan sosio-budaya sehingga melanggari batas-batas yang dibenarkan oleh syariat. Sekalipun India dan Tanah Melayu mempunyai budayanya yang tersendiri, akan tetapi Prof. Ahmad melihat perubahan tersebut sebagai pencemaran budaya dan agama yang dicetuskan oleh punca yang sama, yakni budaya barat.
Sebagaimana yang berlaku di India yang mengakibatkan lahirnya buku-buku seperti “Islam at the Crossroad”, begitu jugalah yang berlaku di kalangan belia-belia Melayu di Tanah Melayu. Pada pengamatan beliau ketika itu masyarakat Melayu di Malaya telah dipengaruhi oleh budaya barat yang merosakkan tingkah laku dan pemikiran orang Melayu, terutama di kalangan anak-anak muda. Pemuda-pemudi Melayu pada ketika itu telah dilihat begitu bangga menerima pengaruh barat dan menjadikan barat sebagai kayu ukur bagi menilai tahap ketamadunan bangsa. Prof. Ahmad sangat bersetuju dengan idea yang dibawa oleh Muhammad Asad mengenai soal budaya yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Sekalipun penulisan Muhammad Asad ditujukan kepada masyarakat India pada ketika itu, akan tetapi menurut Prof. Ahmad keadaannya hampir sama dengan keadaan masyarakat Melayu yang mula meminggirkan cara hidup dan budaya sendiri. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Masyarakat Islam India dan Melayu perlu berpegang teguh dengan syariat Islam dan mengamalkan budaya sendiri selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kelahiran “Melalui Dua Simpang Jalan” memang suatu perkara yang sangat mengkagumkan kerana Prof. Ahmad yang pernah menerima pendidikan di barat (United Kingdom) tidak menjadikan barat sebagai ‘kiblat’ kehidupan. Budaya tari-menari, berparti dan menyimpan bar di sudut-sudut rumah merupakan fenomena yang sangat tidak disenangi oleh beliau. Seterusnya menjadikan beliau berasa bertanggungjawab untuk menegur anak bangsanya sendiri. Beliau juga bersetuju dengan pandangan Muhammad Asad yang menyelar pengaruh barat yang dibawa masuk ke dalam masyarakat timur dengan pelbagai cara. Beliau tidak senang apabila materialisme mula mempengaruhi cara hidup orang Islam yang pada asalnya begitu tenang dan murni. Bagi beliau, adalah suatu perkara yang malang bagi anak-anak Melayu yang menerima pendidikan barat berubah menjadi kalangan yang lupa diri dan asal usul. Selain saranan agar masyarakat Melayu kembali kepada ajaran Islam, melalui buku ini juga Prof. Ahmad meminjam idea Muhammad Asad iaitu dengan mencadangkan agar bahasa Arab diberi kedudukan yang istimewa dalam pendidikan anak-anak orang Islam. Menurut beliau, bahasa Arab perlu dipelajari bagi meluaskan lagi kefahaman orang-orang Islam terhadap agama mereka. Menurut beliau,
“. Dengan hujah-hujah yang serupa juga (idea Muhammad Asad), dengan adanya negeri-negeri Melayu sebagai sebuah negeri orang-orang Islam maka wajiblah bagi tiap-tiap negeri itu lebih-lebih meluaskan lagi pelajaran-pelajaran bahasa Arab untuk membentuk masyarakat di sini mengetahui selok-belok agamanya dengan lebih luas, lebih dalam dan lebih sempurna supaya binaan agama kita akan lebih difahami oleh kita di sini.” Sesuatu yang sangat menarik untuk mengetahui rumusan yang dibuat oleh beliau, sebagaimana yang ditulisnya,
“Islam tidak perlu lagi diperbaiki sebagaimana sesetengah pendapat Muslim. Ia telah sendirinya lengkap dan cukup sempurna. Yang hendak kita perbaiki ialah sikap atau perhatian kita terhadap agama, kemalasan kita, kelalaian, kesingkatan pandangan.”
Buku ini pastinya menjadi tamparan yang sungguh hebat pada ketika itu kerana latar belakang penulisnya yang bukan sembarangan. Iaitu, sebagai seorang pensyarah di Raffles College yang mempunyai pencapaian yang sangat cemerlang ketika menerima pendidikan (Inggeris). Selain turut membuktikan bahawa Prof. Ahmad telah pun memiliki kesedaran yang tinggi terhadap undang-undang Islam apabila beliau memperkenalkan kepada pembaca mengenai terminologi-terminologi yang terkandung di dalam syariah atau fiqh, pengenalan pegangan ahl al-sunnah wa al-jama’ah, sumber-sumber hukum Islam dan sebagainya. Beliau bukan sahaja dapat memahaminya tetapi juga dapat menyusun bahasa yang sangat baik bagi memahamkan pembaca mengenai perkara yang difahaminya itu. Umpamanya maksud al-ijma’ dan al-qiyas. Malahan dalam aspek pemahaman beliau ini, buku sulung ini sebenarnya adalah susulan atau rantaian idea-idea Islam beliau yang ditulis dalam bentuk artikel. Maka, bukanlah suatu perkara yang tepat sebenarnya untuk mengubah persepsi masyarakat yang hanya berlaku di sekitar tahun 1970-an daripada mengenali beliau sebagai seorang sarjana perundangan sivil semata-mata kepada tanggapan sebagai seorang yang juga pakar dalam undang-undang Islam. Atau sekurang-kurangnya sebagai seorang sarjana undang-undang sivil yang memiliki kesedaran dan cita-cita yang sangat tinggi dalam merealisasikan undang-undang Islam sebagai undang-undang umat Islam.
�Tidak lama selepas itu, ulasan mengenai “Islam at the Crossroad” yang dibuat oleh beliau telah dipaparkan di dalam majalah Muslim World dalam dua siri iaitu dalam Vol. 1 No. 1 dan No. 2. Siri yang pertama dikeluarkan pada Januari 1949 dan ia diterbitkan di Singapura. Tidak lama selepas kelahiran buku sulung beliau ini, pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1949, Prof. Ahmad telah berjaya melahirkan lagi sebuah buku yang bertajuk “Universiti di Malaya”. Apa yang menarik, kelahiran buku ini sebenarnya adalah disebabkan permintaan masyarakat Melayu Singapura ketika itu yang sedang mengalami konflik. Usul bagi menubuhkan sebuah universiti di Malaya tidak diterima oleh seluruh masyarakat Melayu.Wujudnya dua kecenderungan di kalangan masyarakat Melayu menyebabkan penubuhan universiti di Singapura seakan terhalang. Bagi yang pro dengan penubuhannya menganggap ia sangat mustahak di sisi umat Melayu. Sebaliknya bagi yang menentang beranggapan bahawa ia akan menjadikan darjah universiti itu menjadi murah. Selain itu, kalangan yang memasuki universiti itu bukan dari kalangan orang-orang Melayu iaitu dari kalangan orang-orang berbangsa Cina atau anak-anak dagang. Ini disebabkan dua faktor utama, iaitu ketidakmampuan anak-anak Melayu dari aspek kewangan dan kebolehan anak-anak Melayu masih rendah jika hendak dibandingkan dengan bukan Melayu.
Di sini orang Melayu sangat menaruh harapan terhadap Prof. Ahmad bagi menjernihkan kemelut yang berlaku ini sebagaimana kata-kata penerbit buku ini,
“. maka inilah kita meminta kepada yang dihormati Tuan Ahmad Ibrahim merencanakan masalah Universiti Malaya bagi perhatian umat Melayu dan Islam supaya dengannya janganlah kita di dalam masalah ini, hanya sebagai penonton jua.� Penonton permainan, di negeri kita sendiri sedang buah hasil daripadanya kelak diterima oleh orang lain, yakni anak-anak bangsa dagang yang duduk di Malaya ini. Oleh sebab kita mendapati bahawa Tuan Ahmad Ibrahim tidak membawa masalah yang berlaku yang menjadi perbahasan di dalam akhbar-akhbar Melayu.” Pendekatan yang digunakan oleh Prof. Ahmad bagi menangani kemelut yang berlaku ini sangat hikmah. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserak. Harapan yang disandarkan di bahunya disambut dengan baik bersama rasa empati yang cukup tinggi terhadap masyarakatnya. Jauh sekali beliau mempunyai sikap seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing lantaran telah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. Prof. Ahmad memahami aspirasi bangsanya yang mahu memiliki kedudukan yang seimbang dengan bukan Melayu atau anak dagang dalam pelajaran, kerjaya dan seterusnya menyeimbangkan kedudukan antara kaum dalam aspek sosio-ekonomi, sedang pada masa yang sama sangat memahami kebimbangan bangsanya andai kata penubuhan universiti di Singapura hanya akan menjadikan masyarakat Melayu menjadi lebih terpinggir dan merempat di bumi sendiri. Beliau sememangnya sangat kritis, analistik, menyiasat ke akar umbi berkenaan permasalahan tersebut dan akhirnya memberikan cadangan yang bernas dan sangat praktikal untuk digunakan. Beliau pada dasarnya sangat bersetuju dengan penubuhan universiti tersebut. Akan tetapi yang lebih penting adalah mencari jalan agar tidak timbul permasalahan yang dibimbangi oleh sesetengah orang Melayu yang bersikap kontra. Sikap tidak setuju mereka juga sebenarnya munasabah. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan darjah atau standard universiti tempatan yang akan dibina itu murah (rendah), maka kekuatan darjah pendidikan tempatan itu perlu diperkasakan sejak dari teras lagi. Menurut beliau,
“Yang perlu diberi perhatian yang lebih ialah menyusun Dasar Pelajaran yang ada itu diperbaiki terutamanya di sekolah-sekolah Melayu diluaskan supaya ia kelak menjadi suatu pelajaran permulaan yang berguna kepada kanak-kanak itu.” Selain itu idea Prof. Ahmad adalah dengan menggabungkan silibus mata pelajaran Melayu bersama Inggeris tanpa mengenepikan silibus bahasa Arab. Pelajaran-pelajaran Islam mestilah dikekalkan dalam penyusunan dasar pelajaran yang baru bagi memastikan akidah generasi muda Melayu terpelihara dalam menyambung survival orang-orang Melayu. Bagi memastikan anak-anak Melayu mendapat tempat di universiti, Prof. Ahmad telah mengajak masyarakatnya untuk bersama-sama menuntut dan mendesak kerajaan supaya mengadakan hadiah-hadiah pelajaran (biasiswa) dan juga kemudahan-kemudahan lain bagi penuntut-penuntut Melayu. Ia diadakan di semua peringkat pendidikan, sama ada di sekolah, kolej dan universiti tanpa mengira sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Malah, beliau sangat tidak bersetuju dengan pendirian yang menyatakan bahawa penubuhan universiti di Malaya hanya akan mewujudkan halangan bagi penuntut-penuntut melanjutkan pelajaran di luar negeri. Beliau memiliki pemikiran yang sangat terbuka. Di samping menggalakkan penuntut-penuntut melanjutkan pelajaran di dalam negeri, beliau turut menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri bagi meluaskan pengalaman dan pemikiran mereka. Penuntut-penuntut ini juga akan membina hubungan dengan lain-lain bangsa di dunia yang sudah pasti akan memberi pelbagai manfaat kepada negara sendiri selain mengharumkan nama bangsa dan negara. Begitulah dua penulisan awal beliau yang diterbitkan sebagai buku yang melambangkan kecemerlangan pemikiran beliau sejak dari awal lagi. Selain membuktikan sifat takwa dan istiqamah beliau berkenaan pendirian beliau mengenai Islam. Berdasarkan kepada kecemerlangan idea beliau yang dibuktikan melalui dua buku ini, tentulah beliau lebih bersemangat meneruskan kecemerlangan ini sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam dan dunia Islam secara umumnya.